Tuesday, April 7, 2009

Realiti Industri Penerbitan Buku Di Malaysia

Industri penerbitan buku di Malaysia masih belum begitu maju. Dengan kadar penerbitan buku tidak melebihi 10,000 judul setahun selain jenis dan kualiti yang terbatas, menjadikan Malaysia ketinggalan jauh berbanding negara-negara lain. Dibandingkan dengan korea dan Jepun kita masih ketinggalan. Jika dibandingkan dengan Taiwan sekalipun, yang mempunyai rakyat lebih kurang sama dengan Malaysia sebanyak 26 juta orang, mereka mampu menerbitkan sebanyak 30,000 judul setahun. Melihat pada kekurangan kadar penerbitan buku di Malaysia, maka punca kemunduran dan inisiatif memperkasa industri penerbitan buku negara harus diusahakan bersama.

Terlalu sedikit bilangan buku penting diterbitkan untuk bacaan umum, dan isu profesionalisme masih menjadi persoalan utama dalam industri penerbitan buku di Malaysia. Hal ini termasuk, saiz syarikat penerbitan yang kecil dan masih menumpukan perhatian kepada penerbitan buku teks atau penerbitan berorientasikan peperiksaan yang bersifat komersil semata-mata, merupakan punca kemunduran industri penerbitan buku di negara ini. Syarikat-syarikat penerbitan kecil misalnya, terpaksa menerbitkan buku secara bertahap dan terhad jumlah pengeluaran-nya demi menjaga kos penerbitan. Syarikat-syarikat ini tidak sanggup menanggung risiko kerugiaan sekiranya buku yang diterbitkan tidak terjual di pasaran. Lantaran itu, mereka memilih untuk menerbitkan buku-buku yang bersifat komersil semata-mata. Permasalahan inilah yang menyebabkan industri penerbitan buku di negara ini tidak berkembang dan terus mundur.

Satu lagi masalah yang menjadi punca kemunduran industri penerbitan buku negara ialah dari segi penulisan buku itu sendiri. Penerbitan buku di Malaysia sememangnya disertai pelbagai kaum tetapi penulisan buku dalam bahasa kebangsaan hanya dimonopoli orang Melayu sahaja. Kaum lain kurang berminat untuk menulis buku dalam bahasa kebangsaan. Misalnya, buku-buku ilmiah yang terdapat dipasaran kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan penulis lebih selesa menyampaikan ilmu dalam bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa kebangsaan, hal ini mungkin disebabkan istilah dalam bahasa kita masih belum mampu mengungkap ilmu dari barat tersebut sekiranya menggunakan bahasa Melayu. Pemasalahan inilah yang menjadi punca kepada kelembapan industri penerbitan buku di Malaysia, khasnya penerbitan buku dalam bahasa kebangsaan.

Selain itu, kelembapan industri penerbitan buku negara juga berlaku disebabkan kurangnya budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia itu sendiri. Misalnya, pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, baru-baru ini, kita dapat melihat kepedulian masyarakat Malaysia terhadap amalan membaca ini hanya ada pada sebahagian kecil masyarakatnya sahaja. Melihatkan pengunjung dalam pameran ini merupakan salah satu indikasi bahawa masyarakat Malaysia kurang dekat dengan buku. Hal ini mengkhuatirkan kita, betapa hebat sifatnya pemeran buku berkala antarabangsa ini diadakan tetapi jumlah yang hadir hanya sebilangan sahaja. Di sini timbul persoalan dari segi kurang promosi yang menarik orang ramai untuk ke pameran tersebut, ataupun benarlah bahawa masyarakat Malaysia sememangnya belum terbudaya dengan amalan membaca. Kurangnya amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia inilah yang menyebabkan industri penerbitan buku negara tidak berkembang. Syarikat penerbitan mengehadkan jumlah cetakan buku syarikat masing-masing kerana tidak mahu buku terbitan mereka berlambakan di pasaran dan tidak laku, lantaran rakyat Malaysia tidak mencintai buku. Tanpa sokongan dari anggota masyarakat Malaysia sendiri, nasib industri penerbitan buku negara kita akan terus begini, terus malap.

