Tuesday, April 7, 2009

Drama Melayu: Konsep dan Ciri

Drama berasal dari bahasa Greek; dari kata kerja dran yang bererti berbuat, atau to act atau to do (Morris 1964:476). Dari segi makna khusus mengutamakan perbuatan, gerak yang merupakan elemen yang bersifat drama. Drama adalah hidup yang ditampilkan melalui gerak (Moulton: 1989). Drama adalah kesenian melukis sifat dan sikap manusia dengan gerak (Slametmuljana: 1957).

Drama dalam Webster New Collegiate Dictionary bermaksud drama sebagai satu karangan dalam prosa atau puisi yang memotretkan kehidupan atau tokoh dengan bantuan dialog atau gerak yang direncanakan. Drama dalam Dictinary of World Literature”; drama mencakup setiap jenis pertunjukan tiruan pebuatan, mulai dari produksi, komidi, pantomin ataupun upacara keagamaan. Drama hanyalah merupakan lakon yang dapat diperguna sebagai alat manusia untuk melakonkan tokoh-tokoh tertentu di hadapan kelompok teman mereka. Drama merupakan cabang seni sastera yang mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat.

Jelasnya, drama adalah satu cabang seni sastera yang mementingkan dialog, gerak atau perbuatan dan terdapat dalam prosa atau puisi. Dalam pengertian lain, drama juga adalah satu seni yang menggarap lakon-lakon mulai sejak penulisan skrip hinggalah pementasan. Justeru, untuk pementasan drama memerlukan ruang, waktu atau audiens. Sesuatu yang dipaparkan melalui drama adalah sesuatu atau sejumlah kejadian yang memikat dan menarik hati serta menimbulkan kesan emosi. Hal ini bermaksud bahawa drama masih terikat dengan persekitaran dan masyarakatnya.


Latar Belakang Drama Pentas

Perkembangan awal pementasan drama di Malaysia dilihat wujud pertalian erat dengan pertumbuhan drama pentas di Greek, Mesir, India, China, Jepun atau Indonesia yang turut memasukkan unsur-unsur dan amalan ritual iaitu kepercayaan kepada amalan nenek moyang yang bersifat animisme; kepercayaan terhadap alam sekeliling yang dianggap mempunyai kuasa-kuasa tertentu.

Berdasarkan huraian tersebut, ternyata kemunculan drama ada pertaliannya dengan keagamaan (Francis Edward; 1976). Di Mesir Tua misalnya ada upacara keagamaan yang berbentuk tarian dan lakonan. Hal yang sama terdapat di Malaysia dengan wujudnya aktiviti-aktiviti yang pengisian seakan-akan sama seperti main pantai, puja pantai, main puteri. Aktiviti tersebut dengan jelas memperlihatkan unsur animisme (Mana Sikana; 1991). Tradisi main pantai yang telah dipraktikkan sejak 200-300 tahun dahulu diadakan selepas musim menuai padi bertujuan supaya padi akan menjadi. Upacara tersebut dimulai dengan jampi serapah, makan sirih lalu diikuti dengan istiadat berarak, bersanding, menyanyi dan menari dengan iringan muzik dombak, gong dan rebana.

Begitu juga dengan aktiviti Main Puteri yang dianggap sebagai salah satu aktiviti perubatan yang dipenuhi dengan dialog-dialog perbomohan, nyayian dan tarian dan diikutsertakan dengan cerita-cerita dan lakonan secara miripan memiliki ciri-ciri sebuah drama. Berasaskan aktiviti keagamaan itu telah mengarah kepada penciptaan drama tradisional yang baru. Kegiatan main puteri dan lain-lain kegiatan wujud seperti seadanya. Kegiatan ritualisme itu sekadar menjadi akar landasan bagi membentuk drama tradisional yang lebih bersifat dramatik.

Sebagai rakaman sejarah perkembangan drama, Wayang Kulit merupakan drama tradisional Melayu yang pertama yang sifatnya agak berbeza dengan unsur-unsur pendramaan. Kewujudannya dicatatkan sekitar abad ke-13 dan ke-14 yang dikatakan berasal dari Jawa. Ia merupakan drama tulen Indonesia yang dikesan kewujudannya sejak kurun pertama sebelum masihi. Terdapat juga sejenis wayang kulit dari Thailand yang dinamai wayang kulit Siam. Bentuk drama ini telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada rakyat jelata sebagai satu sumber hiburan yang cukup memberi kesan. Namun, dalam abad ke-18 telah muncul pula sebuah drama dari Thailand yang khalayaknya daripada golongan bangsawan yang dikenali sebagai Makyung. Ia bukan sebagai wayang kulit yang dihidupkan oleh dalang tetapi manusia sendiri yang bertindak sebagai pelakon dan melakonkannya. Makyung sudah memeiliki ciri-ciri pendramaan yang terungkapnya cerita, lakonan dan tarian walaupun sebaran khalayaknya berkisar di Kelantan sahaja disebabkan faktor bentuk dan bahasa tempatan yang mendominasi kewujudan ciri-cirinya.

Pada dasarnya drama-drama tradisional Melayu lebih cenderung dan bercorak tempatan seperti boria di Pulau Pinang yang mengandungi tarian dan lakonan yang bermotif masyarakat pada peringkat awal sebelum disampaikan nyayian. Di Negeri Sembilan pula ditemui randai yang terkandungnya lakonan dan cerita. Manakala di Johor pula terkenal dengan kuda kepang yang memperlihatkan jampi serapah dan gerak gerinya melambangkan pendramaan. Di Perak terdapat pula Dabus yang seakan-akan kuda kepang tetapi mengandungi unsur-unsur teater.

Secara jelas dapat dilihat bahawa drama-drama Melayu tradisional menampakkan hubungan dengan sikap dan sistem kemasyarakatan. Lantaran itu ruang dan horizon penyebarannya sekadar berkisar dalam daerah tempatan juga. Hanya pada abad ke-19 dilihat sebagai satu titik mula dalam drama Melayu yang merubah lingkaran persempadanan keselutuhan negara.


Drama Bangsawan

Kemunculan drama bangsawan dikatakan berasal dari benua kecil India (Rahmah Bujang: 1975). Pada 1870 datang rombongan dari India yang dikenali sebagai “Rombongan Wayang Parsi” atau “Mandu” yang anggotanya terdiri daripada lelaki dan perempuan dan persembahannya menggabungkan unsur lakonan, nyayian dan tarian. Tema yang dipilih pula berkisar mengenai cerita-cerita fantasi, pengembaraan ke alam khayal manakala tujuan persembahannya ialah sebagai hiburan.

Persembahan tersebut jelas mendapat sambutan luar biasa kerana kelainan yang ditunjukkan. Ini mendorong Syed Abdul Rahman Al-Masyhor menubuhkan kumpulan yang pada awal pembabitannya tertumpu kepada nyayian dan tarian tetapi kemudiannya berubah kepada bentuk kumpulan drama. Bertitik tolak dari sinilah bermulanya sejarah pertumbuhan bangsawan.

Ada lima tahap sejarah pertumbuhan bangsawan iaitu:

I. 1870-1884 – tahap pengenalan drama India ke alam Melayu
II. 1885-1902 – zaman permulaan pertapakan bangsawan
III. 1902-1935 – zaman kecemerlangan- wujud pembaharuan dengan memasukkan unsur

barat misalnya drama Shakespeare.
IV. 1936-1945 zaman kemerosotan terutama zaman pemerintahan Jepun
V. Tahun-tahun selepas itu sebagai zaman kemalapan atau kegelapan.

Daripada segi pengkategorian, bangsawan merupakan drama tradisional. Penggolongan ini berdasarkan ciri-ciri berikut iaitu:

I. Peristiwa bangsawan berpanjangan dan merupakan struktur daripada beberapa episod.
II. Bentuk lakonan yang ditokok tambah dengan unsur-unsur lucu, farce, melodrama.
III. Bersifat didaktik
IV. Plot yang hampir sama
V. Watak-watak streo-type dan peranannya hampir sama iaitu orang muda, seri panggung, ahli lawak, jin afrit dan orang jahat (Mana Sikana; 1989).

Pada peringkat awal, pelakon bangsawan terdiri daripada pelakon lelaki dan pelakon perempuan hanya dibenarkan memegang watak ‘Sri Panggung’. Tarikh utama dalam persembahan bangsawan ialah tarian pelakon-pelakon lelaki dan perempuan. Dalam satu-satu persembahan, drama bangsawan mengandungi 15 hingga 20 babak dan dilangsungkan dalam beberapa malam. Namun, faktor sambutan penonton menjadi penentu panjang atau pendeknya sesuatu bangsawan itu.


Bangsawan dipersembahkan tanpa skrip. Penggunaan pentas dan setting menjadi salah satu faktor kejayaan persembahan bangsawan. Penukargantian ‘backdrop’ atau ‘curtain’ yang menggambarkan suasana disesuaikan dengan situasi. Selain itu, penggunaan special effect atau dalam bangsawan dikenali sebagai ‘tasmat’ iaitu penggunaan kesan seperti cahaya api, aspek-aspek teknikal yang lain.

Watak utama iaitu Orang Muda dan Sri Panggung menggenakan pakaian atau kostum yang menarik dan indah sesuai dengan peranan yang dibawakan. Manakala watak antogonis yang dimainkan oleh watak jin, hantu dan gergasi memakai bentuk kostum atau warna yang menakutkan. Hubungkait antara pakaian dan kostum ini dapat menghidupkan jalan cerita atau mood pelakon. Selain itu, turut dimunculkan dalam bangsawan ialah alam khalayan atau alam imaginasi. Hal yang sama berlaku dalam pementasan drama Melayu.


Drama Bentuk Realisme

Konsep pementasan drama realisme telah diperkenalkan oleh beberapa orang aktivis drama seperti George Benard Shaw, Henrik Ibsen, August Strinberg dan Anton Chekhov di Eropah. Dramatis Barat ini menggunakan peralatan realistik dalam pementasan drama mereka untuk menarik perhatian masyarakat kepada isu-isu semasa. Pengaruhan pementasan bentuk ini akhirnya berkembang keserata tempat termasuk Malaysia yang dicubabawakan pada dekad 1960-an itu.

Penggaraban yang realistik dan setting yang realistik terkesan melalui drama-drama antaranya seperti Atap Genting Atap Rumbia (Mustaffa Kamal Yassin, Tamu di Bukit Kenney (Usman Awang). Perkembangan yang sama turut wujud dalam drama-drama radio yang antara lain mengemukakan dramatis seperti Salim Bachik, Fatimah Yassin, Othman Zainuddin. Kemunculan televisyen. Nama-nama seperti Zain Mahmud, Aziz Jahpin, Azizi Haji Abdullah mewarnai jalur perkembangan drama pada waktu itu.

Kegiatan drama pada tahun-tahun 1970-an dan seterusnya menampakan kepesatan. Ini ekoran dengan wujudnya institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang membuka ruang pementasan kepada para pensyarah dan pelajar masing-masing. Penampilan kembali beberapa orang yang berpendidikan barat yang cenderung dalam kegiatan pementasan seperti Dinsman, Noordin Hasan, Syed Alwi mewujudkan gabungan bersama dengan kelompok sedia ada antaranya Hatta Azad Khan, Salleh Joned, Krishen Jit dan Johan Jaafar. Bermula dari sinilah terhasilnya drama beraliran ‘absurd’ atau abstrak. Beberapa aliran drama muncul seperti sureslisme (Tok Perak- Syed Alwi), absurdisme (Bukan Bunuh Diri- Dinsman) di samping mempergiatkan drama-drama beraliran realisme. Kekaburan, protes sosial serta perkembangan plot yang bercelaru dianggap sebagai ciri drama pada waktu itu. Kebanyakan penulisnya mengkritik secara lantang terutama permasalahan yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan keadilan sosial. Ini terpapar dalam drama-drama Noordin Hassan (Tiang Seri Tegak Berlima), Johan Jaafar (Kotaku Oh Kotaku) dan Hatta Azad Khan (Mayat).

Perkembangan mutakhir menampakan satu kelainan yang cuba ditonjolkan dalam pementasan drama. Aliran neo-realisme yang menampilkan persoalan-persoalan konvensional dari prespektif pemikiran baru dan segar. Watak-watak tradisional diberi perwatakan baru untuk disesuaikan dengan permasalahan semasa. Aliran ini dipelopori oleh aktivis drama iaitu Zakaria Ariffin menerusi dramanya Pentas Opera, Rahmah Bujang dalam drama Si Tanggang dan Noordin Hassan yang menampilkan drama “Malam Ini Penyu Menangis”. Ternyata sumbangan kelompok ini, telah mengangkat drama sebagai medium sastera yang berhasil memaparkan persoalan-persoalan masyarakat.



RUJUKAN

Amin Iskandar. Blog, Melayu Kini, News and Views That Matter: ‘Apabila Sasterawan Negara Dipinggirkan...’
Diakses pada: 31 Julai 2008
Diakses di:
http://www.malaysiakini.com/columns/77340

Arifin Nur: 1972. Sastera Melayu Moden. Kota Bharu, Pustaka Aman Press.

Baha Zain. 1991. “Penyair, Puisi dan Kemanusiaan”. Dewan Sastera. Jld.21(1):18-21.

Chapman, Raymond.1973. Linguistics and Literature: An Introduction to Literary Stylistics. London: Arnold Ltd.

Zaidin Abadi. E-sasterawan.net: Nostalgia; Baca Puisi Merdeka 1. Diakses pada: 10 Ogos 2008.
Diakses di:
http://www.esasterawan.com.net


0 Comments: