Kanak-kanak merupakan anugerah Tuhan Yang Maha Esa. Kanak-kanak memperlihatkan kebolehan memperoleh bahasa ibundanya dengan cara yang luar biasa. Pemerolehan bahasa ini berlaku mengikut perkembangan yang tertentu, biasanya diperoleh secara tidak formal daripada bahasa yang diucapkan oleh ahli-ahli masyarakat disekitarnya ( Krashen dan Terrel, 1983:18-19). Demikian juga halnya kanak-kanak melayu. Apabila bahasa yang diucapkan oleh ahli-ahli masyarakat di sekitarnya ialah bahasa Melayu, maka tanpa disedari, kanak-kanak Melayu itu secara tidak langsung akan meniru bahasa tersebut. Oleh sebab kanak-kanak Melayu ini belum pernah belajar bahasa apapun, maka bahasa Melayulah bahasa yang pertama diperolehnya. Inilah yang dikatakan pemerolehan bahasa pertama oleh Mengantar Simanjuntak (1987: 15).
Pemerolahan bahasa pertama (B1) terjadi ketika kanak-kanak yang belum pernah belajar bahasa apa pun, mulai belajar bahasa untuk kali pertama. Jika kanak-kanak tersebut menguasai satu bahasa, penguasaan kanak-kanak itu disebut ekabahasa. Jika kanak-kanak itu memperolehi dua bahasa melalui proses dua bahasa secara serentak, maka penguasaan kanak-kanak itu disebut dwibahasa. Manakala, jika yang diperoleh lebih daripada dua bahasa secara serentak, maka penguasaan kanak-kanak itu disebut sebagai ganda bahasa.
Walaupun kanak-kanak dapat menggunakan bentuk ujaran yang betul, tidak semestinya kanak-kanak itu telah menguasai bahasa pertama kerana ujaran itu boleh memberikan erti yang lain daripada yang diucapkannya. Kanak-kanak disebut menguasai bahasa pertamanya jika telah menguasai beberapa unsur penting yang ada kaitan dengan perkembangan kognitifnya. Konsep seperti waktu, ruang, dan sebab-akibat merupakan bahagian yang penting dikuasai oleh kanak-kanak. Dalam proses pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari konsep waktu, ruang, dan sebab-akibat kerana semua konsep tersebut perlu supaya dapat berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya. Sehingga usianya kira-kira 6 hingga 7 tahun, secara beransur-ansur kanak-kanak akan menguasai konsep-konsep tersebut.
Seperti yang diketahui, bahawa kanak-kanak yang normal akan memperolehi bahasa pertama dalam waktu yang agak singkat, yakni antara umur dua hingga enam tahun. Hal ini tetap berlaku walaupun bahasa pertama yang didengar di sekelilingnya bukan bahasa pertama yang gramatis, iaitu mengandungi kesalahan struktur dan kosa kata. Mengikut Chomsky (1965), bukan kanak-kanak sahaja yang memperoleh rangsangan lalu memberikan tindak balas, bahkan sejak lahir, manusia dilengkapi alat pemerolehan bahasa. Chomsky menamakan alat ini sebagai LAD atau Language Acquisrion Device. Chomsky mengatakan bahawa LAD inilah yang membezakan manusia daripada haiwan, dan merupakan suatu ciri khas dalam minda manusia yang tidak terdapat pada makhluk lain. LAD mampu memperincikan struktur bahasa. Oleh itu, banyak ciri tatabahasa bahasa pertama tidak perlu dipelajari secara sedar. Diandaikan bahawa struktur dan pola bahasa yang dibawa sejak kecil itu sama bagi setiap manusia, maka struktur dan pola bahasa ini disebut sebagai tatabahasa sejagat.
Bahasa pertama diperoleh seseorang sewaktu masih kanak-kanak. Sekiranya diakui bahawa ujaran kanak-kanak yang belum mampu memperoleh bahasa pertama, maka perlu diambil kira masa kelahiran sebagai permulaan pemerolehan bahasa pertama. Hal ini bermakna bahawa bunyi ujaran seperti bebelan dan tangisan turut dianggap sebagai bahasa. Klein (1986) mengatakan bahawa sesudah usia baligh iaitu 12 hingga 14 tahun, sedikit atau tidak ada kemajuan yang memberangsangkan dalam pemerolehan bahasa pertama. Bahasa pertama kanak-kanak dikatakan sudah cukup lancar pada waktu itu walaupun masalah bahasa yang dihadapi tetap ada sesudah mencapai usia baligh. Walaubagaimanapun, perkara tentang jangka masa pemerolehan bahasa pertama ini pernah diperdebatkan oleh ahli-ahli psikolinguistik. Antaranya Lenneberg (1967) yang berpendapat bahawa pada umur antara dua tahun hingga akil baligh, otak manusia masih dalam keadaan yang sangat luwes. Keadaan otak yang luwes membolehkan kanak-kanak memperoleh bahasa pertama dengan mudah dan cepat. Sebelum usia dua tahun, kanak-kanak dikatakan belum dapat menguasai bahasa pertama dengan baik kerana faktor kognitifnya yang belum cukup matang. Selepas akil baligh pula, pemerolehan bahasa secara semula jadi terhalang oleh fungsi tertentu otak, iaitu fungsi verbal yang telah mantap di hemisfera kiri, dan disebut sebagai lateralisasi. Sesudah tamat tempoh kritikal, pemerolehan bahasa yang berlaku secara semula jadi akan berkurangan secara beransur-ansur. Bagaimanapun, pendapat Lenneberg ditentang oleh Scovel (1969) dan Krashen (1974). Scovel berpendapat bahawa kalaulah benar tempoh kritikal itu wujud, maka sia-sialah usaha guru mengajarkan bahasa kedua kepada pelajarnya yang sudah akil baligh. Manakala, Krashen berpendapat bahawa lateralisasi sudah berakhir sewaktu kanak-kanak mencapai umur 5 tahun, lama sebelum masa akil baligh (12-14 tahun). Namun, kemampuan untuk belajar bahasa tidak semestinya berkurangan.
Pada tahun 2002, penemuan dalam bidang psikolinguistik menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih mudah mempelajari bahasa pertama dan juga bahasa kedua sewaktu berumur antara 2 hingga 10 tahun. Selepas usia 2 hingga 10 tahun, keupayaan memperoleh bahasa dengan mudah , menurun kerana tiga sebab. Pertama adalah kerana manusia dikurniakan dengan kebolehan untuk memahami dan menghasilkan pelbagai-bagai fonem tetapi sewaktu zaman kanak-kanak ( bermula daripada kelahiran), kebolehan ini dibentuk oleh pengalaman sehinggakan fonem-fonem bahasa ibunda yang mudah sahaja yang cepat difahami, seterusnya dihasilkan oleh kanak-kanak. Hal ini menyebabkan orang dewasa yang mempelajari bahasa baru didapati sukar untuk memahami dan menghasilkan fonem-fonem bahasa yang baru, kerana tiada dalam bahasa ibundanya. Kedua adalah kerana struktur neural yang telah dipelajari cenderung untuk dikaitkan dengan konsep yang tertentu. Sewaktu orang dewasa mempelajari sesuatu bahasa baru, struktur neural sudah mempunyai konsep yang tertentu dan sudah mantap. Struktur neural yang berpadanan dengan perkataan dalam bahasa yang baru ditentukan oleh input tanggapan yang tiada berhubungan dengan struktur neural yang terdahulu. Ketiga adalah kerana semasa mempelajari bahasa baru, pelajar bukan sahaja perlu membuat susunan operasi mental dan motor yang baru bahkan tidak boleh menggunakan susunan operasi mental dan motor yang lama. Susunan operasi mental dan motor yang lama adalah dipelajari melalui amalan.
Proses yang berlaku sewaktu kanak-kanak Melayu cuba memperoleh bahasa ibundanya terdiri daripada dua jenis. Jenis yang pertama ialah pemahaman manakala yang kedua ialah penerbitan. Pemahaman melibatkan kebolehan mengamati ayat-ayat yang didengar. Proses penerbitan pula melibatkan kebolehan menghasilkan ayat-ayat sendiri. Apabila kedua-dua proses ini telah dikuasai oleh kanak-kanak, baharulah dia dikatakan mempunyai kebolehan linguistik. Kedua-dua proses ini berlaku bukan sahaja terhadap kanak-kanak bahkan hal ini ialah fenomena yang relatif, yang berlaku kepada semua kanak-kanak di dunia.
Keupayaan untuk mengembangkan bahasa berlaku kepada semua kanak-kanak yang menpunyai fungsi otak yang normal tanpa mengira bangsa, kebudayaaan, kecerdikan menyeluruh. Hasil kajian Steinberg (1995) menunjukkan bahawa kanak-kanak dapat mengembangkan sistem linguistik yang kompleks, bergerak daripada peringkat satu kata ke peringkat berbilang kata dalam jangkamasa yang singkat, iaitu ketika kanak-kanak itu berumur lebih kurang 4 hingga 5 tahun.
Walaupun orang dewasa berfikir bahawa mereka sedang ‘ mengajar’ anak-anak mereka bercakap, tidak terdapat bukti yang menyakinkan bahawa kanak-kanak memerlukan arahan yang khusus daripada orang tuanya. Steinberg (1995) mengatakan bahawa pemerolehan bahasa kanak-kanak berkembang mengikut satu susun atur bermula daripada peringkat vokalisasi, holofrasa, telegrafik dan berakhir di peringkat perkembangan ayat-ayat kompleks. Kajian Steinberg (1995) ini adalah yang terbaharu yang berkaitan dengan pemerolehan bahasa kanak-kanak.
Seterusnya, peringkat perkembangan pemerolehan bahasa. Kanak-kanak memperlihatkan satu siri peringkat perkembangan bahasa semasa mereka menguasai bahasa pertamanya. Siri peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak dimulai dengan peringkat vokalisasi (6 bulan - 11 bulan), holofrasa (10 bulan – 18 bulan), telegrafik (18 bulan ke atas dan diakhiri dengan peringkat perkembangan ayat-ayat kompleks (4 – 5 tahun). Selanjutnya diperturunkan peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak.
Bayi yang berumur beberapa tahun belum pandai bercakap tetapi mengeluarkan berbagai-bagai bunyi melalui mulutnya. Dia menangis, menguku seperti bunyi burung, merobok seperti bunyi air keluar dari botol yang bermulut kecil, menghembus, meludah, dan banyak lagi bunyi-bunyi yang sukar dijelaskan. Walaupun bunyi-bunyi ini bukan bunyi-bunyi bahasa, penghasilan bunyi-bunyi ini membolehkan bayi melatih dan mengawal alat-alat artikulasinya. Bayi dapat melatih menyelaraskan pernafasannya dengan pembikinan bunyi-bunyi. Bunyi-bunyi yang sama ini (menangis, menguku, dan sebagainya) dihasilkan oleh semua bayi di dunia. Bayi yang pekak juga menghasilkan bunyi yang sama. Tetapi, bayi yang pekak tidak meneruskan perkembangan bahasanya ke peringkat bebelan, iaitu tahap vokalisasi yang selanjutnya, yang mirip kepada bahasa.
