Thursday, April 9, 2009

Karya Terbaru Dr. Lim Swee Tin: 'Mencari Indah'


Kumpulan Puisi 'Mencari Indah'...dapatkan di pasaran segera! Melalui Cik Iffa pun boleh...

Antologi Puisi: 'Bisik Pada Angin'


Antologi puisi yang berjudul Bisik Pada Angin memuatkan lima puluh lapan buah sajak hasil karya pelajar yang mengikuti kursus BBK 3406: Penulisan Puisi dan Drama yang dikendalikan oleh Dr.Lim Swee Tin. Sajak-sajak yang dihasilkan ini merupakan manifestasi kebolehan dan kemampuan pelajar memahami, menanggapi dan mengaplikasikan pengetahun teori yang diperoleh mereka da1am bentuk penghasilan karya kreatif. Namun demikian, semua ini tidak akan menjadi realiti jika pelajar tidak mempunyai sensitiviti, persepsi dan kemampuan mengolah dan mengadunkannya dengan imaginasi dan kreativiti.

Sesuai dengan lingkungan persekitaran dan peringkat usia, tema dan persoalan yang digarap oleh para pelajar da1am kebanyakan sajak yang dihasilkan oleh mereka lebih tertumpu kepada persoalan cinta, kasih sayang, sanjungan, dan persoa1an kehidupan yang masih berkisar dalam ikatan kekeluargaan, teman rapat, dan sanjungannya kepada Allah s.w.t. Persoa1an cinta begitu jelas diungkapkan bukan sahaja dapat kita fahami melalui kandungannya, malah terus dapat diselami maksudnya.

Respon Menegakkan Hak-hak Manusia dalam Kumpulan Puisi 'Prahara Di Padang Karbala'


Penyelenggara : Arbak Othman, Lim Swee Tin & Aripin Said
Penerbit :Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM
Genre : Antologi Puisi(Kumpulan Puisi Keamanan dan Kemanusian Malaysia)

"Katakanlah Tidak Pada Perang"

Bahawa walaupun suara-suara tentangan kita tidak mungkin merobohkan sebuah negara gergasi namun, kita adalah orang-orang prihatin terhadap keamanan dan kesejahteraan sejagat. Suara-suara kita bukan untuk menentang Amerika, bukan untuk menetang Britain, dan bukan untuk menentang semua orang yang gila perang tetapi mengajak semua orang melihat apakah kesan peperangan terhadap peradaban dunia.

Buku ini memuatkan sekitar 100 puisi keamanan merupakan respons menegakkan hak-hak manusia dan kesejahteraan sejagat. Ia melambangkan perasaan pilu, hiba, geram, marah dan tersentuh oleh tindakan perang dan pencerobohan seumpama ini.

Karya Hebat Lim Swee Tin dan Zurinah Hassan dalam Kumpulan Puisi 'Nota Waktu'


Antologi ini mengandungi himpunan 30 puisi Zurinah Hassan dan 30 puisi Lim Swee Tin. Menggabungkan kedua-dua nama besar di dalam satu antologi tentu sekali menghasilkan satu kesan yang mengegarkan. Zurinah, penyair lembut dengan kesantunan wanita mengimbangi Lim Swee Tin yang bernada tegas tetapi penuh berseni. Hampir kesemua puisi di dalam antologi ini mengabadikan isu semasa yang hangat diperkatakan.

Kumpulan Puisi Citra Kurnia


Lewat kumpulan puisi Citra Kurnia ini, Lim Swee Tin, Penerima S.E.A Write Award 2000 menghimpunkan 42 buah puisi yang dipanggil 'sajak-sajak sempena'. Puisi-puisi yang ditulis khas untuk majlis-majlis tertentu ini memperlihatkan Lim Swee Tin di dalam mempelbagaikan kebolehannya berpuisi.

Terdapat puisi bagi mengenang Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang dipanggil "Monolog Kecil Seniman Bangsa", sajak sempena sebuah majlis perkahwinan - "Perkahwinan", sajak sempena majlis 30 Tahun WANITA - "Potret Wanita Bangsa" dan juga puisi "Di Bawah Langit Yang Sama" yang ditulis dan dideklamasikan sempena Concert For World Peace in Thailand.

"Perkahwinan adalah sumbu sentiasa menyala / Dalam dakap hangat kasih / Tak pernah kunjung padam / Perkahwinan adalah hujan sentiasa merenyai / Dalam rangkul dingin sukma / Selamanya berpadu manis ingatan."
Petikan Sajak "Perkahwinan"

Hasil Karya Anak Didik Dr. Lim Swee Tin: Rindu Seorang Salina


Kumpulan puisi ini merupakan hasil karya pelajar yang mengikuti Kursus BBK 3406 : Penulisan Puisi dan Drama di Jabatan Bahasa Melayu,Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, bagi Semester Mei 2003/04.
Meneliti karya-karya dalam antologi ini, rata-rata menunjukkan kesungguhan pelajar dalam berkarya.

Puisi berjudul 'Rindu Seorang Salina' yang dijadikan judul antologi ini, misalnya merupakan sebuah puisi yang mantap; baik dari segi idea mahupun cara pemakaian bahasanya. Rangkap kedua misalnya, yang berbunyi;

Kamar hening ini
membalut sebuah kisah
seorang gadis desa
betapa
pelangi hidup bertukar warna.
menunjukkan mutu penggarapan yang meyakinkan. Diyakini bahawa pelajar yang menyumbangkan karya mereka dalam antologi ini akan dapat pergi lebih jauh dalam bidang penulisan kreatif .

Antologi lain dalam siri ini :
Lahar di Goma

Karya Puisi Lim Swee Tin: Nyanyian Sepi


Nyanyian Sepi merupakan karya puisi Lim Swee Tin yang telah dialih bahasakan ke dalam bahasa Mandarin. Ia telah dialih bahasakan oleh seorang pensyarah bahasa di Universiti Putra Malaysia. Ia dengan jayanya berjaya menterjemahkannya tanpa mencacatkan maksud dan ekspresi asal yang di tonjolkan oleh penulis.

Buku ini sesuai untuk rujukan pelajar sekolah jenis kebangsaan aliran Mandarin. Ia merupakan karya puisi tempatan sebagai alat bantuan pengajaran

Sinopsis Kumpulan Sajak Memetik Mawar


Kumpulan sajak Lim Swee Tin 'Memetik Mawar' ini mengambil pelbagai sisi dari kehidupan masyarakat setempat dan luar negara , diri dan orang lain, alam dan segala isinya untuk menjadi tatapan remaja. Mengandungi idea yang membantu remaja merasakan bahawa kehidupan ini sebenarnya indah dan amat bererti. Gambaran murung dalam sajak-sajak ini diubah semula kepada acuan lain yang jauh lebih positif. Pembaca akan menemui elemen positifnya untuk dijadikan renungan, pengalaman dan penilaian kendiri.

Kumpulan sajak ini akan memberi pengalaman baru yang lebih pelbagai dalam menghadapai hari-hari dewasa.

Sinopsis: Berkelana di Belantara Kata


Buku ini memperlihatkan perjalanan kreatif seorang penyair prolifik yang gigih meletakkan namanya di persada kesusasteraan tanah air. Lim Swee Tin, Penerima S.E.A Write Award 2000 menceritakan suka dukanya dalam meniti puncak sebelum mencipta nama di bidang kepenyairan. Menjadi seorang pengarang tidak semudah yang disangkakan. Namun, tidak pula sesukar yang difikirkan.


Di dalam Berkelana di Belantara Kata ini, penulis berkongsi dengan pembaca tentang penglibatan awal beliau di bidang puisi, menceritakan bagaimana keghairahan untuk menyusun kata-kata menjadi suatu tanggungjawab dan juga menyelitkan sisipan ucapan penghargaan beliau sebagai Penerima S.E.A Write Award 2000.


Bagi pembaca yang ingin mengenali lebih lanjut tentang penghasilan puisi, buku kecil ini sesuai untuk membawa peminat puisi ke suatu dimensi kata-kata yang mengasyikan. Lim Swee Tin memperkenalkan tentang keindahan sebuah puisi serta menyentuh tentang kedudukan penyair bukan Melayu, penyair wanita Malaysia generasi baru dan situasi pengarang daerah dalam arus perdana, lewat Berkelana Di Belantara Kata ini.

Lagi Tentang Dr. Lim Swee Tin


Lim Swee Tin bukanlah nama baru dalam dunia kepenyairan. Beliau merupakan penerima S.E.A Write Award 2000 (penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh Kerajaan Diraja Thailand. Selain sering muncul di kaca televisyen mendeklamasikan puisi, penyair Lim Swee Tin turut giat memberi ceramah penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Beliau pernah diundang mendeklamasikan sajak di Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan dan United Kingdom. Beliau kini Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dilahirkan di Bachok Kelantan pada 26 September 1952. Dalam bidang penulisan, Lim cenderung menulis puisi. karya awalnya terbit pada tahun 1973. Lim juga menghasilkan cerpen, novel dan tulisan-tulisan bercorak kesusasteraan. Pada tahun 1990, beliau mewakili negara pada acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau bagi program Penataran Karya Sastera selama hampir sebulan di Jakarta, Indonesia.

Antara karya yang telah diterbitkan ialah "Eva" (1981), "Akrab" (1985), "Menyusur Musim" (1991), "Seorang Anak Kecil dan Sajak-sajak Lain/A Child and Other Poems (puisi dwibahasa, 1993), "Masih" (1997), "Sebuah Fragmen Cinta" (1998) dan "Nyanyian Sepi" (puisi dwibahasa, 2000).

Lim Swee Tin pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83, 1986/87, 1988/89, Hadiah Penghargaan Anugerah Puisi Putra 2, 1983 melalui antologi "Akrab". Hadiah kedua Peraduan menulis Cerpen dan Puisi 100 Tahun Kuala Lumpur, Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank, Hadiah Cerpen DBP-Maybank dan banyak lagi.

Puisi beliau berjudul "Ketika Kami Bercerita Tentangnya" telah dipilih sebagai teks puisi di dalam antologi "Anak Bumi Tercinta" yang merupakan antologi Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu bagi Tingkatan 3.

Ketika dan Kalimat... Bagiku Kuliah Ini Sungguh Luar Biasa!


Baru minggu pertama. “Ah, habis kali ni’ aku dah lambat!” Iffa melihat jam pada skrin telefonnya tertera 12.17pm, ada tertera juga 4 SMS, dan 3 miss call. Dia benar-benar sudah terlambat, kerana kuliah Bahasa dalam Multimedia bermula tepat jam 12.00 tengahari. Ligat jari-jemarinya menekan punat telefon cuba menghubungi rakannya, Ifa juga namanya; Ifa Terengganu.

“Hallo Ifa, minta maaf! Aku baru sedar, malam tadi stay up sampai subuh. Lepas tu, aku tidur lupa pula nak kunci jam. Macam mana ni’? Doktor dah masuk ke? Ujar Iffa, kelam-kabut.
“Doktor dah masuk! Cepatlah datang, tak apa nanti mu minta maaflah. Sedio alasan siap-siap. Datang cepat, tak payah mandi!” ajar Ifa Terengganu.
“Ok, royat ko saing-saing aku minta maaf banyok!” Ujar Iffa, sambil mencapai tualanya.
Bereh,bereh, mari cepat deh! Bye”. Ada nada resah di hujung talian Iffa Terengganu itu.

Iffa sudah lengkap berpakaian, dia mengenakan baju kurung kuning muda bersama tudung yang sama ton warnanya. Nasib baik baju itu sudah digosoknya pada malam tadi. Segera dia berjalan keluar dari kolej kediamannya, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail.

“Alamak, bas dah nak jalan! Pak Cik tunggu!”, dia menjerit sambil berlari.

Tetapi malangnya, pemandu bas itu buat-buat tidak nampak sahaja akan lambaian dan jeritan Iffa itu. Iffa mengambil keputusan segera untuk berjalan kaki sahaja ke Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, kerana untuk menunggu bas yang seterusnya adalah tindakan yang merugi masa semata-mata.

Dalam rasa mengantuk yang masih mengikat, dia melangkah laju, maju ke depan, tiba-tiba dia terdengar pengawal keselamatan UPM dari seberang jalan mengarahkannya supaya berhenti. Gugup juga rasanya, dia segera memperlahankan langkahnya dan segera berpaling ke arah suara itu.

