Tuesday, March 31, 2009

Novel Karya Lim Swee Tin ; "Selendang Anum"


Lim Swee Tin berhasil menerbitkan sebuah novel remajanya berjudul Selendang Anum yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991.

Novel ini mengisahkan kegigihan dan ketabahan hati Yoke Lin, seorang gadis remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM dan bercita-cita melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Dalam penantian menunggu keputusan itu, Yoke Lim mengisi waktu lapangnya dengan melibatkan diri dalam pementasan sebuah drama bertajuk "Keris Pusaka" yang bertujuan mengutip derma bagi mengisi tabung membina asrama anak-anak yatim pelbagai kaum di tempatnya. Penglibatan Yoke Lin berlakon dalam drama Melayu dengan memegang watak Anum mendapat tentangan daripada bapanya tetapi mendapat sokongan daripada Encik Phang (yang bersikap terbuka), Sakinah, Aida, Mona dan sebagainya.

Yoke Lin sebagai generasi baru Malaysia berusaha menjayakan pementasan itu yang bertujuan menguatkan perpaduan di kalangan penduduk kampungnya yang berbilang kaum. Akhirnya selepas menempuh pelbagai halangan, ibunya memberi galakan dan diikuti oleh perubahan sikap bapanya yang menyokong kegiatan seni dramanya itu. Bapanya memberi selendang kepada Yoke Lin untuk digunakan dalam pementasan drama purba itu sebagai dorongan kepadanya agar usaha positifnya itu akan berjaya dengan cemerlang untuk mengutip derma bagi membina asrama anak-anak yatim semua kaum itu.

Lim Swee Tin ternyata memiliki kemantapan dan daya konsisten dalam berkarya sehingga memenangi sayembara demi sayembara.

Kemenangan Lim Swee Tin Mencatat Sejarah Tersendiri

Secara tepatnya, kemenangannya dalam bidang puisi tanahair menerusi sayembara puisi mencatatkan sejarah yang tersendiri dan begitu konsisten. Misalnya beliau telah meraih lebih lapan kali kemenangan dalam sayembara puisi.

Secara kronologi kemenangan itu termasuklah memenangi Hadiah Penghargaan menerusi antologi puisinya Akrab dalam Anugerah Puisi Putra II pada tahun 1983 dan diterbitkan oleh DBP pada tahun 1985. Manakala puisinya "Berjalan-jalan Di Sini" memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982-83 pada tahun 1984 dan dimuatkan dalam antologi puisi Cakerawala terbitan DBP pada tahun 1986.

Puisinya "Tusukan" memenangi hadiah khas dalam penilaian Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1986 dan diterbitkan dalam antologi Terasing terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. Manakala puisinya berjudul "Sejarah" memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1986/87 pada tahun 1988 dan dikumpulkan dalam antologi bersama Sayang Ottawa Sungainya Sejuk terbitan DBP pada tahun 1989.

Lim Swee Tin sering memenangi hadiah dalam sayembara puisi dan cerpen yang diadakan di negara ini. Selain daripada memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1982/83 dalam genre puisi, beliau juga mengulangi kejayaannya dengan memenangi dalam genre yang sama menerusi puisinya "Sewaktu Melintasi Kundasang" dalam penilaian Hadiah Sastera Malaysia 1988/89.

Puisinya "Benang Kehidupan" memenangi hadiah utama dalam penilaian Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank pada tahun 1990 dan termuat dalam antologi Antara Dua Deru (1991).

Sebuah cerpennya berjudul "Cahaya Lain Di Wajah" memenangi hadiah sagu hati dalam Sayembara Cerpen tajaan Malayan Banking - DBP pada tahun 1990.

Lim Swee Tin memenangi hadiah kedua dalam genre puisi dalam Sayembara Puisi DBKL - DBP sempena perayaan 100 Tahun Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1990 dan puisinya itu tersemat dalam antologi Kuala Lumpur (1991).

Lima buah puisinya yang memenangi hadiah kedua dalam sayembara tersebut yang pertama kali diadakan itu ialah "Kuala Lumpur: Tentang Sungai Sejarah Itu", "Kuala Lumpur: Kau Ingat Lelaki Tua Ini", "Kuala Lumpur: Sebuah Fragmen Cinta", "Kuala Lumpur: Bougainvillea dan Sang Perawan" dan "Kuala Lumpur: Kota Jaring Labah-labah".

Lim Swee Tin Dalam Persajakan Dan Kesusasteraan Malaysia

Penglibatan Lim Swee Tin dalam dunia persajakan dan kesusasteraan Malaysia bermula apabila sebuah sajak beliau yang berjudul “Seorang Anak Kecil”, tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Oktober 1973. Ada yang menyebut tersiar pada tahun 1971. Dengan tersiarnya sajak itu membawanya ke arena penulisan secara serius sehingga ke hari ini.

Seorang Anak Kecil

Seorang anak kecil
sedang bermain pasir
telah tahu menimbang

antara setempurung pasir
dengan sehelai daun
kotor dan bersih
lalu jelek menyentuhnya
lewat seorang budak lelaki
dengan lastik di tangan
mengintai-ngintai seekor burung
“Mengapa membunuh?” jerit anak kecil itu
“ia juga mahu hidup sepertimu”
lalu memandang budak itu dengan benci

Anak kecil itu

dalam usia semuda itu
jiwanya telah tersemai
erti kemanusiaan
kiranya dia sedar dunia hari ini
pasti dia mengeluh dengan seribu
kesalan!

Dalam alam penulisan dan kesusasteraan Malaysia Lim Swee Tin bukan lagi “seorang anak kecil” tetapi dia telah melangkah ke alam dewasa yang menuju kematangan dan kecemerlangan. Dunia kesusasteraan khususnya puisi akan lebih gamat dengan pentertaan penulis-penulis bukan Melayu yang tentunya akan menjadi saingan hebat kepada penulis-penulis Melayu itu sendiri.

Selain daripada menulis puisi, Lim Swee Tin juga menulis cerpen dan rencana yang kebanyakannya tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tanahair. Cerpennya “Tapah” memenangi Hadiah Istimewa Penulis Bukan Melayu dalam Sayembara Cerpen Esso-Gapena III bagi tahun 1981. Cerpennya itu kemudiannya termuat dalam antologi cerpen Sayembara III terbitan DBP (1982).

Sehingga kini puisi-puisi Lim Swee Tin banyak dimuatkan dalam pelbagai antologi bersama seperti Gema Membelah Gema 6 (1981), Kuntum Pertiwi 2 (1982), Bahasa Alam (1983), Gema Membelah Gema 7 (1984), Lagu Anak Perawan (1984), Memburu Punca Api (1985), Ibuku Sayang (1985), Bunga Gerimis (1986), Cakerawala (1986), Terasing (1987), Sinaran Permata (1987), Kumpulan Puisi Malaysia (1988), Malaysia Dalam Puisi (1988), Jendela (1988), Di Atas Mimbar Merdeka (1989), Melodi Hidup (1989), Sayang Ottawa Sungainya Sejuk (1989), Lukisan Zaman (1989), Puisi Sepanjang Zaman (1989), Puisi Baharu Melayu 1961-86 (1990), Kuala Lumpur (1991) dan Antara Dua Deru (1991).

Cerpen-cerpennya termuat dalam antologi bersama seperti Sayembara III (1982), Sayembara IV (1985), Timur (1987), Sesudah Senja (1990) dan Menara 3 (1990).

Thursday, March 26, 2009

Tokoh: Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin

Lim Swee Tin dilahirkan pada 26 September 1952 di Bachok, Kelantan. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Machang dan Sekolah Menengah Ismail Putra, kota Bharu sebelum memasuki Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang. Beliau bertugas sebagai guru dan mengajar di Sekolah Menengah Hamzah, Machang, Kelantan. beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Pertanian Malaysia (Universiti Putra Malaysia, UPM) dari tahun 1988-1992.

Kemungkinan faktor alam sekitar seperti penghidupannya yang dikelilingi oleh masyarakat Melayu Kelantan dan pergaulan sehari-hari dengan mereka yang memungkinkan meminati dunia penulisan yang pengucapannya adalah bahasa Melayu.

Apalagi tugas hariannya sebagai guru dan mengajar anak bangsa ke arah kehidupan yang berguna dan penglihatannya kepada hal-hal yang berlaku pada alam sekelilingnya mencetuskan idea kepada Lim Swee Tin menghasilkan puisi-puisinya.

Kemungkinan hal ini bukanlah sesuatu yang dapat ditolak kerana sebuah puisinya yang bertajuk "Berjalan-jalan Di Sini" yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83 banyak membicarakan tentang keheningan alam yang semakin dicemari oleh gejala kebisingan dan pencemaran alam. Puisi ini termuat dalam antologi Gelombang II bersama karya penulis-penulis lain.

Berhubung dengan sajak "Berjalan-jalan Di Sini" Panel Hadiah Sastera Malaysia mengulas dan melaporkan, keheningan nada juga terdapat dalam "Berjalan-jalan Di Sini", pemenang bukan Melayu yang unggul kali ini. Keheningan ini adalah sesuai dengan suasana alam yang digambarkan oleh Lim Swee Tin, serta ketenangan batin yang dicari-carinya untuk mengawal 'simpangsiur fikiran' dan 'menghadapi hidup yang bising ini'. Kelembutan sajak ini dalah kelembutan seorang penyajak yang merindui ketenangan dalam kehidupan dan penciptaannya".

Kumpulan puisinya yang berjudul Akrab memenangi hadiah penghargaan dalam sayembara puisi yang dianjurkan oleh Bank Bumiputra yang lebih dikenali sebagai Anugerah Puisi Putra II pada tahun 1983.

Lim Swee Tin terus mencipta nama dari satu tahap ke satu tahap dalam dunia kesusasteraan Malaysia yang kian bersemarak dengan kemunculan penulis-penulis baru sama ada Melayu atau bukan Melayu.

Laporan Panel Hakim Anugerah Puisi Putra II berhubung dengan kumpulan puisi Lim Swee Tin, Akrab ini antara lain menyebut, antologi ini banyak menceritakan tentang "Sepi" dan "Resah". Ia memberikan kekejutan juga, kerana meskipun penyair ini seakan-akan terpengaruh dengan kecekapan seni beberapa orang penyair matang (idiom dan bentuknya) tetapi ia berhasil membancuhnya menjadi pengucapannya sendiri yang khusus. Boleh dikatakan bahawa dia seorang pencari yang teliti dan penyesuai yang pintar.

Kekuatannya ialah pada idiom dan kepadatan gaya sehingga setiap kata meskipun berulangan sebagai penegasan, namun ia bukanlah sesuatu yang redundant. Penyair juga menimba dari mitos dan sejarah, memberikan akar kepada puisi-puisinya itu.

Akrab memuatkan 50 buah sajak Lim Swee Tin yang kebanyakannya membicarakan tentang sepi dan resah, di samping persoalan alam, nostalgia sejarah keagungan masa silam yang ditimba daripada mitos dan sejarah bangsa.
Puisi-puisi dalam kumpulan Akrab ini antaranya pernah tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tanahair. Puisi-puisinya lebih banyak membicarakan soal persahabatan antara sesama manusia dan usaha-usaha untuk menjalinkan hubungan yang lebih mesra di antara mereka.

Lim Swee Tin juga memuja keindahan alam yang diciptakan oleh Tuhan menerusi untaian katanya yang indah dan halus. Beliau juga membicarakan kenangan-kenangan masa silam yang telah hilang ditelan waktu yang pastinya tidak akan kembali lagi. Sebagai kumpulan puisi yang pernah memenangi hadiah penghargaan dalam Sayembara Hadiah Puisi Putra II, memang tidak dapat dinafikan kumpulan puisi ini mempunyai nilai seni dan keindahan yang tinggi untuk bacaan umum.

Umumnya puisi-puisi yang termuat dalam kumpulan Akrab ini dan puisi-puisinya yang lain yang tersiar di akhbar dan majalah memperlihatkan kecenderungan Lim Swee Tin menggambarkan sesuatu peristiwa dan persoalan dari semasa ke semasa sesuai dengan kehidupan ini yang sentiasa berubah mengikut edaran masa.