Vokalisasi melibatkan penggunaan bunyi-bunyi bahasa, terutamanya suku kata vokal dan konsonan – vokal, seperti /a/, /u/, /ma/, /gi/, /pa/. Pengulangan bunyi-bunyi ini memberikan bayi kualiti bunyi-bunyi serupa bahasa, contohnya: ‘mama’, ‘gigi’, ‘papa’, terutamanya apabila bunyi-bunyi ini melibatkan pola-pola intonasi dalam bahasanya. Sewaktu vokalisasi ini berterusan, bunyi-bunyi bayi lebih mendekati bunyi-bunyi bahasa yang didedahkan kepadanya. Ketika berumur 10 atau 11 bulan bayi akan sering bebelan menggunakan ayat pura-pura yang bukan kata (pseudo nonword ‘sentence’) dengan pola intonasi penyata, pertanyaan, dan seruan.
Maka, tidak hairanlah bayi terlebih dahulu memperoleh pola intonasi bahasanya sebelum dapat menghasilkan sesuatu kata. Lagipun, ketika kita mula mendengar bahasa yang baru untuk kali yang pertama, kita berkecenderungan mendengar pola rentak, nada, dan tekanannya. Kita tidak tahu bagaimana untuk memancang aliran sesuatu ayat kepada perkataan, demikian jugalah kanak-kanak. Kita menjadi biasa dengan melodi bahasa sebelum kita memperoleh perkataannya. Melodi, iaitu pola intonasi yang dipelajari dahulu oleh bayi sebelum dia mengecam dan seterusnya meniru bahasa. Seperti yang diketahui bahawa bayi menghasilkan bunyi-bunyi bukan bahasa adalah bertujuan untuk melatih dan mengawal alat artikulasi, serta menyelaraskan pernafasan dengan pembikinan bunyi-bunyi. Seterusnya adalah bayi dapat mengnal pasti bunyi-bunyi suku kata vokal, konsonan vokal, dan pola intonasi bahasanya, terutamanya pola intonasi ayat penyata, pertanyaan, dan seruan.
Bila agaknya kanak-kanak mula menyebut kata-kata pertamanya? Ini merupakan soalan yang sukar untuk dijawab kerana terdapat perbezaan perkembangan fizikal dan kognitif antara individu dan sukar untuk menentukan dengan tepat bila sesuatu kata itu telah dipelajari oleh kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang normal, kata pertama telah dilaporkan muncul ketika kanak-kanak berumur 4 bulan dan ada juga yang muncul sewaktu umur 18 bulan, atau lebih tua daripada itu. Secara purata, kanak-kanak dikatakan menuturkan kata pertamanya di sekitar umur 10 bulan. Ketidaksamarataan ini ada kena mengena dengan perkembangan fizikalnya, seperti kekejangan otot, mulut, dan kerongkong yang perlu untuk artikulasi bunyi. Perkembangan bahagian tertentu otak turut terlibat kerana pembentukan bunyi bahasa adalah di bawah kawalan medan-medan bahasa di dalam korteks.
Untuk menentukan bila sebenarnya sesuatu kata itu telah dipelajari oleh kanak-kanak bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak memadai dengan memerhati sebutan bunyi yang selaras dengan sesuatu kata dalam sesuatu bahasa. Yang ingin dilihat ialah penggunaan bunyi yang bermakna. Jika seseorang kanak-kanak berkata ‘ kucing’ atau menyebut bunyi ‘ kucing’ apabila dia melihat atau menyentuh binatang itu (bukannya binatang atau objek lain) barulah kita dapat mengatakan bahawa kanak-kanak itu tahu makna perkataan ‘kucing’. Orang yang terdekat dengan kanak-kanak itu sahajalah yang dapat mengecam bunyi-bunyi makna yang dituturkan oleh kanak-kanak kerana sebutannya agak ganjil daripada sebutan biasa. Yang jelas, di peringkat holofrasa, kanak-kanak banyak bergantung kepada kata tunggal untuk melahirkan perasaannya.
Kata tunggal yang sama boleh digunakan untuk tujuan yang berlainan. Satu kata boleh digunakan untuk menamakan satu objek, contohnya; ‘mama’ untuk mama, ‘nana’ untuk banana. Kata yang sama boleh juga digunakan untuk meminta sesuatu, Contoh; ‘mama’ untuk I want my mother, dan ‘nana’ untuk I want a banana. Kata tunggal boleh juga digunakan untuk menegaskan tindakan seperti dalam ucapan selamat. Contohnya: ‘hi’ dengan lambaian tangan, atau ketika hendak meninggalkan sesuatu tempat, Contohny: bye-bye dengan lambaian tangan yang berlainan. Kata tunggal boleh juga digunakan untuk melahirkan situasi yang rumit. Sebagai contoh kanak-kanak berkata peach + daddy + spoon dalam situasi ayahnya meletakkan sepotong buah pic di atas satu senduk. Adalah dipercayai bahawa kanak-kanak itu telah menggunakan pertuturan tiga kata tunggal, bukannya ayat mengandungi tiga kata. Terdapat hentian sementara di antara kata-kata, tiada intonasi ayat dan kanak-kanak itu masih di tahap menghasilkan kata tunggal. Hal ini dapatlah disimpulkan bahawa apa yang dapat diperhatikan dalam fenomena yang sama, iaitu kanak-kanak meletakkan pelbagai penggunaan pada kata tunggal. Kekurangan pengetahuan dan kebolehan untuk membentuk ayat-ayat yang betul menyebabkan kanak-kanak menggunakan segala sumber terhad yang ada dalam mindanya, iaitu kata-kata tunggal tanpa sebarang sintak. Begitu jugalah yang akan kita lakukan apabila kita hanya ada beberapa kata-kata tunggal yang boleh kita harapkan dalam sesuatu situasi bahasa asing. Dengan menggunakan kata-kata tunggal yang terhad ini kita dapat membeli-belah, memesan makanan di restoran, menaiki kereta api, dan lain-lain seumpamanya. Menggunakan kata tunggal untuk melahirkan satu keseluruhan ayat ( secara teknik, disebut holofrasa) boleh menjadi berkesan jika sesuatu situasi itu mudah dan nampak jelas supaya pendengar dapat meneka makna yang hendak disampaikan. Tetapi, apabila komunikasi lebih rumit dan memerlukan ketepatan, penggunaan kata-kata tunggal tidak mencukupi. Penutur memerlukan pengetahuan linguistik yang lebih banyak untuk menyampaikan buah fikirannya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pada peringkat ini, secara puratanya kanak-kanak menuturkan kata pertamanya pada umur 10 bulan. Kata tunggal tanpa sebarang sintaksis digunakan untuk menamakan objek, meminta sesuatu, menegaskan tindakan, dan melahirkan situasi yang rumit.
Ketika berumur kira-kira 18 bulan ( 1 tahun 6 bulan), kebanyakan kanak-kanak mula menghasilkan pertuturan dua dan tiga kata atau telegrafik. Kita harus mengambil kira umur ini sebagai kiraan purata kerana terdapat perbezaan perkembangan pemerolehan bahasa di kalangan kanak-kanak. Walaupun baru berumur 1 tahun setengah, kanak-kanak sudah pandai menggunakan bahasa untuk meminta, memberi amaran, menolak, bercakap besar, bertanya, menjawab, dan memberitahu. Pertuturan digunakan untuk melahirkan idea-idea seperti kuantiti (more), milik ( my), nafian ( no sleep), lokasi ( banana table), dan attribute atau sifat semulajadi yang ada pada seseorang atau benda ( big, red).
Kebolehan berfikir dan konsepsual kanak-kanak yang masih mentah agak menakjubkan. Sebenarnya baru beberapa dekat ini kebolehan ini mula dihargai. Itupun setelah banyak kajian tentang bahasa kanak-kanak dikemukakan untuk perhatian umum. Pada masa lampau kebolehan ini dipandang ringan. Dalam semua keadaan yang sama, pertuturan kanak-kanak menggambarkan sebahagian kecil sahaja daripada apa yang kanak-kanak itu tahu dan fikir kerana kanak-kanak sudah dapat faham lebih banyak pertuturan berbanding yang dapat dihasilkannya. Kanak-kanak mempunyai fikiran serta konsep yang lebih maju daripada tahap pemahaman pertuturan yang diperolehnya sebelum ini. Satu ciri utama pertuturan kanak-kanak ialah tidak kerap terdapat kemunculan kata fungsi seperti artikel, sendi nama, kerja bantu (be, have) dan modal (will, can). Kata nama, kata kerja, kata sifat yang muncul dalam pertuturan kanak-kanak tidak mengejutkan terutama apabila kita menimbangkan bahawa inilah golongan kata yang pertama dipelajari kemudian difahaminya dan dapat memberikan banyak maklumat. Adalah ganjil jika didapati seorang kanak-kanak bertutur dengan menggunakan is, with, can, atau the sebagai kata pertamanya.
Kanak-kanak menggunakan kombinasi kata-kata inti dengan jangkaan bahawa pendengar akan memahami hubungan antara item, seperti dalam banna table bagi the banana is on the table. Sewaktu-waktu kanak-kanak akan belajar menggunakan kata fungsi dengan teratur seperti to mama, with John, the truck , candy and cake. Walau bagaimanapun, kata fungsi seperti itu tidak dapat ditemui jika kata nama, kata kerja dan kata adjektif tidak difahami terlebih dahulu. Kanak-kanak yang memahami kata seperti banana dan table sahaja yang dapat mengagak makna kata sendi seperti on jika seseorang berkata the banana is on the table, dan kanak-kanak tersebut betul-betul melihat banana itu di atas meja.
Satu lagi ciri ketatabahasaan pertuturan kanak-kanak ketika ini adalah kurangnya infleksi. Kita mendengar kanak-kanak berkata dog bukan dogs, sit untuk sitting, jump untuk jumped, dan John car untuk John’s car. Jarang untuk dapati ada kata jamak, keterangan kata kerja, penanda ayat, dan lain-lain infleksi. Hal ini adalah munasabah dalam pertuturan si anak. Kanak-kanak mencari-cari intipati sesuatu kata, menolak yang berlebihan dan susah untuk digambarkan.
Pertuturan dua dan tiga kata atau telegrafik mengutamakan pembentukan kata-kata inti. Pertuturan pendek-pendek seperti mesej bagi sesuatu telegram. Sebab inilah perkembangan pertuturan di peringkat ini disebut sebagai ‘telegrafik’. Selepas memperolehi pertuturan dua dan tiga kata barulah kanak-kanak belajar kata-kata fungsi seperti sendi nama, artikel, dan kata kerja bantu. Demikian juga dengan infleksi seperti jamak dan penanda ayat. Steinberg (1995) melaporkan bahawa kaijan tentang fungsi dan infleksi yang paling berkesan telah dijalankan oleh Roger Brown (1973).
Kanak-kanak yang dikaji menggunakan morfem keupayaan masa sekarang (Present Progressive), kata sendi in dan on, dan kata jamak, sebelum pandai menggunakan artikel , kata ganti diri orang ketiga , dan kata kerja bantu be. Didapati bahawa kanak-kanak belajar kata jamak dan kata milik sebelum kata diri orang ketiga. Kanak-kanak juga belajar Masa Sekarang Sebelum Kala Lampau.
Kata jamak dan kata milik dipelajari sebelum kata ganti diri orang ketiga. Kata jamak dan kata milik lebih banyak makna dan maklumat, termasuk situasi fizikal dan objek yang terdapat di sekitar kanak-kanak. Sebab itulah kanak-kanak dapat membezakan dengan mudah antara satu dengan dua cookies, satu, dua dengan tiga ekor kucing , anak patungnya atau anak patung kanak-kanak lain. Tetapi, kata ganti diri orang ketiga banyak melibatkan keperluan gramatikal dan kurang fungsinya untuk keperluan komunikatif. Demikian juganya dengan kata bantu.
Masa Sekarang Sebelum Kala Lampau. Bagi ayat yang menunjukkan Masa Sekarang, kanak-kanak akan mendengar pertuturan yang melibatkan ayat ini ( Emaknya berkata, ‘Ayam itu sedang berkokok’). Pada masa yang sama objek, peristiwa, dan situsi itu dialami sendiri oleh kanak-kanak (kanak-kanak mendengar bunyi ayam yang berkokok itu). Bagi ayat yang menunjukkan Kala Lampau, maka objek, peristiwa dan situasi yang secara langsung tidak dialami oleh kanak-kanak. Oleh sebab itu, untuk mengecam bunyi pertuturan yang ditandai Kala Lampau, kanak-kanak mesti dapat mengingat peristiwa persekitaran yang berlaku pada masa lampau, kemudian menyedari bahawa bunyi bahasa itu berubah sebagai petanda tentang peristiwa masa lampau. Contohnya: bunyi ‘pernah berkokok’ adalah bertentangan dengan bunyi ‘sedang berkokok’.
Banyak pemikiran dan analisis diperlukan untuk kanak-kanak itu belajar ayat Kala Lampau. Yang pertama, kanak-kanak mestilah memperoleh struktur morfem untuk ayat masa sekarang. Berdasarkan pengalaman itu, barulah kanak-kanak boleh belajar membuat ayat Kala Lampau. Jika kanak-kanak tidak belajar morfem Masa Sekarang, tentulah dia tidak akan dapat belajar struktur morfem Kala Lampau. Semasa mendengar orang bercakap, kanak-kanak yang belum tahu sesuatu bahasa hanya mampu mengadakan analisis ayat Masa Sekarang. Jika orang bercakap menggunakan ayat Kala Lampau, kanak-kanak tidak akan mempelajari sesuatu bahasa kerana tidak terdapat persekitaran semasa yang boleh dikaitkan dengan bahasa. Oleh itu, ayat Masa Sekarang menjadi asas bagi kanak-kanak mempelajari ayat kala Lampau. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pada peringkat ini secara puratanya berlaku pada umur 1 tahun 6 bulan. Pertuturan dua dan tiga kata digunakan untuk melahirkan idea tentang kuantiti, milik, nafian, lokasi, dan atribut. Kombinasi kata inti yang pendek-pendek yang terdiri daripada kata nama, kata kerja, dan kata sifat untuk meminta, memberi amaran, menolak, cakap besar, bertanya, menjawab, dan memberitahu.
Perkembangan ayat-ayat kompleks. Apabila pertuturan kanak-kanak menjadi lebih panjang, struktur mudah lazimnya berkembang menjadi ayat yang lebih kompleks. Kanak-kanak mula menggunakan kata nafi, soalan, klausa relatif, dan struktur lain yang kompleks. Perkembangan ayat nafi ditunjukkan oleh Steinberg (1995) sebagai contoh bagaimana struktur seperti ini diperolehi. Kata nafi berkembang dalam tiga masa utama; masa 1: no money; not a teddy bear; no play that. Pada masa 1, no atau not diletakkan di depan sesuatu pertuturan dengan jawapan yang mengiakan. Oleh itu, kita lihat pertuturan-pertuturan yang lazim berbentuk negatif beserta jawapan yang mengiakan. Di mana-manapun kanak-kanak melakukan perkara yang sama. Kanak-kanak Perancis misalnya, meletakkan non atau pas sebelum jawapan yang mengiakan manakala kanak-kanak Jepun meletakkan penanda negatif nai selepas jawapan yang mengiakan. Pada masa 2; kata do mula muncul secara kombinasi dengan penanda negatif don’t. Contoh, I don’t want it; I don’t know his name. Pertuturan masih belum lancar dan ayat larangan negatif yang tidak sempurna seperti; touch the snow no dibentuk. Hal ini sama dengan masa1 (no play that). Pada masa 3: You didn’t caught me; I am not a doctor; Donna won’t let go; Paul not tired; I not hurt him; Don’t touch the fish; Don’t kick my box; This can’t stick . Kanak-kanak pada masa ini telah mendapat idea bagaimana do harus disisipkan dalam ayat You didn’t caught me; Don’t touch the fish; Don’t kick my box dan bila do tidak sepatutnya disisipkan dalam ayat (I am not a doctor, Donna Won’t let go). Kanak-kanak masih melakukan kesilapan-kesilapan tetapi telah mendapat kepercayaan asas bahawa do tidak ditambah apabila ada satu modal (can, will): This can’t stick, Donna won’t let go atau apabila be ialah kata kerja (I am not a doctor). Selepas Masa 3 ini maka dalam masa beberapa bulan sahaja kebanyakan masalah membina nafian atau negatif akan dikendalikan dengan jayanya.
Didapati bahawa kanak-kanak yang dikaji mengambil masa selama 6 bulan untuk melalui ketiga-tiga masa (Masa 1, Masa 2 dan Masa 3). Selepas itu, masih terdapat banyak perbezaan bahasa di kalangan kanak-kanak seperti ketika mereka mula-mula menghasilkan kata nafi pada Masa 1 ialah kanak-kanak yang berumur 1 tahun 6 bulan, manakala yang lain mengalami Masa 1 ketika umurnya di sekitar 2 tahun 6 bulan. Walaupun perbezaan dalam menghasilkan pertuturan adalah lazim dalam kalangan kanak-kanak, apabila berumur 4 atau 5 tahun perbezaan ini kebanyakannya telah berakhir. Walaupun masih ada struktur pasif dan kompleks yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak, ketika berumur 4 atau 5 tahun mereka telah dapat menghasilkan struktur yang kebanyakannya berguna dalam bahasanya. Hal ini merupakan fenomena seantero dunia tanpa mengira bangsa bahasa apa pun. Sewaktu berusia 9 atau 10 tahun baharulah semua struktur bahasa kanak-kanak itu diperoleh. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pada peringkat inilah kanak-kanak akan mula belajar tentang penggunaan kata nafian, soalan, klausa relatif dan struktur ayat yang lebih kompleks. Kanak-kanak memperoleh kata nafi ketika berumur antara 1 tahun 6 bulan dan 2 tahun 6 bulan. Ketika berumur 4 atau 5 tahun pula, kanak-kanak telah dapat menghasilkan struktur ayat yang berguna dalam bahasanya. Kanak-kanak memperoleh semua struktur bahasa pertamanya pada usia 9 atau 10 tahun.
Kesimpulannya, pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak adalah melibatkan kognitif dan pendedahan bahasa. Kognitif melengkapkan kebolehan kanak-kanak mentafsirkan bunyi dan makna, manakala pendedahan bahasa yang cukup akan merangsang keyakinan kanak-kanak tersebut untuk berinteraksi dengan orang-orang di sekelilingnya. Hal ini kerana kanak-kanak yang didedahkan dengan bahasa ibundanya akan dapat memperoleh bahasa pertamanya melalui pengalaman dan pengajaran daripada ibu bapa dan masyarakat disekitarnya. Namun apa yang pasti adalah benar bahawa pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak berlaku secara beransur-ansur mengikut peningkatan umur kanak-kanak. Selain itu, peringkat pemerolehan bahasa pertama perlu dilalui pelbagai peringkat oleh kanak-kanak iaitu pada peringkat vokalisasi atau bebelan, holofrasa ( pertuturan satu kata), telegrafik ( pertuturan dua dan tiga kata) dan perkembangan ayat-ayat kompleks. Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang memperoleh bahasa terpaksa melalui peringkat-peringkat pemerolehan bahasa yang sukar dan pelbagai.
BIBLIOGRAFI
Asmah Haji Omar (1981).
“Bahasa dan Pendidikan Kanak-kanak” dalam Di sekitar Persoalan Bahasa Melayu 1957-1972, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Gaya Dewan (2005).
Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Krashen, S.D. (1981). Second Language Acquistion and Second Language Learning. Oxford:
Pergamon Press.
Noor Aina Dani, (2007).
Siri Penataran Bahasa dan Sastera: Pengantar Psikolinguistik. Sasbadi Sdn. Bhd.
Steinberg, D.D. (1982).
Psycholinguistics: Language, Mind and World. London: Longman.
Tuesday, April 7, 2009
Psikolinguistik: Pemerolehan Bahasa Pada Awal Usia Kanak-kanak
Posted by Cik Iffa at 8:53 AM 0 comments
Tuesday, March 31, 2009
Novel Karya Lim Swee Tin ; "Selendang Anum"
Lim Swee Tin berhasil menerbitkan sebuah novel remajanya berjudul Selendang Anum yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991.
Novel ini mengisahkan kegigihan dan ketabahan hati Yoke Lin, seorang gadis remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM dan bercita-cita melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Dalam penantian menunggu keputusan itu, Yoke Lim mengisi waktu lapangnya dengan melibatkan diri dalam pementasan sebuah drama bertajuk "Keris Pusaka" yang bertujuan mengutip derma bagi mengisi tabung membina asrama anak-anak yatim pelbagai kaum di tempatnya. Penglibatan Yoke Lin berlakon dalam drama Melayu dengan memegang watak Anum mendapat tentangan daripada bapanya tetapi mendapat sokongan daripada Encik Phang (yang bersikap terbuka), Sakinah, Aida, Mona dan sebagainya.
Yoke Lin sebagai generasi baru Malaysia berusaha menjayakan pementasan itu yang bertujuan menguatkan perpaduan di kalangan penduduk kampungnya yang berbilang kaum. Akhirnya selepas menempuh pelbagai halangan, ibunya memberi galakan dan diikuti oleh perubahan sikap bapanya yang menyokong kegiatan seni dramanya itu. Bapanya memberi selendang kepada Yoke Lin untuk digunakan dalam pementasan drama purba itu sebagai dorongan kepadanya agar usaha positifnya itu akan berjaya dengan cemerlang untuk mengutip derma bagi membina asrama anak-anak yatim semua kaum itu.
Lim Swee Tin ternyata memiliki kemantapan dan daya konsisten dalam berkarya sehingga memenangi sayembara demi sayembara.
Posted by Cik Iffa at 9:08 AM 0 comments
Kemenangan Lim Swee Tin Mencatat Sejarah Tersendiri
Secara tepatnya, kemenangannya dalam bidang puisi tanahair menerusi sayembara puisi mencatatkan sejarah yang tersendiri dan begitu konsisten. Misalnya beliau telah meraih lebih lapan kali kemenangan dalam sayembara puisi.
Secara kronologi kemenangan itu termasuklah memenangi Hadiah Penghargaan menerusi antologi puisinya Akrab dalam Anugerah Puisi Putra II pada tahun 1983 dan diterbitkan oleh DBP pada tahun 1985. Manakala puisinya "Berjalan-jalan Di Sini" memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982-83 pada tahun 1984 dan dimuatkan dalam antologi puisi Cakerawala terbitan DBP pada tahun 1986.
Puisinya "Tusukan" memenangi hadiah khas dalam penilaian Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1986 dan diterbitkan dalam antologi Terasing terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. Manakala puisinya berjudul "Sejarah" memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1986/87 pada tahun 1988 dan dikumpulkan dalam antologi bersama Sayang Ottawa Sungainya Sejuk terbitan DBP pada tahun 1989.
Lim Swee Tin sering memenangi hadiah dalam sayembara puisi dan cerpen yang diadakan di negara ini. Selain daripada memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1982/83 dalam genre puisi, beliau juga mengulangi kejayaannya dengan memenangi dalam genre yang sama menerusi puisinya "Sewaktu Melintasi Kundasang" dalam penilaian Hadiah Sastera Malaysia 1988/89.
Puisinya "Benang Kehidupan" memenangi hadiah utama dalam penilaian Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank pada tahun 1990 dan termuat dalam antologi Antara Dua Deru (1991).
Sebuah cerpennya berjudul "Cahaya Lain Di Wajah" memenangi hadiah sagu hati dalam Sayembara Cerpen tajaan Malayan Banking - DBP pada tahun 1990.
Lim Swee Tin memenangi hadiah kedua dalam genre puisi dalam Sayembara Puisi DBKL - DBP sempena perayaan 100 Tahun Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1990 dan puisinya itu tersemat dalam antologi Kuala Lumpur (1991).
Lima buah puisinya yang memenangi hadiah kedua dalam sayembara tersebut yang pertama kali diadakan itu ialah "Kuala Lumpur: Tentang Sungai Sejarah Itu", "Kuala Lumpur: Kau Ingat Lelaki Tua Ini", "Kuala Lumpur: Sebuah Fragmen Cinta", "Kuala Lumpur: Bougainvillea dan Sang Perawan" dan "Kuala Lumpur: Kota Jaring Labah-labah".
Posted by Cik Iffa at 7:53 AM 0 comments
Lim Swee Tin Dalam Persajakan Dan Kesusasteraan Malaysia
Penglibatan Lim Swee Tin dalam dunia persajakan dan kesusasteraan Malaysia bermula apabila sebuah sajak beliau yang berjudul “Seorang Anak Kecil”, tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Oktober 1973. Ada yang menyebut tersiar pada tahun 1971. Dengan tersiarnya sajak itu membawanya ke arena penulisan secara serius sehingga ke hari ini.
Seorang Anak Kecil
Seorang anak kecil
sedang bermain pasir
telah tahu menimbang
antara setempurung pasir
dengan sehelai daun
kotor dan bersih
lalu jelek menyentuhnya
lewat seorang budak lelaki
dengan lastik di tangan
mengintai-ngintai seekor burung
“Mengapa membunuh?” jerit anak kecil itu
“ia juga mahu hidup sepertimu”
lalu memandang budak itu dengan benci
Anak kecil itu
dalam usia semuda itu
jiwanya telah tersemai
erti kemanusiaan
kiranya dia sedar dunia hari ini
pasti dia mengeluh dengan seribu
kesalan!
Dalam alam penulisan dan kesusasteraan Malaysia Lim Swee Tin bukan lagi “seorang anak kecil” tetapi dia telah melangkah ke alam dewasa yang menuju kematangan dan kecemerlangan. Dunia kesusasteraan khususnya puisi akan lebih gamat dengan pentertaan penulis-penulis bukan Melayu yang tentunya akan menjadi saingan hebat kepada penulis-penulis Melayu itu sendiri.
Selain daripada menulis puisi, Lim Swee Tin juga menulis cerpen dan rencana yang kebanyakannya tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tanahair. Cerpennya “Tapah” memenangi Hadiah Istimewa Penulis Bukan Melayu dalam Sayembara Cerpen Esso-Gapena III bagi tahun 1981. Cerpennya itu kemudiannya termuat dalam antologi cerpen Sayembara III terbitan DBP (1982).
Sehingga kini puisi-puisi Lim Swee Tin banyak dimuatkan dalam pelbagai antologi bersama seperti Gema Membelah Gema 6 (1981), Kuntum Pertiwi 2 (1982), Bahasa Alam (1983), Gema Membelah Gema 7 (1984), Lagu Anak Perawan (1984), Memburu Punca Api (1985), Ibuku Sayang (1985), Bunga Gerimis (1986), Cakerawala (1986), Terasing (1987), Sinaran Permata (1987), Kumpulan Puisi Malaysia (1988), Malaysia Dalam Puisi (1988), Jendela (1988), Di Atas Mimbar Merdeka (1989), Melodi Hidup (1989), Sayang Ottawa Sungainya Sejuk (1989), Lukisan Zaman (1989), Puisi Sepanjang Zaman (1989), Puisi Baharu Melayu 1961-86 (1990), Kuala Lumpur (1991) dan Antara Dua Deru (1991).
Cerpen-cerpennya termuat dalam antologi bersama seperti Sayembara III (1982), Sayembara IV (1985), Timur (1987), Sesudah Senja (1990) dan Menara 3 (1990).
Posted by Cik Iffa at 2:04 AM 0 comments
Thursday, March 26, 2009
Tokoh: Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin
Kemungkinan faktor alam sekitar seperti penghidupannya yang dikelilingi oleh masyarakat Melayu Kelantan dan pergaulan sehari-hari dengan mereka yang memungkinkan meminati dunia penulisan yang pengucapannya adalah bahasa Melayu.
Apalagi tugas hariannya sebagai guru dan mengajar anak bangsa ke arah kehidupan yang berguna dan penglihatannya kepada hal-hal yang berlaku pada alam sekelilingnya mencetuskan idea kepada Lim Swee Tin menghasilkan puisi-puisinya.
Kemungkinan hal ini bukanlah sesuatu yang dapat ditolak kerana sebuah puisinya yang bertajuk "Berjalan-jalan Di Sini" yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83 banyak membicarakan tentang keheningan alam yang semakin dicemari oleh gejala kebisingan dan pencemaran alam. Puisi ini termuat dalam antologi Gelombang II bersama karya penulis-penulis lain.
Berhubung dengan sajak "Berjalan-jalan Di Sini" Panel Hadiah Sastera Malaysia mengulas dan melaporkan, keheningan nada juga terdapat dalam "Berjalan-jalan Di Sini", pemenang bukan Melayu yang unggul kali ini. Keheningan ini adalah sesuai dengan suasana alam yang digambarkan oleh Lim Swee Tin, serta ketenangan batin yang dicari-carinya untuk mengawal 'simpangsiur fikiran' dan 'menghadapi hidup yang bising ini'. Kelembutan sajak ini dalah kelembutan seorang penyajak yang merindui ketenangan dalam kehidupan dan penciptaannya".
Kumpulan puisinya yang berjudul Akrab memenangi hadiah penghargaan dalam sayembara puisi yang dianjurkan oleh Bank Bumiputra yang lebih dikenali sebagai Anugerah Puisi Putra II pada tahun 1983.
Lim Swee Tin terus mencipta nama dari satu tahap ke satu tahap dalam dunia kesusasteraan Malaysia yang kian bersemarak dengan kemunculan penulis-penulis baru sama ada Melayu atau bukan Melayu.
Laporan Panel Hakim Anugerah Puisi Putra II berhubung dengan kumpulan puisi Lim Swee Tin, Akrab ini antara lain menyebut, antologi ini banyak menceritakan tentang "Sepi" dan "Resah". Ia memberikan kekejutan juga, kerana meskipun penyair ini seakan-akan terpengaruh dengan kecekapan seni beberapa orang penyair matang (idiom dan bentuknya) tetapi ia berhasil membancuhnya menjadi pengucapannya sendiri yang khusus. Boleh dikatakan bahawa dia seorang pencari yang teliti dan penyesuai yang pintar.
Kekuatannya ialah pada idiom dan kepadatan gaya sehingga setiap kata meskipun berulangan sebagai penegasan, namun ia bukanlah sesuatu yang redundant. Penyair juga menimba dari mitos dan sejarah, memberikan akar kepada puisi-puisinya itu.
Akrab memuatkan 50 buah sajak Lim Swee Tin yang kebanyakannya membicarakan tentang sepi dan resah, di samping persoalan alam, nostalgia sejarah keagungan masa silam yang ditimba daripada mitos dan sejarah bangsa.
Puisi-puisi dalam kumpulan Akrab ini antaranya pernah tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tanahair. Puisi-puisinya lebih banyak membicarakan soal persahabatan antara sesama manusia dan usaha-usaha untuk menjalinkan hubungan yang lebih mesra di antara mereka.
Lim Swee Tin juga memuja keindahan alam yang diciptakan oleh Tuhan menerusi untaian katanya yang indah dan halus. Beliau juga membicarakan kenangan-kenangan masa silam yang telah hilang ditelan waktu yang pastinya tidak akan kembali lagi. Sebagai kumpulan puisi yang pernah memenangi hadiah penghargaan dalam Sayembara Hadiah Puisi Putra II, memang tidak dapat dinafikan kumpulan puisi ini mempunyai nilai seni dan keindahan yang tinggi untuk bacaan umum.
Umumnya puisi-puisi yang termuat dalam kumpulan Akrab ini dan puisi-puisinya yang lain yang tersiar di akhbar dan majalah memperlihatkan kecenderungan Lim Swee Tin menggambarkan sesuatu peristiwa dan persoalan dari semasa ke semasa sesuai dengan kehidupan ini yang sentiasa berubah mengikut edaran masa.
Posted by Cik Iffa at 3:40 AM 0 comments