“Ada apa, bang?” Soal Iffa, sedikit menjerit dari seberang jalan.
“Kad matrik kamu mana?”.
“Minta maaf, saya terlupa pakai. Terlambat nak pergi kelas”. Iffa berterus-terang.
“Lambat tak lambat pun, kad matrik kenalah pakai. Selagi ada kat dalam kampus ni’ kad matrik kena gantung!” Lantang suara lelaki itu.
“Ya, ya, minta maaf”. Iffa segera mengangkat kaki, tatkala melihat isyarat dari rakan pengawal itu, isyarat itu bermakna dia dibenarkan beredar.

Iffa menarik nafas lega. Dia memanjangkan langkahnya, hatinya berdebar-debar mengenangkan nasibnya dan juga nasib rakan-rakan yang sekumpulan dengannya, kumpulan Appolo.

Dia akhirnya tiba di fakulti jam 12.40 tengahari. Keadaan sekitar fakulti seperti biasa sahaja, tiada yang luar biasa. “Dah lambat, dah lambat!”, ujar Iffa sambil berlari anak menuju ke bilik Jauhari. Dari muka pintu bilik kuliah yang lut sinar itu, kelihatan pelajar-pelajar sedang bersila di lantai. Masing-masing kelihatan seperti sibuk melakukan sesuatu. Keseriusan jelas terpancar pada setiap wajah yang berada dalam bilik kuliah itu. Perlahan-lahan Iffa melangkah masuk dan terus ke meja pensyarah. Belum sekerat jalan dia menuju ke meja pensyarah, pensyarah itu terlebit dahulu menegurnya dari tempat duduknya.

“Awak baru sampai! Dah pukul berapa ni’?”, tinggi nada suaranya.

Masing-masing yang berada dalam bilik kuliah itu tersentak. Semua mata memandang ke arahnya. Ada yang memandang selintas, buat-buat tidak nampak, lalu menyambung tugasnya.
Ada juga yang memandang simpati, dan ada juga yang tersenyum sinis.

“Minta maaf doktor, saya terlambat”, ujar Iffa gugup.
“Ya, saya tahu kamu lambat. Kenapa lambat? 12.50 tengahari baru masuk kelas!”, Dr. Normaliza memandang sekilas pada jam dinding bilik kuliah. Serius di wajahnya, membuatkan pesalah semakin gugup.
“Saya baru sedar”, jawab Iffa berterus-terang.
“Awak baru sedar subjek saya dalam jadual awak?”, soal doktor dengan nada yang masih meninggi.
“Tak, saya baru sedar, baru bangun tidur”, Iffa berterus-terang.
“Awk baru bangun tidur!”, Dr. Normaliza menggeleng kepala. Iffa hanya mampu meminta maaf, dan berharap dirinya tidak dihalau dari kelas tersebut.
“Mana kumpulan kamu?”, mendengarkan pertanyaan Dr. Normaliza itu, ahli kumpulan Apollo mengangkat tangan masing-masing.
“Pergi masuk kumpulan kamu”, arah Dr. Normaliza.
“Terima Kasih, doktor”. Iffa berlalu mendapatkan kumpulannya.

Hari itu, pelajar-pelajar Bahasa dalam Multimedia diarahkan membuat mini billboard. Setiap kumpulan dikehendaki mengunting gambar-gambar yang mempunyai asas grafik dari majalah. Kemudiannya, gambar-gambar tersebut hendaklah ditampal pada 6 keping multin board dengan kemas dan cermat, tanpa ada satu gelembung udara pun. Selain itu, mereka juga diarah supaya menggunting karakter huruf dan nombor di majalah bagi setiap nama dan no matrik ahli kumpulan. Lima asas grafik; keseimbangan, kesesuaian, mudah, teks, dan warna, juga harus ditampal dalam bentuk karakter huruf pada salah satu multin board tersebut. Masa untuk menyiapkan tugasan tersebut adalah dua jam, masing-masing kelihatan agak kelam-kabut, kerana mengejar masa dan mahu melakukan tugasan yang telah diberi dengan sempurna. Akhirnya, dua jam berlalu tanpa sedar. Masing-masing berlari menyerahkan tugasan kumpulan, dengan harapan markah kumpulan tidak akan dipotong lantaran terlewat beberapa minit. Suatu pengalaman yang menyeronokkan dan luar biasa, kerana Iffa dan teman sekuliah banyak berlari pada hari tersebut.

Pada keesokan harinya, Iffa sekali lagi berlari kencang ke makmal komputer kerana semua pelajar-pelajar mengikuti tutorial harus berada dalam makmal tepat jam lima petang. Sejurus selesai menunaikan solat Asar di surau FBMK, dia segera ke makmal tiada masa untuk terkedek-kedek lagi. Pintu akan dikunci tepat jam lima petang, barang siapa yang terlambat tidak dibenarkan masuk oleh Cik Tutor; Cik Alia namanya. Nasib Iffa baik, kerana dia berjaya hadir ke makmal 3 minit lebih awal, jadi dia selamatlah pada petang tersebut. Tugasan pertama kelas tutorial ialah membuat slide show menggunakan windows power point dan tajuknya adalah bebas. Tajuk yang dipilih pula mestilah mempunyai perbedaan dengan individu lain dalam kelas tersebut. Maka, ligatlah otak Iffa memikirkan tajuk yang sesuai untuk tugasannya itu. Keadaan semakin mendesak mindanya, Cik Alia mahu semua anak didiknya itu memberikan tajuk masing-masing ketika itu juga. Fikir punya fikir, lantas tajuk ‘Lelaki Metroseksual’ juga yang terlintas di fikiran Iffa. Entah kenapa isu itu yang mahu ditampilkannya, mungkin kerana terpandangkan fesyen rambut pelajar-pelajar lelaki sekelas yang agak pelbagai ketika itu. Cik Alia bersetuju dengan isu yang ingin Iffa bincangkan itu. Jadi, tanpa membuang waktu, dia terus memulakan kerjanya mengumpul data-data maklumat dan gambar-gambar yang bersesuaian dengan tajuk tersebut. Banyak pengetahuan baru yang dia perolehi dan yang pasti, pandangannya sebelum ini tentang lelaki metroseksual adalah salah sama sekali!

Lelaki metroseksual sering dianggap sebagai golongan gay oleh sebilangan masyarakat, sebenarnya mereka juga seperti lelaki sejati. Mereka juga pencinta wanita, mahu hidup berkeluarga, cuma golongan metroseksual ini lebih mementingkan gaya dan keterampilan mereka. Mereka lebih peka dan sensitif berbanding lelaki biasa, dan sifat ini menjadi mereka lebih memahami kaum wanita. Antara ciri-ciri lelaki metroseksual ialah gemar menghabiskan masa di coffee house, mempunyai set penjagaan wajah khusus, gemar ke gimnasium, selalu bertukar-tukar fesyen rambut, menggemari pakaian berjenama kerana golongan ini kebanyakannya golongan yang berada. Selain itu, golongan metroseksual ini juga akan meluangkan masa sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu untuk ke spa.

Iffa mencatat semua maklumat yang diperolehinya sambil tersenyum seribu makna. Rakan-rakan di komputer bersebelahan mengangkat kening, mahu mengetahui perkara apa yang menghiburkan sangat hati rakan di sebelahnya itu. Iffa sekadar menggeleng kepala dan menyambung kerjanya semula.

“Kenapa tak ada sound? Tak letak sound?”, Tanya Cik Alia.
“Letak, tapi tak bunyi”, jawab Tin dalam nada resah.
“Dah, dah stop. Najmie Munirah!”, Cik Alia memanggil pelajar seterusnya.
Berdebar-debar Cik Iffa menunggu gilirannya, bimbang kalau-kalau slide show yang bakal dipertontonkannya itu bermasalah. Markah akan dipotong sekiranya tugasan tidak dilakukan dengan sempurna. Iffa mengerling teman sekuliah yang duduk berhampirannya, masing-masing kelihatan gugup. Bagi yang sudah mencuba slide show mereka di komputer utama, mereka barangkali tidak berasa begitu bimbang, berbanding dia yang tidak sempat berbuat demikian.

“Nur iffaizyan”, Cik Alia memberitahu giliran Iffa.

Iffa segera ke hadapan. Dengan berhati-hati dia mencucuk pen drive –nya ke cpu komputer utama. Tangannya sedikit menggigil. Namun kemudiannya, menarik nafas lega tatkala melihat slide show yang dihasilkannya berfungsi tanpa sebarang gangguan. Semuanya lancar, teman-teman sekuliah juga kelihatannya memberi perhatian pada persembahan slide show tersebut. Sememangnya isu lelaki metroseksual itu menarik perhatian orang ramai. Iffa tersenyum puas tatkala melihat sedetik senyuman di wajah Cik Alia.

Tugasan tutorial seterusnya adalah membuat kalendar menggunakan perisian Adobe Photoshop 7.0. Kalendar yang terdiri daripada 12 bulan itu harus disiapkan dalam tempoh 4 minggu dan harus dicetak. Iffa mencatat semua kriteria yang harus ada pada kalendar tersebut. Bagi tugasan kali ini, Iffa agak kebimbangan kerana dia belum pernah menggunakan perisian Adobe Photoshop sebelum ini. Perisian itu juga belum ada dalam perisian komputer ribanya. Iffa berharap tunjuk ajar daripada Cik Alia dan teman-teman sekuliah akan membantunya melaksanakan tugasan tersebut.

Iffa mendengar dengan tekun toturial yang disampaikan Cik Alia. Dia mencatat segalanya, dan kemudiannya memulakan kerja-kerja membuat kalendar 12 bulan tersebut. Terkial-kial dia mengedit gambar dan kotak-kotak dalam layer kalendarnya itu. Dia harus bekerja dengan cepat. Rakan di meja komputer di hadapannya sudah selesai dengan bulan yang pertama, dan sepertinya mahu meneruskan dengan bulan yang kedua. Tangannya ligat menekan papan kekunci di hadapannya, menaip tarikh dan nama bulan Januari. Dia menambah kesan warna khas supaya latar belakang layer kalendarnya itu kelihatan manarik. Selesai dengan bulan Januari, dia mengerjakan bulan Febhruari pula. Kemudian, bulan Mac, April dan seterusnya dia menangguh urusannya itu di bilik sahaja. Petugas di makmal komputer itu, sudah memberi isyarat bahawa masa makmal itu beroperasi sudah tamat. Iffa mengangguk faham, setelah melemparkan senyuman kepada petugas, dia berlalu meninggalkan makmal cyber tersebut.

Akhirnya, selesai juga kalendar 12 bulan Iffa. Dia segera ke kedai pencetakan yang telah dicadangkan Dr.Normaliza. Beberapa teman sekuliah telah ada di sana, jadi tidak salah lagilah kedai yang dia masuk itu. Petugas kedai pencetakan itu menyambut mesra, dan bertanya kalau-kalau Iffa juga mahu mencetak kalendar. Iffa tersenyum sambil mengiyakan pertanyaan jurujual tersebut. Iffa menghantar data kalendarnya ke komputer utama kedai pencetakan tersebut. Kata jurujual itu mereka memerlukan 2 hari untuk mencetak kalendar Iffa tersebut. Maklumlah jumlah kalendar yang tiba di meja mereka banyak. Boleh dikatakan majoriti pelajar Bahasa dalam Multimedia menghasil kalendar dan dihantar ke kedai tersebut untuk dicetak. Selepas, berbincang sekadar Iffa akhirnya bersetuju dan membayar kos pencetakan yang sebanyak RM27 itu. Warna langit petang itu sepertinya mahu hujan, jadi setelah mendapatkan resit bayaran dia segera berlalu.

“Wah, kat masjid mana ni’? Cantik”, puji Ifa Terengganu sambil membelek kalendar Iffa yang telah siap dicetak.
“Masjid kat Turki ni’. Macam real kan mak cik ni’ edit”, ujar Dayu pula. Iffa sekadar tersenyum.
“Cepat hantar kalendar tu’. Lepas tu’, tanda tangan senarai penyerahan tugasan kat depan ni’. Yang belakang tu’, cepat sikit!”, ujar Cik Alia. Iffa dan teman-teman segera ke hadapan bersama kalendar masing-masing.

Petang itu, Iffa dan teman-teman sekuliah mendapat tugasan terbaru iaitu menghasilkan web site. Tema untuk web site itu terpulang kepada idea masing-masing. Sedang Iffa fokus mendengar tutorial Cik Alia berkenaan perkara yang perlu ada pada laman web yang akan mereka hasilkan, adiknya menelefon meminta resepi kerutuk daging. Langsung, dia mendapat idea untuk membina laman web berkenaan resepi, resepi masakan Melayu khasnya. Iffa melayan panggilan adik kesayangannya itu sekadar sahaja, kerana dia perlu mengumpul maklumat tentang resepi-resepi yang sudah lama dia tinggalkan itu. Bimbang kalau-kalau tersalah memberi maklumat, ajaran sesat pula jadinya nanti. Terasa lapar pula tatkala melihat gambar-gambar masakan yang dihantar oleh kakak dan rakan-rakannya melalui e-mail. Rindu benar Iffa pada periuk belanganya di kampung. Pada bonda dan nenek juga, sihatkah mereka? Iffa bermonolog halus. Habis tutorial nanti, dia bercadang mahu menelefon bondanya di kampung.

“Hari ini saya nak kamu semua ambil gambar yang ada makna pepatah, peribahasa, ataupun simpulan bahasa. Semua ahli kumpulan kena ada dalam gambar, jadi pandai-pandailah tukar-tukar ambil gambar. Sekitar fakulti kita saja, ya!”, arah Dr. Normaliza.
“Pastikan gambar yang kamu tangkap tu’ ada nilai grafik. Kemudian, hasilkan slide show, minggu depan kena presentation dalam kelas. Ok, dah boleh gerak sekarang. Cepat, cepat!”, ujar Dr. Normaliza bersemangat.

Semua pelajar kuliah Bahasa dalam Multimedia segera mencari tempat-tempat yang relevan. Bermacam-macam aksi dan gaya dilakukan untuk memberi pengertian sebenar bagi peribahasa yang dipilih. Jurukamera juga terpaksa ikut beraksi supaya mendapat gambar yang terbaik, dan mempunyai nilai grafik yang tinggi. Iffa dan anggota kumpulan Apollo yang lainnya menyenaraikan beberapa peribahasa yang bersesuai, kemudian masing-masing memberikan idea bagi menghasilkan gaya dan mimik muka yang bersesuaian dengan peribahasa yang dipilih. Pada hujung minggu nanti, mereka sekali lagi ke fakulti untuk penggambaran penuh. Hanya pada hujung minggu begitu, barulah masing-masing berkelapangan, jadi hari itulah yang dipilih. Anggota kumpulan Apollo mencatat perkakas yang perlu dibawa untuk penggambaran tersebut. Antaranya; kain sembahyang, senduk, dan selipar bilik untuk mood peribahasa ‘rumah kata pergi kubur kata mari’, pisang, duit kertas, buku-buku untuk penggambaran peribahasa ‘ulat buku’, selimut dan lain-lain lagi. Masing-masing tidak sabar lagi menunggu hari kejadian penggambaran tersebut.

“Wah, pagi sabtu yang indah!”, ujar Dayu sambil mendepakan tangannya.
“Betul tu’, fakulti kita kalau pagi-pagi macam ni’ rasa macam kat luar negara kan?”, tambah Aini.
“Betul. Tengok bunga kuning-kuning kat bawah pokok tu, betul,betul macam dalam drama korea. Cantiknya!”, ujar Iffa kagum.

Luar biasa benar pemandangan di fakulti bahasa pagi sabtu itu. Pokok-pokok memang menghijau seperti hari-hari sebelumnya, tetapi daun-daun dan bunga-bunga yang berguguran di sepanjang jalan utama, menimbulkan suatu perasaan yang tenang di hati mereka. Bau rumput yang menghijau, dan dingin udara yang lembut menyapu pipi, membuatkan Iffa tiba-tiba berasa syahdu. Sayang benar untuk meninggalkan fakulti ini. Sedar tak sedar, sudah tiga tahun dia berada di kampus hijau ini. Kenangan sepanjang pengajian, sewaktu di kuliah, sewaktu bersama senior, waktu susah dan senang, ketika bersama teman-teman, dan segalanya itu mekar dalam sanubari…
“Iffa, cepatlah kita tak sarapan lagi ni’!”, ujar Ifa Terengganu.
“Yalah, orang baru nak feeling, kacau daun betullah dia ni’!”, ujar Iffa.
Feeling gapo jah, pagi-pagi ni’ Cik Iffa?”, Tanya Ifa Terengganu sebelum dia ketawa kecil.

Selesai bersarapan nasi lemak sebungkus seorang, anggota kumpulan Apollo segera ke kawasan yang berumput dan berpokok. Bersebelahan pintu masuk utama fakulti, dan berhadapan dengan latar siswa, di situ ada hutan kecil yang menarik perhatian. Sebahagian penggambaran dilaksanakan di sekitar kawasan itu, antaranya seperti penggambaran peribahasa ‘musuh dalam selimut’, ‘ulat buku’, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua’, dan ‘batu api’. Setakat ini, penggambaran berjalan lancar. Kerja-kerja penggambaran dilakukan dengan sistematik, dan kerjasama dari semua ahli kumpulan sememangnya membuatkan penggambaran ini semakin rancak. Pelbagai aksi dan idea spontan menerjah ke minda mereka ketika itu, lalu terhasillah pose, pose, yang menarik perhatian. Tepat jam 1.30 petang seperti yang telah dijadualkan mereka semua berehat, makan tengahari dan kemudian menunaikan solat Zohor, di samping menambah solekan di wajah.

Sekitar jam 2.15 petang, masing-masing ke jalan utama fakulti untuk penggambaran peribahasa ‘mayat hidup’. Untuk pose tersebut, Iffa memakaikan Adila dengan kain sembahyang, lalu diikat seperti pocong. Agak kelakar, tertawa anggota kumpulan Apollo yang lain pada awalnya. Tetapi, akhirnya untuk menghasilkan mood yang baik seperti yang telah dirancang, masing-masing berlagak tenang sahaja. Cuaca yang membahang menjadi cabaran utama mereka, nasib baiklah mereka tidak lupa membawa payung. Iffa fikir aktiviti yang mereka lakukan pada hari tersebut tidak ubah seperti penggambaran filem di televisyen, bedanya dalam penggambaran filem itu ada tuan pengarah, krew, ada make-up artis, light man, cameraman. Sedangkan penggambaran mereka itu semuanya dilakukan sendiri. Iffa ketawa sendirian.

Pada sebelah petangnya pula, mereka bergerak ke lokasi yang lebih lapang dan sedikit mistik juga, iaitu kawasan perkuburan. Mereka ke kawasan itu dengan tujuan membuat penggambaran peribahasa ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’. Semua ahli kumpulan segera memakai kain sembahyang, dan melengkapi diri dengan prop masing-masing. Ada yang mengenakan selipar bilik, ada yang memegang senduk, ada memegang buku. Mimik muka juga dipelbagaikan bagi setiap individu. Mereka bersyukur kerana mendapat gambar yang menarik, keadaan cuaca ketika itu benar-benar terlukis seperti yang mereka semua harapkan. Tiada sesiapa di kawasan perkuburan itu, selain kumpulan mereka. Tetapi yang menimbulkan rasa kehairanan Iffa ialah imej lelaki yang ada dalam gambar mereka. Iffa sedikit tersentak tatkala melihat imej seorang lelaki di skrin kamera rakan. Rakan inilah yang membantu menjayakan babak yang memerlukan semua anggota kumpulan berada dalam gambar tersebut. Mungkin, rakannya itu tidak perasan akan imej lelaki tersebut. Tetapi, Iffa diamkan diri sahaja, mungkin lelaki itu penjaga kubur, orang yang bertugas membersihkan kubur barangkali. Iffa tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan, kerana masih ada satu penggambaran lagi yang belum selesai, iaitu gambar mereka berenam melompat.

Mereka menanggalkan telekong tadi dan bergerak ke tengah padang. Beberapa kali jugalah Iffa dan teman-temannya melompat, semuanya demi mendapatkan gambar seperti yang diinginkan. Akhirnya, pada kali keenam barulah mereka berenam dapat melompat serentak dan aksinya…
“Hum, boleh tahan!”, ujar Iffa sambil tersenyum puas.
“Aku nak tengok? Alamak, macam seksi je aku”, ujar Dayu sebelum ketawa kecil.
“Ah, satu hari yang memenatkan, tapi seronok. Bukan selalu ambil gambar ‘gila-gila’ macam ni”. Iffa bermonolog halus.

Anggota kumpulan Apollo mengemas bagasi masing-masing sebelum berlalu meninggalkan fakulti. Mereka semua tersenyum lebar, berasa puas kerana urusan penggambaran tadi berjalan dengan lancar. Seterusnya, mereka harus menyediakan slide show untuk gambar-gambar yang telah diambil tadi. Minggu depan slide show tersebut perlu dipertonton dalam kelas, seperti arahan Dr. Normaliza.

Hari perbentangan, slide show mengikut kumpulan masing-masing. Kelihatannya, semua pelajar datang awal pada hari tersebut. Iffa sedikit terlewat dari teman sekumpulannya yang lain, namun belum pukul 12 tengahari. Dia segera menuju ke arah teman yang melambai itu. Iffa meneliti wajah teman-teman sekumpulannya, masing-masing berwajah ceria mungkin kerana hari tersebut adalah hari perbentangan. Iffa ketawa kecil melihat slide show teman sekuliah, ada aksi yang berjaya mencuit hatinya. Akhirnya, tiba giliran kumpulan Apollo mempertonton slide show mereka. Berdebar-debar juga Iffa, bimbang kalau-kalau slide show kumpulan mereka dilanda masalah. Tetapi, semuanya baik. Kelihatannya, teman-teman sekuliah tersenyum dan ada yang ketawa kecil tatkala melihat slide show kumpulan mereka. Ternyata aksi-aksi spontan itu juga yang berjaya mencuri hati teman-teman sekuliah Iffa.

Minggu seterusnya. Iffa datang awal kuliah Bahasa dalam Multimedia hari ini, dia memilih untuk duduk di barisan yang kedua, sebaris dengan ahli kumpulannya yang lain. Tepat jam 12 tengahari, Dr. Normaliza tiba di kelas. Di mindanya, Iffa berteka-teki akan aktiviti yang akan mereka sekumpulan lakukan pada hari tersebut. Yang pastinya Dr. Normaliza telah mengarahkan setiap kumpulan menyediakan enam helai kertas lukisan bersaiz A3. Minggu lepas Dr. Normaliza ada menyebut tentang e-majalah, berkemungkinan besar beliau mahu kami membuat papan cerita untuk e-majalah tersebut. Seronok juga, Iffa pun sudah lama tidak melukis. Mungkin sekitar awal semester yang lalu, dia membantu adik perempuannya membuat lakaran binaan dan struktur asas bangunan. Ketika itu, adiknya masih baharu di UPM, pada Iffa sahajalah tempat dia bergantung harap. Iffa bersyukur, kini adiknya itu sudah mula selesa dan dapat mengikut rentak hidup di kampus hijau ini. Dia mendoakan yang terbaik untuk adiknya itu.

“Pastikan tepat pukul 2 petang, e-majalah kamu sampai di bilik saya”, ujar Dr. Normaliza.
“Baik, doktor!”, ujar pelajar Bahasa dalam Multimedia serentak.
Masing-masing memulakan kerja. Ada yang melakar, melukis imej yang sesuai, ada yang menulis teks, dan ada yang memeriksa senarai yang perlu ada dalam papan cerita. Anggota kumpulan Appolo kelihatannya fokus dengan tugas masing-masing, Iffa tersenyum melihat mimik muka teman-temannya sebelum dia menyambung tugasnya semula. Masa semakin suntuk, Iffa memadankan warna yang sesuai untuk lakarannya itu. Setelah selesai, mereka menggabungkan bahagian papan cerita masing-masing menjadi sepuluh muka surat, dan akhir sekali mereka membukukan e-majalah tersebut. Kemudian, Iffa dan Ifa Terengganu berlari mendapatkan bilik Dr. Normaliza kerana tempoh untuk serahan tugasan kian suntuk, kumpulan lain juga kelihatannya mengikut rentak mereka.

“Nasib baik, tak terlambat hantar e-majalah kita tadi. Jom, makan dulu. Lapar pula aku berlari-lari tadi”, ajak Ifa Terengganu.
“Jomlah, aku pun lapar dari pagi tadi belum makan”, kata Iffa.
“Boleh, boleh biar Iffa belanja kita hari ini!”, dengan tidak malunya Dayu member cadangan.
“Eh, aku pula”, Iffa menjeling. Ahli kumpulan Apollo yang lain sekadar ketawa kecil. Mereka berenam menuju ke kafe fakulti sambil mengalunkan lagu kumpulan D’Masiv, ‘Sebelah Mata’.
“Mungkin aku tak berarti di hidup mu. Kau selalu memandangku dengan sebelah matamu. Kau memang pernah membuatku bergetar kaku. Tapi kelakuan mu itu, buatku hilang selera. Aku…tak ada harganya lagi di matamu. Menyesal itu yang akan engkau dapatkan! Aku hanya ingin kamu bisa mengerti, ku takkan tinggal diam. Menyingkapi apa yang telah kau perbuat, selalu rendahkan aku… Aku hanya ingin kamu bisa mengerti, ku takkan tinggal diam. Menyingkapi apa yang telah kau perbuat, selalu rendahkan aku!”

Minggu berganti minggu, Iffa dan Dayu ke Rumah Anak Yatim Rohingya, melihat sekitarnya sebelum lawatan penuh program amal kumpulan mereka ke rumah itu nanti. Ustaz Hafiz pengetua rumah anak yatim tersebut menyambut mesra. Daif benar rumah anak yatim itu, mereka tidak mempunyai bilik tidur. Tempat tidur dan tempat makan adalah di ruang yang sama. Hati kecil Iffa menangis melihat beberapa orang kanak-kanak lelaki tidur beralaskan tikar dan bantal sahaja. Rumah anak yatim tersebut tidak mampu menyediakan tilam untuk kanak-kanak yang seramai 103 orang itu. Selepas berkenalan sekadar dengan pengetuanya, Iffa dan Dayu beramah-mesra dengan penghuni di situ. Ustaz Hafiz juga meminta Iffa memberi sepatah dua kata ketika itu. Dayu pula mengambil gambar sekitar rumah anak yatim itu untuk memudahkan urusan mengumpulkan dana dan mendapatkan tajaan untuk program amal tersebut. Setelah selesai berselawat bersama anak-anak yatim di situ, Iffa dan Dayu meminta diri untuk pulang dahulu. Iffa sempat memaklumkan sekali lagi kepada Ustaz Hafiz, bahawa mereka akan datang lagi pada tarikh yang dijadualkan untuk program amal kumpulannya itu.
Pada malam harinya, Iffa segera membuat risalah untuk kutipan derma mewakili Rumah Anak Yatim Rohingya tersebut. Sambil dia mengerjakan risalah, kepalanya jenuh memikirkan pihak penaja yang boleh dihubunginya bagi meringankan beban anak-anak yatim tersebut. Tiba-tiba, teringat akan temannya yang bekerja di Putrajaya itu. Kalau tidak salah, temannya itu ada menyebut tentang menguruskan rumah kebajikan sebelum ini. Ligat tangannya menekan punat telefon, cuba menghubungi temannya itu.

“Hello, assalammualaikum. Sihat ke?”, ujar Iffa.
“Wa’alaikumusalam. Alhamdulillah, sihat. Cik Iffa rupanya, lama menyepi?”, balas Fakrul di hujung talian.
“Ada je, cuma sibuk sikit. Saya ada perkara nak minta tolong dengan awak ini”, Iffa berterus-terang akan tujuannya itu.
Namun, Fakrul tidak dapat membantu kerana rumah anak yatim tersebut menempatkan perlarian dan mereka tidak berdaftar. Iffa kecewa, namun memahaminya kerana sememangnya penghuni di situ perlarian Rohingya. Tetapi, mereka juga manusia. Bagaimana anak-anak itu mahu pulang ke negara sendiri mereka masih kecil, mereka juga sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini. Mereka juga seagama dengan kita. Iffa melayan perasaan.
“Minta maaflah, Iffa”, tambah Fakrul setelah member keterangan panjang lebar tadi tentang prosedur bantuan kerajaan.
“Tak apa, saya faham. Awak ada nombor telefon mana-mana NGO tak?”, Tanya Iffa dia tidak mahu berputus asa.
“Ada. Nanti saya send nombor mana-mana NGO yang saya tahu,ya”.
“Terima kasih, Fakrul. Assalammualaikum”, ujar Iffa mengakhiri perbualannya.

Keesokan harinya, Iffa dan anggota kumpulan Apollo berpecah demi mengutip derma. Iffa bergerak dengan Dayu dan Aini mengutip derma di Sri serdang. Jenuh juga, menjawab pertanyaan beberapa individu yang mempersoalkan pemilihan rumah anak yatim perlarian Myanmar tersebut. Sudah tidak ada lagikah rumah anak yatim Malaysia yang ingin dibantu sehingga mereka memilih rumah anak yatim Rohingya tersebut? Iffa menahan sabar dan menjelaskan mengapa mereka memilih rumah anak yatim tersebut. Sudahnya, mereka berlalu sahaja tanpa menderma. Iffa faham mungkin mereka ada pendirian mereka sendiri. Bagi Iffa kerja yang dilakukan ini adalah program amal dan mereka merasakan tidak ada salahnya membantu bangsa seagama yang berada dalam kesusahan. Tidak perlu banyak bicara, kalau diri berasa duit itu harus didermakan, silakan menderma seikhlas mungkin. Sekiranya, berfikiran sebaliknya tidak perlulah duit itu didermakan. Iffa berasa sakit hati apabila mengenangkan kata-kata seorang pemuda yang ditemuinya pada hari tersebut. Kata lelaki itu dengan lantangnya bahawa mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian kerana mahu mendapat sumbangan yang banyak dan mahu mendapat markah yang tinggi kerana itu semua hanya tugasan kuliah semata-mata. Entah dari planet mana lelaki tersebut hadir, Iffa membuat dosa menyumpah dalam hati. Bagi Iffa, dan mungkin juga teman-teman sekuliahnya perkara yang sedang mereka lakukan itu bukan sekadar tugasan semata-mata. Buat pertama kalinya di penghujung pengajiannya, Iffa terasa mahu membuka pencak silatnya di hadapan lelaki itu. Mahu sahaja dia ‘sparring’ lelaki yang berada di hadapannya itu. Tetapi, tidak jadi dia bertindak sedemikian apabila memikirkan dirinya yang mengenakan baju kurung pada petang tersebut. Sungguh kurang sopan kalau perkara itu yang berlaku. Astagh Firullaahal ‘Adzim…

Akhir tibalah hari yang dinanti-nantikan, dan seperti yang dijadualkan kumpulan Apollo tiba di Rumah Anak Yatim Rohingya. Mereka meminta bantuan dua orang sukarelawan lelaki bagi memudahkan urusan memungah barang-barang berat, seperti beras dan guni-guninya. Iffa dan anggota kumpulan Apollo yang lainnya kelihatan bersemangat untuk memulakan aktiviti pada hari tersebut. Perasaan sebak disembunyikan diam-diam, kerana tujuan mereka ke sana adalah untuk menceriakan anak-anak yatim itu. Selepas, berdoa dan berselawat bersama-sama, semua anggota kumpulan Apollo memperkenalkan diri masing-masing. Selesai sesi sual kenal tersebut masing-masing berda dalam kumpulan masing-masing. Kanak-kanak di sini sangat ceria dan aktif, sehingga Ifa Terengganu jatuh terlentang ditarik mereka. Kanak-kanak dalam kumpulan Iffa juga tak kurang aktifnya, belum pun mula aktiviti pembelajaran Bahasa Melayu sudah ada yang menangis. Iffa tenang bertanya masalahnya, rupa-rupanya kawan di sebelah menconteng bajunya. Iffa meminta kanak-kanak yang bersalah itu meminta maaf dan dia akur dengan kata-kata Iffa. Gembira Iffa tatkala melihat kedua-dua kanak-kanak itu tersenyum dan bersalaman. Iffa memulakan aktiviti yang pertama iaitu pembelajaran bahasa Melayu. Agak mencabar kerana segelintir sahaja kanak-kanak dalam kumpulannya ini yang mampu berbahasa Melayu. Iffa terpaksa mengingkari rencana pengajarannya, dan mencari jalan lain supaya kanak-kanak itu memahami bentuk pengajarannya. Iffa meminta bantuan salah seorang anak yatim Rohingya iaitu Faridah, sebagai penterjemahnya. Rupa-rupanya kanak-kanak dalam kumpulannya itu dapat memahami bahasa Melayu, cuma tidak mampu untuk bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Semuanya berjalan lancar, dengan bantuan adik Faridah. Faridah juga ada mengajarnya beberapa perkataan Myanmar, seperti berada di kelas bahasa pula fikir Iffa.

“Bazapait! Bazapait!”, ujar Iffa separuh menjerit meminta anak-anak buahnya itu bertenang.

Keadaan sedikit tidak terkawal kerana anak-anak itu sangat ceria. Iffa pun ikut ketawa sama melihat gelagat mereka, terubat rindunya pada adik-adik di kampung.
Sedar tidak sedar, sudah tiba waktu rehat. Iffa memberi isyarat kepada anggota kumpulan yang lain supaya berhenti rehat. Kemudian, mereka memaklumkan kepada guru yang bertugas bahawa akan masuk semula selepas solat Zohor di kawasan berhampiran. Gurunya tersenyum mangangguk faham. Terkejut, Iffa tatkala seorang budak kecil menerpa memeluknya. Mungkin kanak-kanak lelaki itu fikir Iffa sudah mahu pulang, Iffa menjelaskan bahawa dia dan kakak-kakak yang lain keluar untuk solat dan akan masuk sebentar lagi. Kanak-kanak itu sepertinya tidak memahami akan pertuturan Iffa. Iffa meneliti wajah swayu kanak-kanak itu, sebelum ditarik oleh gurunya. Tersentuh juga Iffa ketika itu, tetapi Iffa bertahan. Mereka sekumpulan berlalu, mendapatkan masjid untuk menunaikan solat dan selepas itu berencana pula mencari kedai makan. Supaya lebih bersemangat, terasa penat lantaran berperang dengan emosi.
Teman-teman sekumpulan sudah bergerak masuk ke rumah anak yatim untuk meneruskan aktiviti yang seterusnya, iaitu pembelajaran bahasa Inggeris. Iffa terpaksa berpatah balik ke kereta, terlupa akan kameranya yang tertinggal di kereta. Tersentak Iffa, tatkala kanak-kanak dari kumpulannya menyerbu menariknya masuk ke dalam rumah.

“Cepatlah kak Iffa”, ujar kanak-kanak itu. Bersemangat sungguh kanak-kanak di rumah anak yatim itu. Kanak-kanak lelaki yang menangis tadi, terlompat-lompat ceria.
“Comel”, Iffa bermonolog dalaman.

Selesai pembelajaran bahasa Inggeris. Mereka melukis dan mewarna pula. Kanak-kanak di rumah anak yatim itu berbakat besar, walaupun umur mereka masih muda tetapi lukisan yang dihasilkan agak berseni dan menarik perhatian.
Nasib baik Iffa teringat akan arahan Dr. Normaliza supaya menemubual pengetua dan anak yatim di situ melalui rakaman kamera. Segera dia, perlahan-lahan berlalu meninggalkan kanak-kanak yang sedang khusuk mewarna itu.

Selesai sahaja temubual dengan tuan pengetua, jam di tangan sudah menunjukkan pukul 4.15 petang. Iffa memberi isyarat kepada teman-temannya supaya berhenti dan bersedia untuk acara memotong kek dan penyerahan sumbangan. Masa berlalu dengan pantas, proses-proses pengagihan kek dan air harus dilakukan dengan pantas kerana anak-anak yatim perlu solat Asar berjemaah sejurus masuk waktu solat.

Sebelum meninggalkan rumah anak yatim itu mereka sempat bergambar kenang-kenangan. Meriah sungguh, persis suasana hari Raya. Akhir sekali, mereka semua bersalam-salaman. Ada juga yang menangis tidak mahu berpisah, Iffa juga cuba bertenang. Entah kenapa, walau seketika terjalin kasih di antara mereka tetapi masing-masing kelihatannya seperti sudah kenal lama. Anak-anak yatim Rohingya melambai hingga ke tangga. Iffa perlahan-lahan berlalu meninggalkan rumah tersebut. Sebelum masuk ke kereta pinjam masing-masing, semua anggota Appolo yang terdiri daripada Iffa Terengganu, Dayu, Shikin, Aini, Adila dan Iffa bersalaman dan berpelukan, antara satu sama lain. Mereka mengucap syukur, kerana semuanya berjalan dengan lancar seperti yang telah direncanakan. Apabila pulang nanti, mereka perlu menghasilkan video menggunakan perisian windows movie maker untuk dipertontonkan dalam kelas pada minggu hadapan. Persembahan multimedia aktiviti yang berlaku di sepanjang ‘Program Amal ke Rumah Anak Yatim Rohingya’ tersebut, harus bersiaran sekitar 7 minit.
Tugasan dari kelas toturial yang terakhir adalah menghasilkan blog. Iffa datang lewat pada petang tersebut, lantaran kehadiran kakak ke kolej kediamannya bersama tukang jahit. Terpaksalah dia merelakan kakak dan temannya itu mengambil saiz tubuhnya untuk persalinan pengapit pengantin di bulan Mei nanti. Nasib baiklah, Iffa sudah meminta Dayu memaklumkan kepada Cik Alia akan kelewatan yang tidak disengajakan itu. Kerana kelewatan itu, Iffa sedikit kepeningan untuk memulakan proses membuat blog tersebut. Nasib baiklah, Nadia rakan di sebelah membantunya sebelum dia berjumpa rentak dan dapat mengejar tutorial Cik Alia. Iffa segera melakukan seperti yang diarahkan Cik Alia satu persatu. Dia tidak mahu ketinggalan, kerana setiap kelewatannya menekan mana-mana butang, akan membuatkan dia kepeningan seperti kejadian membuat laman web beberapa minggu yang lalu. Petang itu, Iffa pulang dengan gembira kerana dia dapat menangkap ajaran Cik Alia.

Kecewa, kerana persembahan multimedia program amal kumpulan mereka tidak dapat dipertontonkan kerana berlaku masalah teknikal. Walau bagaimanapun, Dr. Normaliza bermurah hati kerana memberi peluang kedua kepada kumpulan Apollo untuk membuat persembahan multimedia pada minggu hadapan. Mereka semua berasa sangat bersyukur, itu bermakna markah sebanyak 30 peratus kumpulan mereka tidak akan dipotong.
Pada malam harinya, Iffa segera mengerjakan perisian windows movie maker pada komputer ribanya, demi menghasilkan persembahan multimedia yang baru. Dia memulakan kerja menyusun gambar dan teks dengan berhati-hati. Dia tidak mahu tergesa-gesa kerana perisian ini sememangnya gemar membuat komputer ribanya hang. Iffa Terengganu dan Dayu datang bertandang, membantu dan memberi idea. Sambil menyusun-yusun gambar-gambar anak yatim pada papan cerita windows movie maker, entah mengapa tiba-tiba rindu datang bertandang. Terasa sayu mengenangkan anak-anak yatim tersebut. Sedar tidak sedar, hari sudah lewat malam. Teman-temanya itu meminta diri untuk pulang ke bilik masing-masing. Kerja-kerjanya sudah tinggal separuh, seterusnya dia perlu memasukkan audio dan klip rakaman bersama pengetua dan mengedit tempoh masa antara gambar-gambar. Dia perlu mengedit rakaman pengetua yang agak panjang itu terlebih dahulu, kemudian disesuaikan dengan volume dalam perisian movie maker lantaran suara dari kameranya yang kurang jelas. Bagi proses memasukkan rakaman tersebut entah berapa puluh kali program komputer ribanya tergendala. Iffa mengucap panjang, terasa mahu menangis kerana belum sempat dia menyimpang data, komputernya itu tersentap dan memaksanya memulakannya semula. Entah berapa kali komputer ribanya itu tergendala, tidak kuasa untuk Iffa menghitungnya.
Iffa menghidupkan kembali komputer ribanya itu. Dia melakukan semula kerjanya perlahan-lahan. Setiap perubahan dan proses yang dilakukannya akan disimpan tanpa bertangguh-tangguh seperti sebelumnya. Akhirnya, siap juga video kumpulan mereka. Iffa mencubanya terlebih dahulu menggunakan program real player, dan setelah berpuas hati dia membuat salinan video program amal kumpulannya itu ke cd. Terasa puas, tatkala melihat usahanya berhasil.

Pada keesokan harinya, Iffa dan Dayu mencuba cd tersebut pada komputer utama bilik Jauhari. Kali ini, dia berharap sudah tidak ada sebarang masalah berlaku dan menganggu persembahan multimedia kumpulan mereka. Dia tidak mahu perkara yang berlaku pada video yang dihasilkan anggota kumpulannya minggu lalu, berlaku pada video yang dihasilkannya itu. Perlahan-lahan dia menghantar data dari cd ke komputer utama, lalu mencubanya dengan program real player. Berjaya! Iffa dan Dayu tersenyum. Mereka menonton video tersebut, hingga penghujungnya bagi memastikan benar-benar tiada masalah. Setelah berpuas hati mereka berdua berlalu meninggalkan bilik Jauhari dengan perasaan yang berbunga.

Kuliah terakhir Bahasa dalam Multimedia, selepas terkesan dengan persembahan multimedia Khatijah, seperti yang telah dijanjikan Dr. Nortmaliza membenarkan kumpulan Apollo mempersembahkan video program amal kumpulan mereka. Semua ahli kumpulan Apollo diminta tampil ke hadapan kelas sebelum tayangan video tersebut dimulakan.
Jiwa Iffa kembali tersentuh tatkala melihat wajah-wajah kecil di skrin besar. Ifa Terengganu dilihat menangis sambil mencapai tangan Iffa. Iffa mengangguk faham. Teman-teman sekuliah memberi perhatian dan ada juga yang menangis, mungkin mereka juga terkenang tempat yang pernah mereka lewati beberapa minggu yang lalu. Kadang-kadang Iffa merasakan kehidupannya tidak sempurna, berasa ibu bapanya tidak punya masa untuk dirinya, dan ada sahaja yang tidak puas di hatinya, tidak pernah bersyukur! Hari ini, pengalaman di rumah kecil itu mengajarnya untuk bersyukur. Bersyukur di atas segalanya yang berada di depan mata, tetapi entah mengapa dia tidak dapat melihat semua itu sebelum ini. Penghuni di rumah kecil itulah yang menyedarkannya…Alhamdulillah. Bagiku, subjek BBM3410 ini sungguh luar biasa...Iffa Bermonolog sendirian.

Wednesday, April 8, 2009

Gambar Sekitar Program Amal Ke Rumah Anak Yatim Rohingya, Selayang


Rindunya kat diorang ni...


Bersama tuan pengetua, Ustaz Hafiz Hashim Bin Qassim


Bergambar bersama guru-guru Rumah Anak Yatim Rohingya


Antara Aini dengan anak-anak ini, mana lagi comel? huhu...


Cikgu yang cool!


Cik Iffa melayan perasaan...huhu


Kau buat ku selalu tersenyum...

Fokus, fokus!


Bla, bla, bla...bla. Faham tak?


Kalau ada yang tak faham, tanya ya!


Huh...terus bersemangat ya, Ifa!

Tak nak gaduh-gaduh la...salam, salam...

Serius! Cik Shikin ketika pembelajaran bahasa Melayu


Waktu makan tengahari...

Kenangan Bersama Takkan Ku Lupa...

Proses penggambaran peribahasa 'sudah jatuh ditimpa tangga'

Berehat seketika...

Mayat hidup di fakulti bahasa! huhu...

Rumah kata pergi, kubur kata mari...

Penggambaran peribahasa 'ulat buku'

Tuesday, April 7, 2009

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:


1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu
mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi. Dikatakan orang
Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi
kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada
sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan
kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini
boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.


Asal Usul Bangsa Melayu
Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi). Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera. Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Keturunannya orang Melayu di Malaysia. Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto. Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam. Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto. Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara. Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini. Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Perkembangan Bahasa Melayu
Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
Bahasa Melayu Kuno,
Bahasa Melayu Klasik dan
Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara. Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:

1. Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
2. Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
3. Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
4. Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.


Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
Pengaruh agama Hindu Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi. Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.


Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
1. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
2. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
3. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
4. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
5. Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam
huruf Nagiri.


Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno:
1. Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
2. Susunan ayat bersifat Melayu
3. Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
4. Bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
5. Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
6. Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
7. Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
8. Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.
Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.


Terdapat Tiga Batu Bersurat yang Penting:
a. Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
Ditulis dalam huruf India. Mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit. Bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.


b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
masih memakai abjad India
buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat


c. Batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
ditulis dalam tulisan Jawi, membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.


Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.


Bahasa Melayu Klasik
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
i) Zaman kerajaan Melaka
ii) Zaman kerajaab Acheh
iii) Zaman kerajaan Johor-Riau

Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.


Ciri-ciri Bahasa Klasik:
1. Ayat: panjang, berulang, berbelit-belit. Banyak ayat pasif.

2. Menggunakan bahasa istana:
kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul


3. Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.


4. Ayat songsang: banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''


Bahasa Melayu Moden
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.


Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Drama Melayu: Konsep dan Ciri

Drama berasal dari bahasa Greek; dari kata kerja dran yang bererti berbuat, atau to act atau to do (Morris 1964:476). Dari segi makna khusus mengutamakan perbuatan, gerak yang merupakan elemen yang bersifat drama. Drama adalah hidup yang ditampilkan melalui gerak (Moulton: 1989). Drama adalah kesenian melukis sifat dan sikap manusia dengan gerak (Slametmuljana: 1957).

Drama dalam Webster New Collegiate Dictionary bermaksud drama sebagai satu karangan dalam prosa atau puisi yang memotretkan kehidupan atau tokoh dengan bantuan dialog atau gerak yang direncanakan. Drama dalam Dictinary of World Literature”; drama mencakup setiap jenis pertunjukan tiruan pebuatan, mulai dari produksi, komidi, pantomin ataupun upacara keagamaan. Drama hanyalah merupakan lakon yang dapat diperguna sebagai alat manusia untuk melakonkan tokoh-tokoh tertentu di hadapan kelompok teman mereka. Drama merupakan cabang seni sastera yang mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat.

Jelasnya, drama adalah satu cabang seni sastera yang mementingkan dialog, gerak atau perbuatan dan terdapat dalam prosa atau puisi. Dalam pengertian lain, drama juga adalah satu seni yang menggarap lakon-lakon mulai sejak penulisan skrip hinggalah pementasan. Justeru, untuk pementasan drama memerlukan ruang, waktu atau audiens. Sesuatu yang dipaparkan melalui drama adalah sesuatu atau sejumlah kejadian yang memikat dan menarik hati serta menimbulkan kesan emosi. Hal ini bermaksud bahawa drama masih terikat dengan persekitaran dan masyarakatnya.


Latar Belakang Drama Pentas

Perkembangan awal pementasan drama di Malaysia dilihat wujud pertalian erat dengan pertumbuhan drama pentas di Greek, Mesir, India, China, Jepun atau Indonesia yang turut memasukkan unsur-unsur dan amalan ritual iaitu kepercayaan kepada amalan nenek moyang yang bersifat animisme; kepercayaan terhadap alam sekeliling yang dianggap mempunyai kuasa-kuasa tertentu.

Berdasarkan huraian tersebut, ternyata kemunculan drama ada pertaliannya dengan keagamaan (Francis Edward; 1976). Di Mesir Tua misalnya ada upacara keagamaan yang berbentuk tarian dan lakonan. Hal yang sama terdapat di Malaysia dengan wujudnya aktiviti-aktiviti yang pengisian seakan-akan sama seperti main pantai, puja pantai, main puteri. Aktiviti tersebut dengan jelas memperlihatkan unsur animisme (Mana Sikana; 1991). Tradisi main pantai yang telah dipraktikkan sejak 200-300 tahun dahulu diadakan selepas musim menuai padi bertujuan supaya padi akan menjadi. Upacara tersebut dimulai dengan jampi serapah, makan sirih lalu diikuti dengan istiadat berarak, bersanding, menyanyi dan menari dengan iringan muzik dombak, gong dan rebana.

Begitu juga dengan aktiviti Main Puteri yang dianggap sebagai salah satu aktiviti perubatan yang dipenuhi dengan dialog-dialog perbomohan, nyayian dan tarian dan diikutsertakan dengan cerita-cerita dan lakonan secara miripan memiliki ciri-ciri sebuah drama. Berasaskan aktiviti keagamaan itu telah mengarah kepada penciptaan drama tradisional yang baru. Kegiatan main puteri dan lain-lain kegiatan wujud seperti seadanya. Kegiatan ritualisme itu sekadar menjadi akar landasan bagi membentuk drama tradisional yang lebih bersifat dramatik.

Sebagai rakaman sejarah perkembangan drama, Wayang Kulit merupakan drama tradisional Melayu yang pertama yang sifatnya agak berbeza dengan unsur-unsur pendramaan. Kewujudannya dicatatkan sekitar abad ke-13 dan ke-14 yang dikatakan berasal dari Jawa. Ia merupakan drama tulen Indonesia yang dikesan kewujudannya sejak kurun pertama sebelum masihi. Terdapat juga sejenis wayang kulit dari Thailand yang dinamai wayang kulit Siam. Bentuk drama ini telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada rakyat jelata sebagai satu sumber hiburan yang cukup memberi kesan. Namun, dalam abad ke-18 telah muncul pula sebuah drama dari Thailand yang khalayaknya daripada golongan bangsawan yang dikenali sebagai Makyung. Ia bukan sebagai wayang kulit yang dihidupkan oleh dalang tetapi manusia sendiri yang bertindak sebagai pelakon dan melakonkannya. Makyung sudah memeiliki ciri-ciri pendramaan yang terungkapnya cerita, lakonan dan tarian walaupun sebaran khalayaknya berkisar di Kelantan sahaja disebabkan faktor bentuk dan bahasa tempatan yang mendominasi kewujudan ciri-cirinya.

Pada dasarnya drama-drama tradisional Melayu lebih cenderung dan bercorak tempatan seperti boria di Pulau Pinang yang mengandungi tarian dan lakonan yang bermotif masyarakat pada peringkat awal sebelum disampaikan nyayian. Di Negeri Sembilan pula ditemui randai yang terkandungnya lakonan dan cerita. Manakala di Johor pula terkenal dengan kuda kepang yang memperlihatkan jampi serapah dan gerak gerinya melambangkan pendramaan. Di Perak terdapat pula Dabus yang seakan-akan kuda kepang tetapi mengandungi unsur-unsur teater.

Secara jelas dapat dilihat bahawa drama-drama Melayu tradisional menampakkan hubungan dengan sikap dan sistem kemasyarakatan. Lantaran itu ruang dan horizon penyebarannya sekadar berkisar dalam daerah tempatan juga. Hanya pada abad ke-19 dilihat sebagai satu titik mula dalam drama Melayu yang merubah lingkaran persempadanan keselutuhan negara.


Drama Bangsawan

Kemunculan drama bangsawan dikatakan berasal dari benua kecil India (Rahmah Bujang: 1975). Pada 1870 datang rombongan dari India yang dikenali sebagai “Rombongan Wayang Parsi” atau “Mandu” yang anggotanya terdiri daripada lelaki dan perempuan dan persembahannya menggabungkan unsur lakonan, nyayian dan tarian. Tema yang dipilih pula berkisar mengenai cerita-cerita fantasi, pengembaraan ke alam khayal manakala tujuan persembahannya ialah sebagai hiburan.

Persembahan tersebut jelas mendapat sambutan luar biasa kerana kelainan yang ditunjukkan. Ini mendorong Syed Abdul Rahman Al-Masyhor menubuhkan kumpulan yang pada awal pembabitannya tertumpu kepada nyayian dan tarian tetapi kemudiannya berubah kepada bentuk kumpulan drama. Bertitik tolak dari sinilah bermulanya sejarah pertumbuhan bangsawan.

Ada lima tahap sejarah pertumbuhan bangsawan iaitu:

I. 1870-1884 – tahap pengenalan drama India ke alam Melayu
II. 1885-1902 – zaman permulaan pertapakan bangsawan
III. 1902-1935 – zaman kecemerlangan- wujud pembaharuan dengan memasukkan unsur

barat misalnya drama Shakespeare.
IV. 1936-1945 zaman kemerosotan terutama zaman pemerintahan Jepun
V. Tahun-tahun selepas itu sebagai zaman kemalapan atau kegelapan.

Daripada segi pengkategorian, bangsawan merupakan drama tradisional. Penggolongan ini berdasarkan ciri-ciri berikut iaitu:

I. Peristiwa bangsawan berpanjangan dan merupakan struktur daripada beberapa episod.
II. Bentuk lakonan yang ditokok tambah dengan unsur-unsur lucu, farce, melodrama.
III. Bersifat didaktik
IV. Plot yang hampir sama
V. Watak-watak streo-type dan peranannya hampir sama iaitu orang muda, seri panggung, ahli lawak, jin afrit dan orang jahat (Mana Sikana; 1989).

Pada peringkat awal, pelakon bangsawan terdiri daripada pelakon lelaki dan pelakon perempuan hanya dibenarkan memegang watak ‘Sri Panggung’. Tarikh utama dalam persembahan bangsawan ialah tarian pelakon-pelakon lelaki dan perempuan. Dalam satu-satu persembahan, drama bangsawan mengandungi 15 hingga 20 babak dan dilangsungkan dalam beberapa malam. Namun, faktor sambutan penonton menjadi penentu panjang atau pendeknya sesuatu bangsawan itu.


Bangsawan dipersembahkan tanpa skrip. Penggunaan pentas dan setting menjadi salah satu faktor kejayaan persembahan bangsawan. Penukargantian ‘backdrop’ atau ‘curtain’ yang menggambarkan suasana disesuaikan dengan situasi. Selain itu, penggunaan special effect atau dalam bangsawan dikenali sebagai ‘tasmat’ iaitu penggunaan kesan seperti cahaya api, aspek-aspek teknikal yang lain.

Watak utama iaitu Orang Muda dan Sri Panggung menggenakan pakaian atau kostum yang menarik dan indah sesuai dengan peranan yang dibawakan. Manakala watak antogonis yang dimainkan oleh watak jin, hantu dan gergasi memakai bentuk kostum atau warna yang menakutkan. Hubungkait antara pakaian dan kostum ini dapat menghidupkan jalan cerita atau mood pelakon. Selain itu, turut dimunculkan dalam bangsawan ialah alam khalayan atau alam imaginasi. Hal yang sama berlaku dalam pementasan drama Melayu.


Drama Bentuk Realisme

Konsep pementasan drama realisme telah diperkenalkan oleh beberapa orang aktivis drama seperti George Benard Shaw, Henrik Ibsen, August Strinberg dan Anton Chekhov di Eropah. Dramatis Barat ini menggunakan peralatan realistik dalam pementasan drama mereka untuk menarik perhatian masyarakat kepada isu-isu semasa. Pengaruhan pementasan bentuk ini akhirnya berkembang keserata tempat termasuk Malaysia yang dicubabawakan pada dekad 1960-an itu.

Penggaraban yang realistik dan setting yang realistik terkesan melalui drama-drama antaranya seperti Atap Genting Atap Rumbia (Mustaffa Kamal Yassin, Tamu di Bukit Kenney (Usman Awang). Perkembangan yang sama turut wujud dalam drama-drama radio yang antara lain mengemukakan dramatis seperti Salim Bachik, Fatimah Yassin, Othman Zainuddin. Kemunculan televisyen. Nama-nama seperti Zain Mahmud, Aziz Jahpin, Azizi Haji Abdullah mewarnai jalur perkembangan drama pada waktu itu.

Kegiatan drama pada tahun-tahun 1970-an dan seterusnya menampakan kepesatan. Ini ekoran dengan wujudnya institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang membuka ruang pementasan kepada para pensyarah dan pelajar masing-masing. Penampilan kembali beberapa orang yang berpendidikan barat yang cenderung dalam kegiatan pementasan seperti Dinsman, Noordin Hasan, Syed Alwi mewujudkan gabungan bersama dengan kelompok sedia ada antaranya Hatta Azad Khan, Salleh Joned, Krishen Jit dan Johan Jaafar. Bermula dari sinilah terhasilnya drama beraliran ‘absurd’ atau abstrak. Beberapa aliran drama muncul seperti sureslisme (Tok Perak- Syed Alwi), absurdisme (Bukan Bunuh Diri- Dinsman) di samping mempergiatkan drama-drama beraliran realisme. Kekaburan, protes sosial serta perkembangan plot yang bercelaru dianggap sebagai ciri drama pada waktu itu. Kebanyakan penulisnya mengkritik secara lantang terutama permasalahan yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan keadilan sosial. Ini terpapar dalam drama-drama Noordin Hassan (Tiang Seri Tegak Berlima), Johan Jaafar (Kotaku Oh Kotaku) dan Hatta Azad Khan (Mayat).

Perkembangan mutakhir menampakan satu kelainan yang cuba ditonjolkan dalam pementasan drama. Aliran neo-realisme yang menampilkan persoalan-persoalan konvensional dari prespektif pemikiran baru dan segar. Watak-watak tradisional diberi perwatakan baru untuk disesuaikan dengan permasalahan semasa. Aliran ini dipelopori oleh aktivis drama iaitu Zakaria Ariffin menerusi dramanya Pentas Opera, Rahmah Bujang dalam drama Si Tanggang dan Noordin Hassan yang menampilkan drama “Malam Ini Penyu Menangis”. Ternyata sumbangan kelompok ini, telah mengangkat drama sebagai medium sastera yang berhasil memaparkan persoalan-persoalan masyarakat.



RUJUKAN

Amin Iskandar. Blog, Melayu Kini, News and Views That Matter: ‘Apabila Sasterawan Negara Dipinggirkan...’
Diakses pada: 31 Julai 2008
Diakses di:
http://www.malaysiakini.com/columns/77340

Arifin Nur: 1972. Sastera Melayu Moden. Kota Bharu, Pustaka Aman Press.

Baha Zain. 1991. “Penyair, Puisi dan Kemanusiaan”. Dewan Sastera. Jld.21(1):18-21.

Chapman, Raymond.1973. Linguistics and Literature: An Introduction to Literary Stylistics. London: Arnold Ltd.

Zaidin Abadi. E-sasterawan.net: Nostalgia; Baca Puisi Merdeka 1. Diakses pada: 10 Ogos 2008.
Diakses di:
http://www.esasterawan.com.net


8 Petanda Bahawa Dia Adalah Jodoh Kita

Dua manusia yang merasa saling berjodoh pasti memiliki ikatan emosional, spiritual dan fizikal antara keduanya. Hanya dengan menatap mata atau mendengar suaranya, kita akan merasakan getaran dan seolah ingin terus bersamanya. Benarkah seperti itu? Lalu, apakah ada petanda lainnya agar seseorang dapat merasakan bahawa sidia jodoh (soulmate) kita atau bukan?

Petanda 1
Rahsia sepasang kekasih agar dapat memiliki usia hubungan yang panjang adalah dengan adanya saling kerjasama. Kamu dan dia selalu dapat saling membantu, dalam urusan remeh atau besar. Paling penting adalah kamu berdua selalu dapat melalui segala aspek kehidupan secara bersama-sama. Dan semuanya terasa amat menyenangkan meskipun tanpa harus melibatkan orang lain. Apakah kamu sudah merasakan perkara tersebut? Jika ya, selamat... kerana ada harapan bahawa dia adalah calon pendamping hidup kamu!

Petanda 2
Salah satu kriteria yang menentukan sesuai atau tidaknya dia sebagai jodoh kamu atau bukan, adalah kemampuannya bersikap bersahaja di depan kamu. Cuba sekarang perhatikan, apakah gerak-gerinya, caranya berpakaian, gaya rambutnya, caranya berbicara serta tertawanya mengesankan apa adanya? Apakah setiap ucapannya selalu tampak spontan dan tidak dibuat-buat? Jika tidak, maaf kemungkinan besar dia bukan jodoh kamu!

Petanda 3
Adanya deria batiniah membuat hati kamu berdua dapat selalu saling tahu..Dan bila kamu atau si dia dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaannya satu sama lainnya pada situasi tertentu. Selamat! Sebenarnya dialah destini kebahagian kamu...

Petanda 4
Bersamanya dapat membuat perasaan kamu menjadi tenang, selesa dan tanpa perasaan tertekan. Berjam-jam bersamanya, setiap waktu dan setiap hari tanpa membuat kamu merasa bosan... Inilah petanda bahawa kamu berdua kelak akan saling terikat.

Petanda 5
Dia selalu ada untuk kamu dalam situasi apapun. Dan dia selalu dapat memahami situasi dalam hati kamu baik dalam suka dan duka. Percayalah pasangan yang berjodoh pasti tak takut mengalami pasang-surut, suka-duka saat bersama. Sekarang, ingat-ingat kembali. Apakah dia orang pertama yang datang memberi bantuan tatkala kamu dirundung musibah? Dia selalu faham saat emosi kamu terganggu? Dia tahu keadaan waktu anda sakit? Jika ya, tak salah lagi. Dialah orangnya...

Petanda 6
Dia tak terlalu peduli dengan masa lalu keluarga kamu, dia tak peduli dengan masa lalu kamu saat bersama kekasih terdahulu. Dia juga tak malu-malu menceritakan masa lalunya... Nah, kalau begitu ini bisa bererti >dia sudah siap menerima kamu seadanya..

Petanda 7
Setiap orang pasti memiliki kekurangan, dan kamu tak malu-malu perlihatkannya pada si dia. Bahkan pada saat kamu tampil 'buruk' di depannya sekalipun, misalnya saat kamu bangun tidur atau saat kamu sakit dan tak mandi selama dua hari. Ataupun menceritakan sejujurnya kepada kamu >tentang kelemahan dan kekurangannya... Nah! Kamu dan dia memangnya disuratkan untuk bersama!

Petanda 8
Bila merasa rahsia kamu bisa lebih selamat di tangannya daripada di tangan sahabat-sahabat kamu yang lain. Atau kamu merasa sudah tak dapat lagi menyimpan rahsia apapun darinya, maka berbahagialah! Kerana ini bererti pasangan sejati telah kamu temukan! Apakah kelapan² petanda di atas telah kamu temukan padanya? "Manusia Hawa diciptakan dari rusuk manusia Adam, bukan dari kepalanya untuk dijunjung diatasnya, bukan pula dari kakinya untuk dijadikan alasnya, tetapi disisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat pada lengannya utk dilindungi & dekat dihatinya untuk dicintai"

Jodoh Cik Iffa? Hum...entahlah.huhu...



Realiti Industri Penerbitan Buku Di Malaysia

Industri penerbitan buku di Malaysia masih belum begitu maju. Dengan kadar penerbitan buku tidak melebihi 10,000 judul setahun selain jenis dan kualiti yang terbatas, menjadikan Malaysia ketinggalan jauh berbanding negara-negara lain. Dibandingkan dengan korea dan Jepun kita masih ketinggalan. Jika dibandingkan dengan Taiwan sekalipun, yang mempunyai rakyat lebih kurang sama dengan Malaysia sebanyak 26 juta orang, mereka mampu menerbitkan sebanyak 30,000 judul setahun. Melihat pada kekurangan kadar penerbitan buku di Malaysia, maka punca kemunduran dan inisiatif memperkasa industri penerbitan buku negara harus diusahakan bersama.

Terlalu sedikit bilangan buku penting diterbitkan untuk bacaan umum, dan isu profesionalisme masih menjadi persoalan utama dalam industri penerbitan buku di Malaysia. Hal ini termasuk, saiz syarikat penerbitan yang kecil dan masih menumpukan perhatian kepada penerbitan buku teks atau penerbitan berorientasikan peperiksaan yang bersifat komersil semata-mata, merupakan punca kemunduran industri penerbitan buku di negara ini. Syarikat-syarikat penerbitan kecil misalnya, terpaksa menerbitkan buku secara bertahap dan terhad jumlah pengeluaran-nya demi menjaga kos penerbitan. Syarikat-syarikat ini tidak sanggup menanggung risiko kerugiaan sekiranya buku yang diterbitkan tidak terjual di pasaran. Lantaran itu, mereka memilih untuk menerbitkan buku-buku yang bersifat komersil semata-mata. Permasalahan inilah yang menyebabkan industri penerbitan buku di negara ini tidak berkembang dan terus mundur.

Satu lagi masalah yang menjadi punca kemunduran industri penerbitan buku negara ialah dari segi penulisan buku itu sendiri. Penerbitan buku di Malaysia sememangnya disertai pelbagai kaum tetapi penulisan buku dalam bahasa kebangsaan hanya dimonopoli orang Melayu sahaja. Kaum lain kurang berminat untuk menulis buku dalam bahasa kebangsaan. Misalnya, buku-buku ilmiah yang terdapat dipasaran kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan penulis lebih selesa menyampaikan ilmu dalam bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa kebangsaan, hal ini mungkin disebabkan istilah dalam bahasa kita masih belum mampu mengungkap ilmu dari barat tersebut sekiranya menggunakan bahasa Melayu. Pemasalahan inilah yang menjadi punca kepada kelembapan industri penerbitan buku di Malaysia, khasnya penerbitan buku dalam bahasa kebangsaan.

Selain itu, kelembapan industri penerbitan buku negara juga berlaku disebabkan kurangnya budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia itu sendiri. Misalnya, pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, baru-baru ini, kita dapat melihat kepedulian masyarakat Malaysia terhadap amalan membaca ini hanya ada pada sebahagian kecil masyarakatnya sahaja. Melihatkan pengunjung dalam pameran ini merupakan salah satu indikasi bahawa masyarakat Malaysia kurang dekat dengan buku. Hal ini mengkhuatirkan kita, betapa hebat sifatnya pemeran buku berkala antarabangsa ini diadakan tetapi jumlah yang hadir hanya sebilangan sahaja. Di sini timbul persoalan dari segi kurang promosi yang menarik orang ramai untuk ke pameran tersebut, ataupun benarlah bahawa masyarakat Malaysia sememangnya belum terbudaya dengan amalan membaca. Kurangnya amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia inilah yang menyebabkan industri penerbitan buku negara tidak berkembang. Syarikat penerbitan mengehadkan jumlah cetakan buku syarikat masing-masing kerana tidak mahu buku terbitan mereka berlambakan di pasaran dan tidak laku, lantaran rakyat Malaysia tidak mencintai buku. Tanpa sokongan dari anggota masyarakat Malaysia sendiri, nasib industri penerbitan buku negara kita akan terus begini, terus malap.

Harga buku yang mahal pula dikatakan penyebab kepada lambakan buku di pasaran, dan soal harga itu juga menjadi halangan kepada masyarakat untuk membudayakan amalan membaca. Hal inilah yang memeningkan pengurusan syarikat penerbitan, khususnya syarikat-syarikat penerbitan kecil yang beroperasi secara tradisional. Di samping memiliki kakitangan yang kurang pendedahan dalam pengurusan, proses penerbitan di syarikat-syarikat penerbitan kecil ini juga bukan berteraskan teknologi moden. Permasalahan dari soal kos penerbitan, soal cukai buku, cukai mesin cetak, promosi buku, dan pelbagai kos lagi sememangnya membebankan mereka. Memang ada sesetengah syarikat penerbitan yang menjual buku dengan harga yang murah, akan tetapi syarikat penerbitan tersebut akhirnya terpaksa menanggung kerugian. Lantaran itulah, buku-buku terpaksa dijual dengan harga yang mahal. Syarikat-syarikat sebeginilah yang harus dibantu khususnya oleh pihak kerajaan. Bantuan dan perhatian perlu diberi, agar ahli-ahli penerbitan ini dapat bangun lebih gah dan seterusnya memajukan industri penerbitan buku negara.

Selain masalah masyarakat itu sendiri yang kurang membaca, kurang gemarkan ilmu, buku mahal, dan mereka tidak berdaya untuk membelinya, industri penerbitan buku negara terus malap kerana maklumat tentang industri buku bersifat picisan tidak menyeluruh dan boleh dipertikaikan kesahihannya. Hal ini kerana, banyak buku bermutu dan mempunyai kandungan yang berharga tidak diketahui umum kerana penerbit kecilnya tidak mampu mengadakan majlis pelancaran buku. Berlainan dengan buku-buku picisan, seperti majalah-majalah selebriti yang keluarannya setiap bulan dipublisitikan di media. Inilah realiti yang perlu diperbaiki, memandangkan industri buku bergerak atas dasar laris atau tidak sesebuah buku itu.
Seterusnya, kekurangan penerbitan ilmiah dalam industri penerbitan buku negara. Di Malaysia, industri perbukuan ini bukan industri yang mewah dibandingkan dengan industri-industri lain. Pendek kata, tahapnya masih lagi industri kecil dan sederhana (IKS). Pihak yang ingin melibatkan diri dalam industri ini juga tidak banyak, mungkin disebabkan industri ini kurang mendatangkan laba, walaupun proses untuk mendapatkan ilmu melalui buku itu harganya mahal. Oleh sebab itulah, kebanyakan penerbit berlumba-lumba untuk menghasilkan buku teks memandangkan pulangannya yang besar, sehingga mengabaikan terbitan ilmiah. Mujur ada Majlis Penerbit-penerbit Ilmiah Malaysia (Mapim) yang bertungkus-lumus memastikan perbukuan ilmiah tidak terus lesu, dalam arus industri penerbitan buku Malaysia yang sedia lesu ini.


Di Malaysia, belum banyak badan atau tempat diwujudkan untuk para penggiat buku merujuk, mendapatkan maklumat terperinci dan tepat, bagi membantu mereka merangka strategi peniagaan buku masing-masing. Benar, kita ada Dewan Perniagaan Buku, yang ditubuhkan hamper dua tahun lalu. Begitu juga dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MPKM), yang wujud sejak tahun 1995 lagi. Tetapi masalahnya ialah baik Dewan Perniagaan Buku dan MBKM walaupun mempunyai status sosial yang tinggi dalam industri, kedua-dua majlis ini masih belum mempunyai autoriti jelas, kepegawaian yang cukup serta dana untuk menjadi payung kepada buku itu sendiri. Beginilah realiti industri penerbitan buku di Malaysia.

Seterusnya, melihat perkembangan penerbitan buku kanak-kanak di Malaysia. Perkembangan penerbitan buku untuk golongan kanak-kanak dan remaja di negara ini masih tidak setanding dengan negara-negara maju. Beberapa faktor termasuk kekurangan penulis yang berpengalaman, pelukis berwibawa dan kos penerbitan yang tinggi dipercayai menjadi punca matlamat penulisan buku terhadap golongan tersebut tidak mencapai sasaran. Realitinya industri penerbitan buku kanak-kanak di Malaysia tidak seperti negara-negara Barat, di sana mereka telah memberikan perhatian terhadap penerbitan buku kanak-kanak dan remaja sejak lama dulu. Penerbitan buku Harry Porter, misalnya, telah mendapat sambutan yang hebat di kalangan remaja dunia. Mereka juga menerbitkan bahan-bahan bacaan untuk kanak-kanak dan remaja dalam pelbagai bentuk seperti buku dan multimedia dalam usaha menggalakkan pembacaan lestari untuk golongan itu. Industri penerbitan beginilah yang harus diteladani dalam memartabatkan dan melahirkan karya sastera bermutu di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini, dan di peringkat antarabangsa.

Penerbitan, pengedaran dan penjualan bahan bacaan seperti buku, majalah, tabloid dan komik yang mengandungi unsur tahyul, khurafat serta kandungan yang bercanggah dengan akidah masih banyak di pasaran. Bahan penerbitan picisan ini mendapat permintaan di kalangan pembaca, khususnya generasi muda disebabkan harganya murah dan mudah diperoleh, terutama di kedai kaki lima. Mengikut Bahagian Tapisan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari Januari hingga April lalu, terdapat lebih 12 buku yang memesongkan akidah dan mengelirukan masyarakat Islam dikesan di pasaran tempatan. Pada tahun 2003 pula lebih 40 buah buku dikemukakan bahagian berkenaan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) untuk diharamkan. Keadaan ini secara tidak langsung memperlihatkan sikap sambil lewa penerbit atau penulis dalam mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung kandungan bahan bacaan. Realitinya, ia menggambarkan sikap segelintir penerbit yang tamak meraih keuntungan daripada melunaskan tanggungjawab menerbitkan buku yang dapat membina minda masyarakat.

Terbaru, gejala cetak rompak digital berlaku dalam industri penerbitan buku negara. Gejala cetak rompak buku secara e-book iaitu melalui laman web ini, membuatkan industri penerbitan buku terus ditimpa malang. Sebenarnya, isu cetak rompak buku ini bukan perkara baru. Memang sudah ada sekian lama, cuma pada kali ini modus operandinya yang berbeza. Cetak rompak buku digital dilakukan dengan mengulang cetak mana-mana buku yang didapati laku di pasaran. Mereka akan membuat filem, dan menghantarnya ke syarikat-syarikat pencetakan yang kurang dikenali. Aktiviti lanun cetak rompak buku gaya lama ini berskala industri. Contohnya, pada tahun 70-an, industri penerbitan buku bdi Malaysia kecoh apabila kamus oxford dan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dicetak rompak beribu-ribu naskah. Begitu juga halnya dengan buku latihan sekolah, bahkan lagi berleluasa. Pusat tuisyen membuat kompilasi soalan-soalan latihan dari beberapa buah buku penerbitan berbeza, dan mencetaknya semula sebagai buku terbitan pusat tuiesyen tersebut. Hasilya diperolehi melalui para pelajar pusat itu sendiri. Kelihatannya seperti innocence sahaja, tetapi itu tetap dikira sebagai aktiviti cetak rompak. Cetak rompak buku zaman sekarang dilakukan oleh individu secara kecil-kecilan, dan dilakukan dari rumah sendiri. Walaupun hanya sebilangan individu yang terlibat, tetapi secara kolektifnya, jika beribu-ribu orang mengedarkan edisi buku digital secara haram, maka ini akan melumpuhkan industri penerbitan buku kita.

Menyedari hakikat industri penerbitan buku di Malaysia yang kian lesu ini, langkah penyelesaiannya harus diselidiki bersama. Antaranya, bantuan pinjaman berupa pakej bantuan kewangan harus disalurkan kepada penerbit dan pengedar buku. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi misalnya, harus lebih giat dalam menjana kembali industri penerbitan buku yang pernah mencapai zaman cemerlangnya suatu ketika dahulu, serta meningkatkan jualan buku yang kian merosot.

Seterusnya, meningkat industri penerbitan buku di Malaysia dengan membudayakan amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia. Sememangnya, sebahagian masyarakat kita sudah memberi perhatian tinggi kepada pendidikan dan peningkatan diri. Hal ini dapat dilihat melalui populariti penceramah motivasi, atau kelas tambahan, tadika swasta, kolej swasta, dan laion-lain. Perubahan budaya ini jelas dilihat dalam kumpulan kelas menengah, iaitu golongan ibu bapanya yang sudah menerima pendidikan tahap universiti. Bagaimanapun, hal ini tidak sama bagi kumpulan kelas bawahan, atau kumpulan ibu bapa yang tidak menerima pendidikan tinggi. Nilai yang diberikan kepada buku mungkin tidak begitu tinggi berbanding keperluan hidup lain yang lebih mendesak. Kumpulan inilah yang harus kita yakinkan supaya mereka mengerti bahawa membaca adalah satu jenis pelaburan minda untuk masa depan anak-anak mereka. Hal ini kerana, kemampuan golangan rendah untuk naik dalam hieraki masyarakat telah terbukti melalui pendidikan. Terlalu banyak cerita di sekeliling kita ada individu yang Berjaya itu datangnya dari keluarga yang miskin. Ibu bapa yang mengikat perut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau ke universiti juga bukan perkara asing dalam masyarakat Malaysia ini. Kumpulan ibu bapa begini, walaupun berpendapatan rendah, tetapi sebenarnya mereka menunjukkan sikap dan budaya masyarakat maju. Sikap yang beginilah perlu ada pada semua masyarakat Malaysia agar negara kita setanding negara lain. Industri penerbitan buku negara kita juga, sudah pasti akan menjadi industri yang paling rancak sekali perkembangannya kerana semua orang mencintai buku; mencintai ilmu.

Di Malaysia, industri penerbitan buku ini bukanlah industri yang mewah jika dibandingkan dengan industri-industri lain. Tahapnya, masih lagi industri kecil dan sederhana (IKS). Maka sebab itulah, industri perbukuan negara perlu ditangani secara kreatif, termasuk corak penerbitannya harus lebih moden. Syarikat penerbitan perlu berusaha lebih gigih dan kreatif. Persis kata Hasrom Harun, bekas penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Forum Industri Buku Malaysia, di Universiti Malaya (UM)tahun lalu; “syarikat penerbitan tidak boleh menjadikan alasan masyarakat tidak membaca sebagai punca gerhana industri ini. Mereka harus mencari langkah bijak bagi mengatasinya dan bukannya terus mencari alasan”.

Selain itu, ‘pasar buku’ atau ‘hipermarket’ untuk memasarkan semua jenis buku di Malaysia harus diwujudkan dengan lebih banyak lagi. Konsultan dan usahawan perbukuan perlulah mencari lokasi jualan runcit untuk memudahkan pelanggannya. Hal ini kerana, kebanyakkan buku yang pelbagai bidangnya hanya terdapat di pasaraya-pasaraya besar, seperti Midvalley, KLCC dan Sunway Pyramid. Pasar buku seharusnya memenuhi keperluan kebanyakkan orang, barulah tempat tersebut menjadi perhentian utama (one stop center) para pencinta buku. Antara contoh hipermarket buku yang boleh dikatakan berjaya; cawangan Popular Bookstore di Tesco Ampang, dan MPH Bookstore di Tesco Sungai Petani, dan di Midvalley. Kuncinya adalah pemilihan produk yang betul dengan pasaran pembeli. Kebijaksanaan dalam memasarkan buku inilah yang akan mengangkat industri penerbitan buku negara ke tahap yang lebih eksklusif.

Seterusnya, dari segi pembukaan cawangan baru dan perluasan rangkaian runcit dalam usaha meningkatkan industri penerbitan buku di Malaysia. Pembukaan pasaran buku baru di kawasan sub urban yang masih hijau sudah pasti menjanjikan pasaran baru untuk kedai buku, dan keperluan pencinta buku di kawasan tersebut. Pihak yang terlibat dalam aspek pembangunan perniagaan kedai buku perlu melihat potensi sebenar dan memandang lebih jauh dalam perniagaan perbukuan ini. Kita melihat rakyat Kelantan lebih bertuah (berbanding Terengganu), kerana sudah ada KB Mall yang beroperasi dengan jayanya di Kota Bharu. Malah ada satu lagi yang sedang dibangunkan sekarang, juga merupakan satu hipermarket gergasi. Dengan kehadiran pasaraya gergasi di Kota Bharu, dua kedai buku yang besar sudah mendapat satu tapak perniagaan yang sangat baik. Popular Bookstore berdepan dengan satu pesaing baru, iaitu Kedai Buku SMO (Syarikat Muda Osman). Kedua-duanya mencatatkan jualan yang memberansangkan di KB Mall. Persaingan antara dua buah kedai utama ini akhirnya akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pembeli buku di Kelantan dengan pelbagai tawaran dan pilihan terkini. Era jualan buku secara moden sudah sampai di Kota Bharu. Malangnya di Terengganu, sehingga sekarang belum ada Shopping mall yang beroperasi di Kuala Terengganu. Ini menyebabkan mana-mana kedai yang terfikir untuk membesarkan perniagaan mereka tersangkut. Pembeli buku juga kurang tertarik untukn mengunjungi kedai-kedai buku biasa. Rangkaian kedai buku dan outlet-outlet berskala gergasi inilah yang perlu diwujudkan, agar kita dapat mengangkat taraf industri penerbitan buku di Malaysia setanding negara lain.

Berikutnya, meningkatkan industri penerbitan buku negara dengan meneladani negara-negara lain. Di Filipina, buku-buku Inggeris diimport dengan sebebas-bebasnya dan tidak dikenakan cukai. Tujuannya adalah supaya harga buku itu mampu dibeli oleh rakyat negara itu. Begitu juga halnya, dengan kertas cetak yang digunakan tidak dikenakan cukai. Hasilnya, buku-buku Tagalog yang diterbitkan dalam negeri dapat dicetak dengan hanya mengeluarkan kos harga kertas sahaja, syarikat penerbitan tersebut tidak perlu membayar cukai. Maka sebab itulah industri penerbitan buku dalam bahasa Tagalog boleh dikatakan meriah. Berlainan pula halnya di India, negara itu tidak membebarkan buku-buku yang dicetak di luar negara diimport ke negara itu. Buku-buku dari luar wajib dicetak semula diindia dan diterbitkan sebagai terbitan dalam negeri. Dengan demikian buku-buku itu dapat dijual dengan harga yang amat murah kepada rakyatnya. Buku-buku terbitan India tersebut kemudian dipasarkan semula ke negara-negara di rantau Asia ini. Terutamanya buku-buku ilmiah berkaitan ilmu perubatan dan bioteknologi, banyak yang hadir di pasaran Malaysia. Hasilnya, industri pencetakan dan penerbitan buku di india yang dulunya amat dhaif dapat berkembang dengan semakin maju kini. Keadaan industri buku di Indonesia adalah serupa dengan India. Industri penerbitan buku Indonesia yang dulunya amat dhaif juga kini berkembang pesat sekali, jauh meninggalkan Malaysia. Contohnya, penulis novel Ayat-ayat Cinta Habiburrahman El Shirazy, meraih royalty dari buku-bukunya hingga Rp 1.5 miliar. Menurut Tommy Tamtomo, direktor utama Syarikat Penerbitan Republika dalam acara bedah buku di Gramedia Matraman, Jakarta baru-baru ini, sebanyak 10 000 cetakan novel Ayat-ayat Cinta dicetak untuk persediaan tahun depan, tetapi semuanya sudah habis dibeli pada tahun ini. Novel ini menurutnya lagi, kini sudah dicetak sebanyak 30 kali dengan jumlah bukunya mencapai 300 000 buah buku. Tommy menduga, permintaan terhadap novel tersebut akan terus bertambah kerana baru-baru ini filem Ayat-ayat Cinta ditayangkan di pawangan Indonesia dan juga di Malaysia. Untuk menghadapi permintaan novel Ayat-ayat Cinta ini, penerbit Republika berencana menerbitkan novel Ayat-ayat Cinta edisi kulit keras (hardcover). Novel ini juga sudah dicetak di Malaysia, dan akan segera menyusul di Kanada dan Autralia pada pertengahan tahun ini. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana negara yang dikatakan dhaif ini mampu meninggalkan Malaysia dalam industri perbukuan. Sekarang kualiti buku-buku cetakan India dan Indonesia amat baik, kerana hasil dasar perlindungan pemerintah, syarikat-syarikat penerbitan di kedua-dua negara itu sudah mampu membeli mesin-mesin cetak berteknologi dan yang terbaru. Bandingkan dengan nasib syarikat penerbitan Bumiputera di negara kita, yang rata-ratanya hidup segan mati tak mahu kerana tidak cukup kerja cetak dalam negara ini. Sedangkan, bagi setiap buku import yang dibeli rakyat Malaysia, kita sebenarnya telah membayar gaji para pekerja pencetak di UK dan USA. Hal ini kerana, buku-buku negara tersebut yang diimport negara saban tahun.

Oleh itu dapatlah, disimpulkan bahawa industri penerbitan buku di Malaysia masih di tahap lama. Negara jiran yang serba kekurangan mampu meninggalkan kita dalam bidang ini. Kita sebenarnya mampu mengangkat taraf industri penerbitan buku negara, sekiranya semua pihak memainkan peranan yang masing-masing. Rakyat Malaysia harus membudayakan amalan membaca dan mencintai ilmu, dalam diri sendiri dan keluarga masing-masing tanpa mengira peringkat umur. Pihak kerajaan pula, harus lebih peka dengan masalah syarikat-syarikat penerbitan, terutamanya syarikat penerbitan kecil. Begitu juga halnya, dengan ahli-ahli penerbitan, mereka sendiri perlu mengorak langkah dengan lebih berani, kreatif, dan inovatif, agar industri penerbitan buku Malaysia terus berkembang maju setanding negara lain.