Harga buku yang mahal pula dikatakan penyebab kepada lambakan buku di pasaran, dan soal harga itu juga menjadi halangan kepada masyarakat untuk membudayakan amalan membaca. Hal inilah yang memeningkan pengurusan syarikat penerbitan, khususnya syarikat-syarikat penerbitan kecil yang beroperasi secara tradisional. Di samping memiliki kakitangan yang kurang pendedahan dalam pengurusan, proses penerbitan di syarikat-syarikat penerbitan kecil ini juga bukan berteraskan teknologi moden. Permasalahan dari soal kos penerbitan, soal cukai buku, cukai mesin cetak, promosi buku, dan pelbagai kos lagi sememangnya membebankan mereka. Memang ada sesetengah syarikat penerbitan yang menjual buku dengan harga yang murah, akan tetapi syarikat penerbitan tersebut akhirnya terpaksa menanggung kerugian. Lantaran itulah, buku-buku terpaksa dijual dengan harga yang mahal. Syarikat-syarikat sebeginilah yang harus dibantu khususnya oleh pihak kerajaan. Bantuan dan perhatian perlu diberi, agar ahli-ahli penerbitan ini dapat bangun lebih gah dan seterusnya memajukan industri penerbitan buku negara.

Selain masalah masyarakat itu sendiri yang kurang membaca, kurang gemarkan ilmu, buku mahal, dan mereka tidak berdaya untuk membelinya, industri penerbitan buku negara terus malap kerana maklumat tentang industri buku bersifat picisan tidak menyeluruh dan boleh dipertikaikan kesahihannya. Hal ini kerana, banyak buku bermutu dan mempunyai kandungan yang berharga tidak diketahui umum kerana penerbit kecilnya tidak mampu mengadakan majlis pelancaran buku. Berlainan dengan buku-buku picisan, seperti majalah-majalah selebriti yang keluarannya setiap bulan dipublisitikan di media. Inilah realiti yang perlu diperbaiki, memandangkan industri buku bergerak atas dasar laris atau tidak sesebuah buku itu.
Seterusnya, kekurangan penerbitan ilmiah dalam industri penerbitan buku negara. Di Malaysia, industri perbukuan ini bukan industri yang mewah dibandingkan dengan industri-industri lain. Pendek kata, tahapnya masih lagi industri kecil dan sederhana (IKS). Pihak yang ingin melibatkan diri dalam industri ini juga tidak banyak, mungkin disebabkan industri ini kurang mendatangkan laba, walaupun proses untuk mendapatkan ilmu melalui buku itu harganya mahal. Oleh sebab itulah, kebanyakan penerbit berlumba-lumba untuk menghasilkan buku teks memandangkan pulangannya yang besar, sehingga mengabaikan terbitan ilmiah. Mujur ada Majlis Penerbit-penerbit Ilmiah Malaysia (Mapim) yang bertungkus-lumus memastikan perbukuan ilmiah tidak terus lesu, dalam arus industri penerbitan buku Malaysia yang sedia lesu ini.


Di Malaysia, belum banyak badan atau tempat diwujudkan untuk para penggiat buku merujuk, mendapatkan maklumat terperinci dan tepat, bagi membantu mereka merangka strategi peniagaan buku masing-masing. Benar, kita ada Dewan Perniagaan Buku, yang ditubuhkan hamper dua tahun lalu. Begitu juga dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MPKM), yang wujud sejak tahun 1995 lagi. Tetapi masalahnya ialah baik Dewan Perniagaan Buku dan MBKM walaupun mempunyai status sosial yang tinggi dalam industri, kedua-dua majlis ini masih belum mempunyai autoriti jelas, kepegawaian yang cukup serta dana untuk menjadi payung kepada buku itu sendiri. Beginilah realiti industri penerbitan buku di Malaysia.

Seterusnya, melihat perkembangan penerbitan buku kanak-kanak di Malaysia. Perkembangan penerbitan buku untuk golongan kanak-kanak dan remaja di negara ini masih tidak setanding dengan negara-negara maju. Beberapa faktor termasuk kekurangan penulis yang berpengalaman, pelukis berwibawa dan kos penerbitan yang tinggi dipercayai menjadi punca matlamat penulisan buku terhadap golongan tersebut tidak mencapai sasaran. Realitinya industri penerbitan buku kanak-kanak di Malaysia tidak seperti negara-negara Barat, di sana mereka telah memberikan perhatian terhadap penerbitan buku kanak-kanak dan remaja sejak lama dulu. Penerbitan buku Harry Porter, misalnya, telah mendapat sambutan yang hebat di kalangan remaja dunia. Mereka juga menerbitkan bahan-bahan bacaan untuk kanak-kanak dan remaja dalam pelbagai bentuk seperti buku dan multimedia dalam usaha menggalakkan pembacaan lestari untuk golongan itu. Industri penerbitan beginilah yang harus diteladani dalam memartabatkan dan melahirkan karya sastera bermutu di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini, dan di peringkat antarabangsa.

Penerbitan, pengedaran dan penjualan bahan bacaan seperti buku, majalah, tabloid dan komik yang mengandungi unsur tahyul, khurafat serta kandungan yang bercanggah dengan akidah masih banyak di pasaran. Bahan penerbitan picisan ini mendapat permintaan di kalangan pembaca, khususnya generasi muda disebabkan harganya murah dan mudah diperoleh, terutama di kedai kaki lima. Mengikut Bahagian Tapisan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari Januari hingga April lalu, terdapat lebih 12 buku yang memesongkan akidah dan mengelirukan masyarakat Islam dikesan di pasaran tempatan. Pada tahun 2003 pula lebih 40 buah buku dikemukakan bahagian berkenaan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) untuk diharamkan. Keadaan ini secara tidak langsung memperlihatkan sikap sambil lewa penerbit atau penulis dalam mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung kandungan bahan bacaan. Realitinya, ia menggambarkan sikap segelintir penerbit yang tamak meraih keuntungan daripada melunaskan tanggungjawab menerbitkan buku yang dapat membina minda masyarakat.

Terbaru, gejala cetak rompak digital berlaku dalam industri penerbitan buku negara. Gejala cetak rompak buku secara e-book iaitu melalui laman web ini, membuatkan industri penerbitan buku terus ditimpa malang. Sebenarnya, isu cetak rompak buku ini bukan perkara baru. Memang sudah ada sekian lama, cuma pada kali ini modus operandinya yang berbeza. Cetak rompak buku digital dilakukan dengan mengulang cetak mana-mana buku yang didapati laku di pasaran. Mereka akan membuat filem, dan menghantarnya ke syarikat-syarikat pencetakan yang kurang dikenali. Aktiviti lanun cetak rompak buku gaya lama ini berskala industri. Contohnya, pada tahun 70-an, industri penerbitan buku bdi Malaysia kecoh apabila kamus oxford dan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dicetak rompak beribu-ribu naskah. Begitu juga halnya dengan buku latihan sekolah, bahkan lagi berleluasa. Pusat tuisyen membuat kompilasi soalan-soalan latihan dari beberapa buah buku penerbitan berbeza, dan mencetaknya semula sebagai buku terbitan pusat tuiesyen tersebut. Hasilya diperolehi melalui para pelajar pusat itu sendiri. Kelihatannya seperti innocence sahaja, tetapi itu tetap dikira sebagai aktiviti cetak rompak. Cetak rompak buku zaman sekarang dilakukan oleh individu secara kecil-kecilan, dan dilakukan dari rumah sendiri. Walaupun hanya sebilangan individu yang terlibat, tetapi secara kolektifnya, jika beribu-ribu orang mengedarkan edisi buku digital secara haram, maka ini akan melumpuhkan industri penerbitan buku kita.

Menyedari hakikat industri penerbitan buku di Malaysia yang kian lesu ini, langkah penyelesaiannya harus diselidiki bersama. Antaranya, bantuan pinjaman berupa pakej bantuan kewangan harus disalurkan kepada penerbit dan pengedar buku. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi misalnya, harus lebih giat dalam menjana kembali industri penerbitan buku yang pernah mencapai zaman cemerlangnya suatu ketika dahulu, serta meningkatkan jualan buku yang kian merosot.

Seterusnya, meningkat industri penerbitan buku di Malaysia dengan membudayakan amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia. Sememangnya, sebahagian masyarakat kita sudah memberi perhatian tinggi kepada pendidikan dan peningkatan diri. Hal ini dapat dilihat melalui populariti penceramah motivasi, atau kelas tambahan, tadika swasta, kolej swasta, dan laion-lain. Perubahan budaya ini jelas dilihat dalam kumpulan kelas menengah, iaitu golongan ibu bapanya yang sudah menerima pendidikan tahap universiti. Bagaimanapun, hal ini tidak sama bagi kumpulan kelas bawahan, atau kumpulan ibu bapa yang tidak menerima pendidikan tinggi. Nilai yang diberikan kepada buku mungkin tidak begitu tinggi berbanding keperluan hidup lain yang lebih mendesak. Kumpulan inilah yang harus kita yakinkan supaya mereka mengerti bahawa membaca adalah satu jenis pelaburan minda untuk masa depan anak-anak mereka. Hal ini kerana, kemampuan golangan rendah untuk naik dalam hieraki masyarakat telah terbukti melalui pendidikan. Terlalu banyak cerita di sekeliling kita ada individu yang Berjaya itu datangnya dari keluarga yang miskin. Ibu bapa yang mengikat perut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau ke universiti juga bukan perkara asing dalam masyarakat Malaysia ini. Kumpulan ibu bapa begini, walaupun berpendapatan rendah, tetapi sebenarnya mereka menunjukkan sikap dan budaya masyarakat maju. Sikap yang beginilah perlu ada pada semua masyarakat Malaysia agar negara kita setanding negara lain. Industri penerbitan buku negara kita juga, sudah pasti akan menjadi industri yang paling rancak sekali perkembangannya kerana semua orang mencintai buku; mencintai ilmu.

Di Malaysia, industri penerbitan buku ini bukanlah industri yang mewah jika dibandingkan dengan industri-industri lain. Tahapnya, masih lagi industri kecil dan sederhana (IKS). Maka sebab itulah, industri perbukuan negara perlu ditangani secara kreatif, termasuk corak penerbitannya harus lebih moden. Syarikat penerbitan perlu berusaha lebih gigih dan kreatif. Persis kata Hasrom Harun, bekas penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Forum Industri Buku Malaysia, di Universiti Malaya (UM)tahun lalu; “syarikat penerbitan tidak boleh menjadikan alasan masyarakat tidak membaca sebagai punca gerhana industri ini. Mereka harus mencari langkah bijak bagi mengatasinya dan bukannya terus mencari alasan”.

Selain itu, ‘pasar buku’ atau ‘hipermarket’ untuk memasarkan semua jenis buku di Malaysia harus diwujudkan dengan lebih banyak lagi. Konsultan dan usahawan perbukuan perlulah mencari lokasi jualan runcit untuk memudahkan pelanggannya. Hal ini kerana, kebanyakkan buku yang pelbagai bidangnya hanya terdapat di pasaraya-pasaraya besar, seperti Midvalley, KLCC dan Sunway Pyramid. Pasar buku seharusnya memenuhi keperluan kebanyakkan orang, barulah tempat tersebut menjadi perhentian utama (one stop center) para pencinta buku. Antara contoh hipermarket buku yang boleh dikatakan berjaya; cawangan Popular Bookstore di Tesco Ampang, dan MPH Bookstore di Tesco Sungai Petani, dan di Midvalley. Kuncinya adalah pemilihan produk yang betul dengan pasaran pembeli. Kebijaksanaan dalam memasarkan buku inilah yang akan mengangkat industri penerbitan buku negara ke tahap yang lebih eksklusif.

Seterusnya, dari segi pembukaan cawangan baru dan perluasan rangkaian runcit dalam usaha meningkatkan industri penerbitan buku di Malaysia. Pembukaan pasaran buku baru di kawasan sub urban yang masih hijau sudah pasti menjanjikan pasaran baru untuk kedai buku, dan keperluan pencinta buku di kawasan tersebut. Pihak yang terlibat dalam aspek pembangunan perniagaan kedai buku perlu melihat potensi sebenar dan memandang lebih jauh dalam perniagaan perbukuan ini. Kita melihat rakyat Kelantan lebih bertuah (berbanding Terengganu), kerana sudah ada KB Mall yang beroperasi dengan jayanya di Kota Bharu. Malah ada satu lagi yang sedang dibangunkan sekarang, juga merupakan satu hipermarket gergasi. Dengan kehadiran pasaraya gergasi di Kota Bharu, dua kedai buku yang besar sudah mendapat satu tapak perniagaan yang sangat baik. Popular Bookstore berdepan dengan satu pesaing baru, iaitu Kedai Buku SMO (Syarikat Muda Osman). Kedua-duanya mencatatkan jualan yang memberansangkan di KB Mall. Persaingan antara dua buah kedai utama ini akhirnya akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pembeli buku di Kelantan dengan pelbagai tawaran dan pilihan terkini. Era jualan buku secara moden sudah sampai di Kota Bharu. Malangnya di Terengganu, sehingga sekarang belum ada Shopping mall yang beroperasi di Kuala Terengganu. Ini menyebabkan mana-mana kedai yang terfikir untuk membesarkan perniagaan mereka tersangkut. Pembeli buku juga kurang tertarik untukn mengunjungi kedai-kedai buku biasa. Rangkaian kedai buku dan outlet-outlet berskala gergasi inilah yang perlu diwujudkan, agar kita dapat mengangkat taraf industri penerbitan buku di Malaysia setanding negara lain.

Berikutnya, meningkatkan industri penerbitan buku negara dengan meneladani negara-negara lain. Di Filipina, buku-buku Inggeris diimport dengan sebebas-bebasnya dan tidak dikenakan cukai. Tujuannya adalah supaya harga buku itu mampu dibeli oleh rakyat negara itu. Begitu juga halnya, dengan kertas cetak yang digunakan tidak dikenakan cukai. Hasilnya, buku-buku Tagalog yang diterbitkan dalam negeri dapat dicetak dengan hanya mengeluarkan kos harga kertas sahaja, syarikat penerbitan tersebut tidak perlu membayar cukai. Maka sebab itulah industri penerbitan buku dalam bahasa Tagalog boleh dikatakan meriah. Berlainan pula halnya di India, negara itu tidak membebarkan buku-buku yang dicetak di luar negara diimport ke negara itu. Buku-buku dari luar wajib dicetak semula diindia dan diterbitkan sebagai terbitan dalam negeri. Dengan demikian buku-buku itu dapat dijual dengan harga yang amat murah kepada rakyatnya. Buku-buku terbitan India tersebut kemudian dipasarkan semula ke negara-negara di rantau Asia ini. Terutamanya buku-buku ilmiah berkaitan ilmu perubatan dan bioteknologi, banyak yang hadir di pasaran Malaysia. Hasilnya, industri pencetakan dan penerbitan buku di india yang dulunya amat dhaif dapat berkembang dengan semakin maju kini. Keadaan industri buku di Indonesia adalah serupa dengan India. Industri penerbitan buku Indonesia yang dulunya amat dhaif juga kini berkembang pesat sekali, jauh meninggalkan Malaysia. Contohnya, penulis novel Ayat-ayat Cinta Habiburrahman El Shirazy, meraih royalty dari buku-bukunya hingga Rp 1.5 miliar. Menurut Tommy Tamtomo, direktor utama Syarikat Penerbitan Republika dalam acara bedah buku di Gramedia Matraman, Jakarta baru-baru ini, sebanyak 10 000 cetakan novel Ayat-ayat Cinta dicetak untuk persediaan tahun depan, tetapi semuanya sudah habis dibeli pada tahun ini. Novel ini menurutnya lagi, kini sudah dicetak sebanyak 30 kali dengan jumlah bukunya mencapai 300 000 buah buku. Tommy menduga, permintaan terhadap novel tersebut akan terus bertambah kerana baru-baru ini filem Ayat-ayat Cinta ditayangkan di pawangan Indonesia dan juga di Malaysia. Untuk menghadapi permintaan novel Ayat-ayat Cinta ini, penerbit Republika berencana menerbitkan novel Ayat-ayat Cinta edisi kulit keras (hardcover). Novel ini juga sudah dicetak di Malaysia, dan akan segera menyusul di Kanada dan Autralia pada pertengahan tahun ini. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana negara yang dikatakan dhaif ini mampu meninggalkan Malaysia dalam industri perbukuan. Sekarang kualiti buku-buku cetakan India dan Indonesia amat baik, kerana hasil dasar perlindungan pemerintah, syarikat-syarikat penerbitan di kedua-dua negara itu sudah mampu membeli mesin-mesin cetak berteknologi dan yang terbaru. Bandingkan dengan nasib syarikat penerbitan Bumiputera di negara kita, yang rata-ratanya hidup segan mati tak mahu kerana tidak cukup kerja cetak dalam negara ini. Sedangkan, bagi setiap buku import yang dibeli rakyat Malaysia, kita sebenarnya telah membayar gaji para pekerja pencetak di UK dan USA. Hal ini kerana, buku-buku negara tersebut yang diimport negara saban tahun.

Oleh itu dapatlah, disimpulkan bahawa industri penerbitan buku di Malaysia masih di tahap lama. Negara jiran yang serba kekurangan mampu meninggalkan kita dalam bidang ini. Kita sebenarnya mampu mengangkat taraf industri penerbitan buku negara, sekiranya semua pihak memainkan peranan yang masing-masing. Rakyat Malaysia harus membudayakan amalan membaca dan mencintai ilmu, dalam diri sendiri dan keluarga masing-masing tanpa mengira peringkat umur. Pihak kerajaan pula, harus lebih peka dengan masalah syarikat-syarikat penerbitan, terutamanya syarikat penerbitan kecil. Begitu juga halnya, dengan ahli-ahli penerbitan, mereka sendiri perlu mengorak langkah dengan lebih berani, kreatif, dan inovatif, agar industri penerbitan buku Malaysia terus berkembang maju setanding negara lain.

0 Comments: