Thursday, April 9, 2009

Ketika dan Kalimat... Bagiku Kuliah Ini Sungguh Luar Biasa!


Baru minggu pertama. “Ah, habis kali ni’ aku dah lambat!” Iffa melihat jam pada skrin telefonnya tertera 12.17pm, ada tertera juga 4 SMS, dan 3 miss call. Dia benar-benar sudah terlambat, kerana kuliah Bahasa dalam Multimedia bermula tepat jam 12.00 tengahari. Ligat jari-jemarinya menekan punat telefon cuba menghubungi rakannya, Ifa juga namanya; Ifa Terengganu.

“Hallo Ifa, minta maaf! Aku baru sedar, malam tadi stay up sampai subuh. Lepas tu, aku tidur lupa pula nak kunci jam. Macam mana ni’? Doktor dah masuk ke? Ujar Iffa, kelam-kabut.
“Doktor dah masuk! Cepatlah datang, tak apa nanti mu minta maaflah. Sedio alasan siap-siap. Datang cepat, tak payah mandi!” ajar Ifa Terengganu.
“Ok, royat ko saing-saing aku minta maaf banyok!” Ujar Iffa, sambil mencapai tualanya.
Bereh,bereh, mari cepat deh! Bye”. Ada nada resah di hujung talian Iffa Terengganu itu.

Iffa sudah lengkap berpakaian, dia mengenakan baju kurung kuning muda bersama tudung yang sama ton warnanya. Nasib baik baju itu sudah digosoknya pada malam tadi. Segera dia berjalan keluar dari kolej kediamannya, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail.

“Alamak, bas dah nak jalan! Pak Cik tunggu!”, dia menjerit sambil berlari.

Tetapi malangnya, pemandu bas itu buat-buat tidak nampak sahaja akan lambaian dan jeritan Iffa itu. Iffa mengambil keputusan segera untuk berjalan kaki sahaja ke Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, kerana untuk menunggu bas yang seterusnya adalah tindakan yang merugi masa semata-mata.

Dalam rasa mengantuk yang masih mengikat, dia melangkah laju, maju ke depan, tiba-tiba dia terdengar pengawal keselamatan UPM dari seberang jalan mengarahkannya supaya berhenti. Gugup juga rasanya, dia segera memperlahankan langkahnya dan segera berpaling ke arah suara itu.

“Ada apa, bang?” Soal Iffa, sedikit menjerit dari seberang jalan.
“Kad matrik kamu mana?”.
“Minta maaf, saya terlupa pakai. Terlambat nak pergi kelas”. Iffa berterus-terang.
“Lambat tak lambat pun, kad matrik kenalah pakai. Selagi ada kat dalam kampus ni’ kad matrik kena gantung!” Lantang suara lelaki itu.
“Ya, ya, minta maaf”. Iffa segera mengangkat kaki, tatkala melihat isyarat dari rakan pengawal itu, isyarat itu bermakna dia dibenarkan beredar.

Iffa menarik nafas lega. Dia memanjangkan langkahnya, hatinya berdebar-debar mengenangkan nasibnya dan juga nasib rakan-rakan yang sekumpulan dengannya, kumpulan Appolo.

Dia akhirnya tiba di fakulti jam 12.40 tengahari. Keadaan sekitar fakulti seperti biasa sahaja, tiada yang luar biasa. “Dah lambat, dah lambat!”, ujar Iffa sambil berlari anak menuju ke bilik Jauhari. Dari muka pintu bilik kuliah yang lut sinar itu, kelihatan pelajar-pelajar sedang bersila di lantai. Masing-masing kelihatan seperti sibuk melakukan sesuatu. Keseriusan jelas terpancar pada setiap wajah yang berada dalam bilik kuliah itu. Perlahan-lahan Iffa melangkah masuk dan terus ke meja pensyarah. Belum sekerat jalan dia menuju ke meja pensyarah, pensyarah itu terlebit dahulu menegurnya dari tempat duduknya.

“Awak baru sampai! Dah pukul berapa ni’?”, tinggi nada suaranya.

Masing-masing yang berada dalam bilik kuliah itu tersentak. Semua mata memandang ke arahnya. Ada yang memandang selintas, buat-buat tidak nampak, lalu menyambung tugasnya.
Ada juga yang memandang simpati, dan ada juga yang tersenyum sinis.

“Minta maaf doktor, saya terlambat”, ujar Iffa gugup.
“Ya, saya tahu kamu lambat. Kenapa lambat? 12.50 tengahari baru masuk kelas!”, Dr. Normaliza memandang sekilas pada jam dinding bilik kuliah. Serius di wajahnya, membuatkan pesalah semakin gugup.
“Saya baru sedar”, jawab Iffa berterus-terang.
“Awak baru sedar subjek saya dalam jadual awak?”, soal doktor dengan nada yang masih meninggi.
“Tak, saya baru sedar, baru bangun tidur”, Iffa berterus-terang.
“Awk baru bangun tidur!”, Dr. Normaliza menggeleng kepala. Iffa hanya mampu meminta maaf, dan berharap dirinya tidak dihalau dari kelas tersebut.
“Mana kumpulan kamu?”, mendengarkan pertanyaan Dr. Normaliza itu, ahli kumpulan Apollo mengangkat tangan masing-masing.
“Pergi masuk kumpulan kamu”, arah Dr. Normaliza.
“Terima Kasih, doktor”. Iffa berlalu mendapatkan kumpulannya.

Hari itu, pelajar-pelajar Bahasa dalam Multimedia diarahkan membuat mini billboard. Setiap kumpulan dikehendaki mengunting gambar-gambar yang mempunyai asas grafik dari majalah. Kemudiannya, gambar-gambar tersebut hendaklah ditampal pada 6 keping multin board dengan kemas dan cermat, tanpa ada satu gelembung udara pun. Selain itu, mereka juga diarah supaya menggunting karakter huruf dan nombor di majalah bagi setiap nama dan no matrik ahli kumpulan. Lima asas grafik; keseimbangan, kesesuaian, mudah, teks, dan warna, juga harus ditampal dalam bentuk karakter huruf pada salah satu multin board tersebut. Masa untuk menyiapkan tugasan tersebut adalah dua jam, masing-masing kelihatan agak kelam-kabut, kerana mengejar masa dan mahu melakukan tugasan yang telah diberi dengan sempurna. Akhirnya, dua jam berlalu tanpa sedar. Masing-masing berlari menyerahkan tugasan kumpulan, dengan harapan markah kumpulan tidak akan dipotong lantaran terlewat beberapa minit. Suatu pengalaman yang menyeronokkan dan luar biasa, kerana Iffa dan teman sekuliah banyak berlari pada hari tersebut.

Pada keesokan harinya, Iffa sekali lagi berlari kencang ke makmal komputer kerana semua pelajar-pelajar mengikuti tutorial harus berada dalam makmal tepat jam lima petang. Sejurus selesai menunaikan solat Asar di surau FBMK, dia segera ke makmal tiada masa untuk terkedek-kedek lagi. Pintu akan dikunci tepat jam lima petang, barang siapa yang terlambat tidak dibenarkan masuk oleh Cik Tutor; Cik Alia namanya. Nasib Iffa baik, kerana dia berjaya hadir ke makmal 3 minit lebih awal, jadi dia selamatlah pada petang tersebut. Tugasan pertama kelas tutorial ialah membuat slide show menggunakan windows power point dan tajuknya adalah bebas. Tajuk yang dipilih pula mestilah mempunyai perbedaan dengan individu lain dalam kelas tersebut. Maka, ligatlah otak Iffa memikirkan tajuk yang sesuai untuk tugasannya itu. Keadaan semakin mendesak mindanya, Cik Alia mahu semua anak didiknya itu memberikan tajuk masing-masing ketika itu juga. Fikir punya fikir, lantas tajuk ‘Lelaki Metroseksual’ juga yang terlintas di fikiran Iffa. Entah kenapa isu itu yang mahu ditampilkannya, mungkin kerana terpandangkan fesyen rambut pelajar-pelajar lelaki sekelas yang agak pelbagai ketika itu. Cik Alia bersetuju dengan isu yang ingin Iffa bincangkan itu. Jadi, tanpa membuang waktu, dia terus memulakan kerjanya mengumpul data-data maklumat dan gambar-gambar yang bersesuaian dengan tajuk tersebut. Banyak pengetahuan baru yang dia perolehi dan yang pasti, pandangannya sebelum ini tentang lelaki metroseksual adalah salah sama sekali!

Lelaki metroseksual sering dianggap sebagai golongan gay oleh sebilangan masyarakat, sebenarnya mereka juga seperti lelaki sejati. Mereka juga pencinta wanita, mahu hidup berkeluarga, cuma golongan metroseksual ini lebih mementingkan gaya dan keterampilan mereka. Mereka lebih peka dan sensitif berbanding lelaki biasa, dan sifat ini menjadi mereka lebih memahami kaum wanita. Antara ciri-ciri lelaki metroseksual ialah gemar menghabiskan masa di coffee house, mempunyai set penjagaan wajah khusus, gemar ke gimnasium, selalu bertukar-tukar fesyen rambut, menggemari pakaian berjenama kerana golongan ini kebanyakannya golongan yang berada. Selain itu, golongan metroseksual ini juga akan meluangkan masa sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu untuk ke spa.

Iffa mencatat semua maklumat yang diperolehinya sambil tersenyum seribu makna. Rakan-rakan di komputer bersebelahan mengangkat kening, mahu mengetahui perkara apa yang menghiburkan sangat hati rakan di sebelahnya itu. Iffa sekadar menggeleng kepala dan menyambung kerjanya semula.

“Kenapa tak ada sound? Tak letak sound?”, Tanya Cik Alia.
“Letak, tapi tak bunyi”, jawab Tin dalam nada resah.
“Dah, dah stop. Najmie Munirah!”, Cik Alia memanggil pelajar seterusnya.
Berdebar-debar Cik Iffa menunggu gilirannya, bimbang kalau-kalau slide show yang bakal dipertontonkannya itu bermasalah. Markah akan dipotong sekiranya tugasan tidak dilakukan dengan sempurna. Iffa mengerling teman sekuliah yang duduk berhampirannya, masing-masing kelihatan gugup. Bagi yang sudah mencuba slide show mereka di komputer utama, mereka barangkali tidak berasa begitu bimbang, berbanding dia yang tidak sempat berbuat demikian.

“Nur iffaizyan”, Cik Alia memberitahu giliran Iffa.

Iffa segera ke hadapan. Dengan berhati-hati dia mencucuk pen drive –nya ke cpu komputer utama. Tangannya sedikit menggigil. Namun kemudiannya, menarik nafas lega tatkala melihat slide show yang dihasilkannya berfungsi tanpa sebarang gangguan. Semuanya lancar, teman-teman sekuliah juga kelihatannya memberi perhatian pada persembahan slide show tersebut. Sememangnya isu lelaki metroseksual itu menarik perhatian orang ramai. Iffa tersenyum puas tatkala melihat sedetik senyuman di wajah Cik Alia.

Tugasan tutorial seterusnya adalah membuat kalendar menggunakan perisian Adobe Photoshop 7.0. Kalendar yang terdiri daripada 12 bulan itu harus disiapkan dalam tempoh 4 minggu dan harus dicetak. Iffa mencatat semua kriteria yang harus ada pada kalendar tersebut. Bagi tugasan kali ini, Iffa agak kebimbangan kerana dia belum pernah menggunakan perisian Adobe Photoshop sebelum ini. Perisian itu juga belum ada dalam perisian komputer ribanya. Iffa berharap tunjuk ajar daripada Cik Alia dan teman-teman sekuliah akan membantunya melaksanakan tugasan tersebut.

Iffa mendengar dengan tekun toturial yang disampaikan Cik Alia. Dia mencatat segalanya, dan kemudiannya memulakan kerja-kerja membuat kalendar 12 bulan tersebut. Terkial-kial dia mengedit gambar dan kotak-kotak dalam layer kalendarnya itu. Dia harus bekerja dengan cepat. Rakan di meja komputer di hadapannya sudah selesai dengan bulan yang pertama, dan sepertinya mahu meneruskan dengan bulan yang kedua. Tangannya ligat menekan papan kekunci di hadapannya, menaip tarikh dan nama bulan Januari. Dia menambah kesan warna khas supaya latar belakang layer kalendarnya itu kelihatan manarik. Selesai dengan bulan Januari, dia mengerjakan bulan Febhruari pula. Kemudian, bulan Mac, April dan seterusnya dia menangguh urusannya itu di bilik sahaja. Petugas di makmal komputer itu, sudah memberi isyarat bahawa masa makmal itu beroperasi sudah tamat. Iffa mengangguk faham, setelah melemparkan senyuman kepada petugas, dia berlalu meninggalkan makmal cyber tersebut.

Akhirnya, selesai juga kalendar 12 bulan Iffa. Dia segera ke kedai pencetakan yang telah dicadangkan Dr.Normaliza. Beberapa teman sekuliah telah ada di sana, jadi tidak salah lagilah kedai yang dia masuk itu. Petugas kedai pencetakan itu menyambut mesra, dan bertanya kalau-kalau Iffa juga mahu mencetak kalendar. Iffa tersenyum sambil mengiyakan pertanyaan jurujual tersebut. Iffa menghantar data kalendarnya ke komputer utama kedai pencetakan tersebut. Kata jurujual itu mereka memerlukan 2 hari untuk mencetak kalendar Iffa tersebut. Maklumlah jumlah kalendar yang tiba di meja mereka banyak. Boleh dikatakan majoriti pelajar Bahasa dalam Multimedia menghasil kalendar dan dihantar ke kedai tersebut untuk dicetak. Selepas, berbincang sekadar Iffa akhirnya bersetuju dan membayar kos pencetakan yang sebanyak RM27 itu. Warna langit petang itu sepertinya mahu hujan, jadi setelah mendapatkan resit bayaran dia segera berlalu.

“Wah, kat masjid mana ni’? Cantik”, puji Ifa Terengganu sambil membelek kalendar Iffa yang telah siap dicetak.
“Masjid kat Turki ni’. Macam real kan mak cik ni’ edit”, ujar Dayu pula. Iffa sekadar tersenyum.
“Cepat hantar kalendar tu’. Lepas tu’, tanda tangan senarai penyerahan tugasan kat depan ni’. Yang belakang tu’, cepat sikit!”, ujar Cik Alia. Iffa dan teman-teman segera ke hadapan bersama kalendar masing-masing.

Petang itu, Iffa dan teman-teman sekuliah mendapat tugasan terbaru iaitu menghasilkan web site. Tema untuk web site itu terpulang kepada idea masing-masing. Sedang Iffa fokus mendengar tutorial Cik Alia berkenaan perkara yang perlu ada pada laman web yang akan mereka hasilkan, adiknya menelefon meminta resepi kerutuk daging. Langsung, dia mendapat idea untuk membina laman web berkenaan resepi, resepi masakan Melayu khasnya. Iffa melayan panggilan adik kesayangannya itu sekadar sahaja, kerana dia perlu mengumpul maklumat tentang resepi-resepi yang sudah lama dia tinggalkan itu. Bimbang kalau-kalau tersalah memberi maklumat, ajaran sesat pula jadinya nanti. Terasa lapar pula tatkala melihat gambar-gambar masakan yang dihantar oleh kakak dan rakan-rakannya melalui e-mail. Rindu benar Iffa pada periuk belanganya di kampung. Pada bonda dan nenek juga, sihatkah mereka? Iffa bermonolog halus. Habis tutorial nanti, dia bercadang mahu menelefon bondanya di kampung.

“Hari ini saya nak kamu semua ambil gambar yang ada makna pepatah, peribahasa, ataupun simpulan bahasa. Semua ahli kumpulan kena ada dalam gambar, jadi pandai-pandailah tukar-tukar ambil gambar. Sekitar fakulti kita saja, ya!”, arah Dr. Normaliza.
“Pastikan gambar yang kamu tangkap tu’ ada nilai grafik. Kemudian, hasilkan slide show, minggu depan kena presentation dalam kelas. Ok, dah boleh gerak sekarang. Cepat, cepat!”, ujar Dr. Normaliza bersemangat.

Semua pelajar kuliah Bahasa dalam Multimedia segera mencari tempat-tempat yang relevan. Bermacam-macam aksi dan gaya dilakukan untuk memberi pengertian sebenar bagi peribahasa yang dipilih. Jurukamera juga terpaksa ikut beraksi supaya mendapat gambar yang terbaik, dan mempunyai nilai grafik yang tinggi. Iffa dan anggota kumpulan Apollo yang lainnya menyenaraikan beberapa peribahasa yang bersesuai, kemudian masing-masing memberikan idea bagi menghasilkan gaya dan mimik muka yang bersesuaian dengan peribahasa yang dipilih. Pada hujung minggu nanti, mereka sekali lagi ke fakulti untuk penggambaran penuh. Hanya pada hujung minggu begitu, barulah masing-masing berkelapangan, jadi hari itulah yang dipilih. Anggota kumpulan Apollo mencatat perkakas yang perlu dibawa untuk penggambaran tersebut. Antaranya; kain sembahyang, senduk, dan selipar bilik untuk mood peribahasa ‘rumah kata pergi kubur kata mari’, pisang, duit kertas, buku-buku untuk penggambaran peribahasa ‘ulat buku’, selimut dan lain-lain lagi. Masing-masing tidak sabar lagi menunggu hari kejadian penggambaran tersebut.

“Wah, pagi sabtu yang indah!”, ujar Dayu sambil mendepakan tangannya.
“Betul tu’, fakulti kita kalau pagi-pagi macam ni’ rasa macam kat luar negara kan?”, tambah Aini.
“Betul. Tengok bunga kuning-kuning kat bawah pokok tu, betul,betul macam dalam drama korea. Cantiknya!”, ujar Iffa kagum.

Luar biasa benar pemandangan di fakulti bahasa pagi sabtu itu. Pokok-pokok memang menghijau seperti hari-hari sebelumnya, tetapi daun-daun dan bunga-bunga yang berguguran di sepanjang jalan utama, menimbulkan suatu perasaan yang tenang di hati mereka. Bau rumput yang menghijau, dan dingin udara yang lembut menyapu pipi, membuatkan Iffa tiba-tiba berasa syahdu. Sayang benar untuk meninggalkan fakulti ini. Sedar tak sedar, sudah tiga tahun dia berada di kampus hijau ini. Kenangan sepanjang pengajian, sewaktu di kuliah, sewaktu bersama senior, waktu susah dan senang, ketika bersama teman-teman, dan segalanya itu mekar dalam sanubari…
“Iffa, cepatlah kita tak sarapan lagi ni’!”, ujar Ifa Terengganu.
“Yalah, orang baru nak feeling, kacau daun betullah dia ni’!”, ujar Iffa.
Feeling gapo jah, pagi-pagi ni’ Cik Iffa?”, Tanya Ifa Terengganu sebelum dia ketawa kecil.

Selesai bersarapan nasi lemak sebungkus seorang, anggota kumpulan Apollo segera ke kawasan yang berumput dan berpokok. Bersebelahan pintu masuk utama fakulti, dan berhadapan dengan latar siswa, di situ ada hutan kecil yang menarik perhatian. Sebahagian penggambaran dilaksanakan di sekitar kawasan itu, antaranya seperti penggambaran peribahasa ‘musuh dalam selimut’, ‘ulat buku’, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua’, dan ‘batu api’. Setakat ini, penggambaran berjalan lancar. Kerja-kerja penggambaran dilakukan dengan sistematik, dan kerjasama dari semua ahli kumpulan sememangnya membuatkan penggambaran ini semakin rancak. Pelbagai aksi dan idea spontan menerjah ke minda mereka ketika itu, lalu terhasillah pose, pose, yang menarik perhatian. Tepat jam 1.30 petang seperti yang telah dijadualkan mereka semua berehat, makan tengahari dan kemudian menunaikan solat Zohor, di samping menambah solekan di wajah.

Sekitar jam 2.15 petang, masing-masing ke jalan utama fakulti untuk penggambaran peribahasa ‘mayat hidup’. Untuk pose tersebut, Iffa memakaikan Adila dengan kain sembahyang, lalu diikat seperti pocong. Agak kelakar, tertawa anggota kumpulan Apollo yang lain pada awalnya. Tetapi, akhirnya untuk menghasilkan mood yang baik seperti yang telah dirancang, masing-masing berlagak tenang sahaja. Cuaca yang membahang menjadi cabaran utama mereka, nasib baiklah mereka tidak lupa membawa payung. Iffa fikir aktiviti yang mereka lakukan pada hari tersebut tidak ubah seperti penggambaran filem di televisyen, bedanya dalam penggambaran filem itu ada tuan pengarah, krew, ada make-up artis, light man, cameraman. Sedangkan penggambaran mereka itu semuanya dilakukan sendiri. Iffa ketawa sendirian.

Pada sebelah petangnya pula, mereka bergerak ke lokasi yang lebih lapang dan sedikit mistik juga, iaitu kawasan perkuburan. Mereka ke kawasan itu dengan tujuan membuat penggambaran peribahasa ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’. Semua ahli kumpulan segera memakai kain sembahyang, dan melengkapi diri dengan prop masing-masing. Ada yang mengenakan selipar bilik, ada yang memegang senduk, ada memegang buku. Mimik muka juga dipelbagaikan bagi setiap individu. Mereka bersyukur kerana mendapat gambar yang menarik, keadaan cuaca ketika itu benar-benar terlukis seperti yang mereka semua harapkan. Tiada sesiapa di kawasan perkuburan itu, selain kumpulan mereka. Tetapi yang menimbulkan rasa kehairanan Iffa ialah imej lelaki yang ada dalam gambar mereka. Iffa sedikit tersentak tatkala melihat imej seorang lelaki di skrin kamera rakan. Rakan inilah yang membantu menjayakan babak yang memerlukan semua anggota kumpulan berada dalam gambar tersebut. Mungkin, rakannya itu tidak perasan akan imej lelaki tersebut. Tetapi, Iffa diamkan diri sahaja, mungkin lelaki itu penjaga kubur, orang yang bertugas membersihkan kubur barangkali. Iffa tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan, kerana masih ada satu penggambaran lagi yang belum selesai, iaitu gambar mereka berenam melompat.

Mereka menanggalkan telekong tadi dan bergerak ke tengah padang. Beberapa kali jugalah Iffa dan teman-temannya melompat, semuanya demi mendapatkan gambar seperti yang diinginkan. Akhirnya, pada kali keenam barulah mereka berenam dapat melompat serentak dan aksinya…
“Hum, boleh tahan!”, ujar Iffa sambil tersenyum puas.
“Aku nak tengok? Alamak, macam seksi je aku”, ujar Dayu sebelum ketawa kecil.
“Ah, satu hari yang memenatkan, tapi seronok. Bukan selalu ambil gambar ‘gila-gila’ macam ni”. Iffa bermonolog halus.

Anggota kumpulan Apollo mengemas bagasi masing-masing sebelum berlalu meninggalkan fakulti. Mereka semua tersenyum lebar, berasa puas kerana urusan penggambaran tadi berjalan dengan lancar. Seterusnya, mereka harus menyediakan slide show untuk gambar-gambar yang telah diambil tadi. Minggu depan slide show tersebut perlu dipertonton dalam kelas, seperti arahan Dr. Normaliza.

Hari perbentangan, slide show mengikut kumpulan masing-masing. Kelihatannya, semua pelajar datang awal pada hari tersebut. Iffa sedikit terlewat dari teman sekumpulannya yang lain, namun belum pukul 12 tengahari. Dia segera menuju ke arah teman yang melambai itu. Iffa meneliti wajah teman-teman sekumpulannya, masing-masing berwajah ceria mungkin kerana hari tersebut adalah hari perbentangan. Iffa ketawa kecil melihat slide show teman sekuliah, ada aksi yang berjaya mencuit hatinya. Akhirnya, tiba giliran kumpulan Apollo mempertonton slide show mereka. Berdebar-debar juga Iffa, bimbang kalau-kalau slide show kumpulan mereka dilanda masalah. Tetapi, semuanya baik. Kelihatannya, teman-teman sekuliah tersenyum dan ada yang ketawa kecil tatkala melihat slide show kumpulan mereka. Ternyata aksi-aksi spontan itu juga yang berjaya mencuri hati teman-teman sekuliah Iffa.

Minggu seterusnya. Iffa datang awal kuliah Bahasa dalam Multimedia hari ini, dia memilih untuk duduk di barisan yang kedua, sebaris dengan ahli kumpulannya yang lain. Tepat jam 12 tengahari, Dr. Normaliza tiba di kelas. Di mindanya, Iffa berteka-teki akan aktiviti yang akan mereka sekumpulan lakukan pada hari tersebut. Yang pastinya Dr. Normaliza telah mengarahkan setiap kumpulan menyediakan enam helai kertas lukisan bersaiz A3. Minggu lepas Dr. Normaliza ada menyebut tentang e-majalah, berkemungkinan besar beliau mahu kami membuat papan cerita untuk e-majalah tersebut. Seronok juga, Iffa pun sudah lama tidak melukis. Mungkin sekitar awal semester yang lalu, dia membantu adik perempuannya membuat lakaran binaan dan struktur asas bangunan. Ketika itu, adiknya masih baharu di UPM, pada Iffa sahajalah tempat dia bergantung harap. Iffa bersyukur, kini adiknya itu sudah mula selesa dan dapat mengikut rentak hidup di kampus hijau ini. Dia mendoakan yang terbaik untuk adiknya itu.

“Pastikan tepat pukul 2 petang, e-majalah kamu sampai di bilik saya”, ujar Dr. Normaliza.
“Baik, doktor!”, ujar pelajar Bahasa dalam Multimedia serentak.
Masing-masing memulakan kerja. Ada yang melakar, melukis imej yang sesuai, ada yang menulis teks, dan ada yang memeriksa senarai yang perlu ada dalam papan cerita. Anggota kumpulan Appolo kelihatannya fokus dengan tugas masing-masing, Iffa tersenyum melihat mimik muka teman-temannya sebelum dia menyambung tugasnya semula. Masa semakin suntuk, Iffa memadankan warna yang sesuai untuk lakarannya itu. Setelah selesai, mereka menggabungkan bahagian papan cerita masing-masing menjadi sepuluh muka surat, dan akhir sekali mereka membukukan e-majalah tersebut. Kemudian, Iffa dan Ifa Terengganu berlari mendapatkan bilik Dr. Normaliza kerana tempoh untuk serahan tugasan kian suntuk, kumpulan lain juga kelihatannya mengikut rentak mereka.

“Nasib baik, tak terlambat hantar e-majalah kita tadi. Jom, makan dulu. Lapar pula aku berlari-lari tadi”, ajak Ifa Terengganu.
“Jomlah, aku pun lapar dari pagi tadi belum makan”, kata Iffa.
“Boleh, boleh biar Iffa belanja kita hari ini!”, dengan tidak malunya Dayu member cadangan.
“Eh, aku pula”, Iffa menjeling. Ahli kumpulan Apollo yang lain sekadar ketawa kecil. Mereka berenam menuju ke kafe fakulti sambil mengalunkan lagu kumpulan D’Masiv, ‘Sebelah Mata’.
“Mungkin aku tak berarti di hidup mu. Kau selalu memandangku dengan sebelah matamu. Kau memang pernah membuatku bergetar kaku. Tapi kelakuan mu itu, buatku hilang selera. Aku…tak ada harganya lagi di matamu. Menyesal itu yang akan engkau dapatkan! Aku hanya ingin kamu bisa mengerti, ku takkan tinggal diam. Menyingkapi apa yang telah kau perbuat, selalu rendahkan aku… Aku hanya ingin kamu bisa mengerti, ku takkan tinggal diam. Menyingkapi apa yang telah kau perbuat, selalu rendahkan aku!”

Minggu berganti minggu, Iffa dan Dayu ke Rumah Anak Yatim Rohingya, melihat sekitarnya sebelum lawatan penuh program amal kumpulan mereka ke rumah itu nanti. Ustaz Hafiz pengetua rumah anak yatim tersebut menyambut mesra. Daif benar rumah anak yatim itu, mereka tidak mempunyai bilik tidur. Tempat tidur dan tempat makan adalah di ruang yang sama. Hati kecil Iffa menangis melihat beberapa orang kanak-kanak lelaki tidur beralaskan tikar dan bantal sahaja. Rumah anak yatim tersebut tidak mampu menyediakan tilam untuk kanak-kanak yang seramai 103 orang itu. Selepas berkenalan sekadar dengan pengetuanya, Iffa dan Dayu beramah-mesra dengan penghuni di situ. Ustaz Hafiz juga meminta Iffa memberi sepatah dua kata ketika itu. Dayu pula mengambil gambar sekitar rumah anak yatim itu untuk memudahkan urusan mengumpulkan dana dan mendapatkan tajaan untuk program amal tersebut. Setelah selesai berselawat bersama anak-anak yatim di situ, Iffa dan Dayu meminta diri untuk pulang dahulu. Iffa sempat memaklumkan sekali lagi kepada Ustaz Hafiz, bahawa mereka akan datang lagi pada tarikh yang dijadualkan untuk program amal kumpulannya itu.
Pada malam harinya, Iffa segera membuat risalah untuk kutipan derma mewakili Rumah Anak Yatim Rohingya tersebut. Sambil dia mengerjakan risalah, kepalanya jenuh memikirkan pihak penaja yang boleh dihubunginya bagi meringankan beban anak-anak yatim tersebut. Tiba-tiba, teringat akan temannya yang bekerja di Putrajaya itu. Kalau tidak salah, temannya itu ada menyebut tentang menguruskan rumah kebajikan sebelum ini. Ligat tangannya menekan punat telefon, cuba menghubungi temannya itu.

“Hello, assalammualaikum. Sihat ke?”, ujar Iffa.
“Wa’alaikumusalam. Alhamdulillah, sihat. Cik Iffa rupanya, lama menyepi?”, balas Fakrul di hujung talian.
“Ada je, cuma sibuk sikit. Saya ada perkara nak minta tolong dengan awak ini”, Iffa berterus-terang akan tujuannya itu.
Namun, Fakrul tidak dapat membantu kerana rumah anak yatim tersebut menempatkan perlarian dan mereka tidak berdaftar. Iffa kecewa, namun memahaminya kerana sememangnya penghuni di situ perlarian Rohingya. Tetapi, mereka juga manusia. Bagaimana anak-anak itu mahu pulang ke negara sendiri mereka masih kecil, mereka juga sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini. Mereka juga seagama dengan kita. Iffa melayan perasaan.
“Minta maaflah, Iffa”, tambah Fakrul setelah member keterangan panjang lebar tadi tentang prosedur bantuan kerajaan.
“Tak apa, saya faham. Awak ada nombor telefon mana-mana NGO tak?”, Tanya Iffa dia tidak mahu berputus asa.
“Ada. Nanti saya send nombor mana-mana NGO yang saya tahu,ya”.
“Terima kasih, Fakrul. Assalammualaikum”, ujar Iffa mengakhiri perbualannya.

Keesokan harinya, Iffa dan anggota kumpulan Apollo berpecah demi mengutip derma. Iffa bergerak dengan Dayu dan Aini mengutip derma di Sri serdang. Jenuh juga, menjawab pertanyaan beberapa individu yang mempersoalkan pemilihan rumah anak yatim perlarian Myanmar tersebut. Sudah tidak ada lagikah rumah anak yatim Malaysia yang ingin dibantu sehingga mereka memilih rumah anak yatim Rohingya tersebut? Iffa menahan sabar dan menjelaskan mengapa mereka memilih rumah anak yatim tersebut. Sudahnya, mereka berlalu sahaja tanpa menderma. Iffa faham mungkin mereka ada pendirian mereka sendiri. Bagi Iffa kerja yang dilakukan ini adalah program amal dan mereka merasakan tidak ada salahnya membantu bangsa seagama yang berada dalam kesusahan. Tidak perlu banyak bicara, kalau diri berasa duit itu harus didermakan, silakan menderma seikhlas mungkin. Sekiranya, berfikiran sebaliknya tidak perlulah duit itu didermakan. Iffa berasa sakit hati apabila mengenangkan kata-kata seorang pemuda yang ditemuinya pada hari tersebut. Kata lelaki itu dengan lantangnya bahawa mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian kerana mahu mendapat sumbangan yang banyak dan mahu mendapat markah yang tinggi kerana itu semua hanya tugasan kuliah semata-mata. Entah dari planet mana lelaki tersebut hadir, Iffa membuat dosa menyumpah dalam hati. Bagi Iffa, dan mungkin juga teman-teman sekuliahnya perkara yang sedang mereka lakukan itu bukan sekadar tugasan semata-mata. Buat pertama kalinya di penghujung pengajiannya, Iffa terasa mahu membuka pencak silatnya di hadapan lelaki itu. Mahu sahaja dia ‘sparring’ lelaki yang berada di hadapannya itu. Tetapi, tidak jadi dia bertindak sedemikian apabila memikirkan dirinya yang mengenakan baju kurung pada petang tersebut. Sungguh kurang sopan kalau perkara itu yang berlaku. Astagh Firullaahal ‘Adzim…

Akhir tibalah hari yang dinanti-nantikan, dan seperti yang dijadualkan kumpulan Apollo tiba di Rumah Anak Yatim Rohingya. Mereka meminta bantuan dua orang sukarelawan lelaki bagi memudahkan urusan memungah barang-barang berat, seperti beras dan guni-guninya. Iffa dan anggota kumpulan Apollo yang lainnya kelihatan bersemangat untuk memulakan aktiviti pada hari tersebut. Perasaan sebak disembunyikan diam-diam, kerana tujuan mereka ke sana adalah untuk menceriakan anak-anak yatim itu. Selepas, berdoa dan berselawat bersama-sama, semua anggota kumpulan Apollo memperkenalkan diri masing-masing. Selesai sesi sual kenal tersebut masing-masing berda dalam kumpulan masing-masing. Kanak-kanak di sini sangat ceria dan aktif, sehingga Ifa Terengganu jatuh terlentang ditarik mereka. Kanak-kanak dalam kumpulan Iffa juga tak kurang aktifnya, belum pun mula aktiviti pembelajaran Bahasa Melayu sudah ada yang menangis. Iffa tenang bertanya masalahnya, rupa-rupanya kawan di sebelah menconteng bajunya. Iffa meminta kanak-kanak yang bersalah itu meminta maaf dan dia akur dengan kata-kata Iffa. Gembira Iffa tatkala melihat kedua-dua kanak-kanak itu tersenyum dan bersalaman. Iffa memulakan aktiviti yang pertama iaitu pembelajaran bahasa Melayu. Agak mencabar kerana segelintir sahaja kanak-kanak dalam kumpulannya ini yang mampu berbahasa Melayu. Iffa terpaksa mengingkari rencana pengajarannya, dan mencari jalan lain supaya kanak-kanak itu memahami bentuk pengajarannya. Iffa meminta bantuan salah seorang anak yatim Rohingya iaitu Faridah, sebagai penterjemahnya. Rupa-rupanya kanak-kanak dalam kumpulannya itu dapat memahami bahasa Melayu, cuma tidak mampu untuk bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Semuanya berjalan lancar, dengan bantuan adik Faridah. Faridah juga ada mengajarnya beberapa perkataan Myanmar, seperti berada di kelas bahasa pula fikir Iffa.

“Bazapait! Bazapait!”, ujar Iffa separuh menjerit meminta anak-anak buahnya itu bertenang.

Keadaan sedikit tidak terkawal kerana anak-anak itu sangat ceria. Iffa pun ikut ketawa sama melihat gelagat mereka, terubat rindunya pada adik-adik di kampung.
Sedar tidak sedar, sudah tiba waktu rehat. Iffa memberi isyarat kepada anggota kumpulan yang lain supaya berhenti rehat. Kemudian, mereka memaklumkan kepada guru yang bertugas bahawa akan masuk semula selepas solat Zohor di kawasan berhampiran. Gurunya tersenyum mangangguk faham. Terkejut, Iffa tatkala seorang budak kecil menerpa memeluknya. Mungkin kanak-kanak lelaki itu fikir Iffa sudah mahu pulang, Iffa menjelaskan bahawa dia dan kakak-kakak yang lain keluar untuk solat dan akan masuk sebentar lagi. Kanak-kanak itu sepertinya tidak memahami akan pertuturan Iffa. Iffa meneliti wajah swayu kanak-kanak itu, sebelum ditarik oleh gurunya. Tersentuh juga Iffa ketika itu, tetapi Iffa bertahan. Mereka sekumpulan berlalu, mendapatkan masjid untuk menunaikan solat dan selepas itu berencana pula mencari kedai makan. Supaya lebih bersemangat, terasa penat lantaran berperang dengan emosi.
Teman-teman sekumpulan sudah bergerak masuk ke rumah anak yatim untuk meneruskan aktiviti yang seterusnya, iaitu pembelajaran bahasa Inggeris. Iffa terpaksa berpatah balik ke kereta, terlupa akan kameranya yang tertinggal di kereta. Tersentak Iffa, tatkala kanak-kanak dari kumpulannya menyerbu menariknya masuk ke dalam rumah.

“Cepatlah kak Iffa”, ujar kanak-kanak itu. Bersemangat sungguh kanak-kanak di rumah anak yatim itu. Kanak-kanak lelaki yang menangis tadi, terlompat-lompat ceria.
“Comel”, Iffa bermonolog dalaman.

Selesai pembelajaran bahasa Inggeris. Mereka melukis dan mewarna pula. Kanak-kanak di rumah anak yatim itu berbakat besar, walaupun umur mereka masih muda tetapi lukisan yang dihasilkan agak berseni dan menarik perhatian.
Nasib baik Iffa teringat akan arahan Dr. Normaliza supaya menemubual pengetua dan anak yatim di situ melalui rakaman kamera. Segera dia, perlahan-lahan berlalu meninggalkan kanak-kanak yang sedang khusuk mewarna itu.

Selesai sahaja temubual dengan tuan pengetua, jam di tangan sudah menunjukkan pukul 4.15 petang. Iffa memberi isyarat kepada teman-temannya supaya berhenti dan bersedia untuk acara memotong kek dan penyerahan sumbangan. Masa berlalu dengan pantas, proses-proses pengagihan kek dan air harus dilakukan dengan pantas kerana anak-anak yatim perlu solat Asar berjemaah sejurus masuk waktu solat.

Sebelum meninggalkan rumah anak yatim itu mereka sempat bergambar kenang-kenangan. Meriah sungguh, persis suasana hari Raya. Akhir sekali, mereka semua bersalam-salaman. Ada juga yang menangis tidak mahu berpisah, Iffa juga cuba bertenang. Entah kenapa, walau seketika terjalin kasih di antara mereka tetapi masing-masing kelihatannya seperti sudah kenal lama. Anak-anak yatim Rohingya melambai hingga ke tangga. Iffa perlahan-lahan berlalu meninggalkan rumah tersebut. Sebelum masuk ke kereta pinjam masing-masing, semua anggota Appolo yang terdiri daripada Iffa Terengganu, Dayu, Shikin, Aini, Adila dan Iffa bersalaman dan berpelukan, antara satu sama lain. Mereka mengucap syukur, kerana semuanya berjalan dengan lancar seperti yang telah direncanakan. Apabila pulang nanti, mereka perlu menghasilkan video menggunakan perisian windows movie maker untuk dipertontonkan dalam kelas pada minggu hadapan. Persembahan multimedia aktiviti yang berlaku di sepanjang ‘Program Amal ke Rumah Anak Yatim Rohingya’ tersebut, harus bersiaran sekitar 7 minit.
Tugasan dari kelas toturial yang terakhir adalah menghasilkan blog. Iffa datang lewat pada petang tersebut, lantaran kehadiran kakak ke kolej kediamannya bersama tukang jahit. Terpaksalah dia merelakan kakak dan temannya itu mengambil saiz tubuhnya untuk persalinan pengapit pengantin di bulan Mei nanti. Nasib baiklah, Iffa sudah meminta Dayu memaklumkan kepada Cik Alia akan kelewatan yang tidak disengajakan itu. Kerana kelewatan itu, Iffa sedikit kepeningan untuk memulakan proses membuat blog tersebut. Nasib baiklah, Nadia rakan di sebelah membantunya sebelum dia berjumpa rentak dan dapat mengejar tutorial Cik Alia. Iffa segera melakukan seperti yang diarahkan Cik Alia satu persatu. Dia tidak mahu ketinggalan, kerana setiap kelewatannya menekan mana-mana butang, akan membuatkan dia kepeningan seperti kejadian membuat laman web beberapa minggu yang lalu. Petang itu, Iffa pulang dengan gembira kerana dia dapat menangkap ajaran Cik Alia.

Kecewa, kerana persembahan multimedia program amal kumpulan mereka tidak dapat dipertontonkan kerana berlaku masalah teknikal. Walau bagaimanapun, Dr. Normaliza bermurah hati kerana memberi peluang kedua kepada kumpulan Apollo untuk membuat persembahan multimedia pada minggu hadapan. Mereka semua berasa sangat bersyukur, itu bermakna markah sebanyak 30 peratus kumpulan mereka tidak akan dipotong.
Pada malam harinya, Iffa segera mengerjakan perisian windows movie maker pada komputer ribanya, demi menghasilkan persembahan multimedia yang baru. Dia memulakan kerja menyusun gambar dan teks dengan berhati-hati. Dia tidak mahu tergesa-gesa kerana perisian ini sememangnya gemar membuat komputer ribanya hang. Iffa Terengganu dan Dayu datang bertandang, membantu dan memberi idea. Sambil menyusun-yusun gambar-gambar anak yatim pada papan cerita windows movie maker, entah mengapa tiba-tiba rindu datang bertandang. Terasa sayu mengenangkan anak-anak yatim tersebut. Sedar tidak sedar, hari sudah lewat malam. Teman-temanya itu meminta diri untuk pulang ke bilik masing-masing. Kerja-kerjanya sudah tinggal separuh, seterusnya dia perlu memasukkan audio dan klip rakaman bersama pengetua dan mengedit tempoh masa antara gambar-gambar. Dia perlu mengedit rakaman pengetua yang agak panjang itu terlebih dahulu, kemudian disesuaikan dengan volume dalam perisian movie maker lantaran suara dari kameranya yang kurang jelas. Bagi proses memasukkan rakaman tersebut entah berapa puluh kali program komputer ribanya tergendala. Iffa mengucap panjang, terasa mahu menangis kerana belum sempat dia menyimpang data, komputernya itu tersentap dan memaksanya memulakannya semula. Entah berapa kali komputer ribanya itu tergendala, tidak kuasa untuk Iffa menghitungnya.
Iffa menghidupkan kembali komputer ribanya itu. Dia melakukan semula kerjanya perlahan-lahan. Setiap perubahan dan proses yang dilakukannya akan disimpan tanpa bertangguh-tangguh seperti sebelumnya. Akhirnya, siap juga video kumpulan mereka. Iffa mencubanya terlebih dahulu menggunakan program real player, dan setelah berpuas hati dia membuat salinan video program amal kumpulannya itu ke cd. Terasa puas, tatkala melihat usahanya berhasil.

Pada keesokan harinya, Iffa dan Dayu mencuba cd tersebut pada komputer utama bilik Jauhari. Kali ini, dia berharap sudah tidak ada sebarang masalah berlaku dan menganggu persembahan multimedia kumpulan mereka. Dia tidak mahu perkara yang berlaku pada video yang dihasilkan anggota kumpulannya minggu lalu, berlaku pada video yang dihasilkannya itu. Perlahan-lahan dia menghantar data dari cd ke komputer utama, lalu mencubanya dengan program real player. Berjaya! Iffa dan Dayu tersenyum. Mereka menonton video tersebut, hingga penghujungnya bagi memastikan benar-benar tiada masalah. Setelah berpuas hati mereka berdua berlalu meninggalkan bilik Jauhari dengan perasaan yang berbunga.

Kuliah terakhir Bahasa dalam Multimedia, selepas terkesan dengan persembahan multimedia Khatijah, seperti yang telah dijanjikan Dr. Nortmaliza membenarkan kumpulan Apollo mempersembahkan video program amal kumpulan mereka. Semua ahli kumpulan Apollo diminta tampil ke hadapan kelas sebelum tayangan video tersebut dimulakan.
Jiwa Iffa kembali tersentuh tatkala melihat wajah-wajah kecil di skrin besar. Ifa Terengganu dilihat menangis sambil mencapai tangan Iffa. Iffa mengangguk faham. Teman-teman sekuliah memberi perhatian dan ada juga yang menangis, mungkin mereka juga terkenang tempat yang pernah mereka lewati beberapa minggu yang lalu. Kadang-kadang Iffa merasakan kehidupannya tidak sempurna, berasa ibu bapanya tidak punya masa untuk dirinya, dan ada sahaja yang tidak puas di hatinya, tidak pernah bersyukur! Hari ini, pengalaman di rumah kecil itu mengajarnya untuk bersyukur. Bersyukur di atas segalanya yang berada di depan mata, tetapi entah mengapa dia tidak dapat melihat semua itu sebelum ini. Penghuni di rumah kecil itulah yang menyedarkannya…Alhamdulillah. Bagiku, subjek BBM3410 ini sungguh luar biasa...Iffa Bermonolog sendirian.

0 Comments: